Wednesday, March 11, 2015

08. Tanda-tanda Husnul Khātimah (Kematian yang baik)




















25. Sesungguhnya, Syari‘at Islam yang diajarkan Allah yang Maha Bijaksana, telah menjelaskan alamat-alamat tertentu sebagai petanda kepada Husnul Khatimah atau kematian seseorang itu di dalam keadaan yang baik, yang diredhai Allah. Semoga Allah menentukan yang demikian itu kepada kita semua dengan kelebihan dan keluasan KurniaanNya. Maka sesiapa sahaja yang meninggal dunia dengan salah satu alamatnya, sungguh ia menjadi satu berita gembira baginya  dan sungguh betapa baiknya berita gembira itu.

Pertama: Ia mengucapkan lafaz Syahadah ketika kematiannya dan banyak hadis-hadis yang menerangkan demikian di dalam kitab asal, di antaranya ialah sabda baginda :
    من كان آخر كلامه لا إله إلا الله دخل الجنة  
“Barangsiapa yang ucapan terakhirnya adalah –Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah - [ لا إله إلا الله],  ia pasti akan masuk syurga.”  

Kedua: Meninggal dunia dalam keadaan dahinya berpeluh, berdasarkan hadis Buraydah bin al-Hasieb: “Bahawasanya beliau ketika itu berada di Khurasan, maka beliau menziarahi seorang saudaranya yang sakit dan mendapatinya dalam keadaan hampir wafat, sedang dahinya berkeringat, lantas beliau pun berkata: AlLahu Akbar! saya telah mendengar Rasulullah  bersabda:
    موت المؤمن بعَرق الحبين  
“Kematian seorang mukmin (yang benar-benar beriman) disertai peluh di dahi.”

Ketiga: Meninggal dunia pada malam Juma‘at ataupun siang harinya kerana sabda Nabi :
    ما مِن مسلم يموت يوم الجمعة  أو ليلة الجمعة ، إلا وقاه الله فتنة القبر  
“Tiada seorang muslim pun yang meninggal dunia pada hari Juma‘at atau malam Juma‘at, kecuali pasti akan Allah lindunginya daripada fitnah kubur.”

Keempat: Terbunuh (al-Istisyhad - diharapkan mati syahid)  di medan pertempuran, Firman Allah :
 
“Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh pada jalan Allah itu mati, bahkan mereka hidup di sisi Tuhan mereka dan mereka diberi rezki.”

Begitu pula sabda Nabi :
    للشهيد عند الله ستُّ خِصال: يُغفر له أول دُفعة مِن دمه، و يرى مقعده من الجنة، و يُجار من عذاب القبر و يأمن الفزع الأكبر و يُحلَّى حِلية الإيمان و يُزوَّج من الحور العين و يُشفَّع في سبعين إنسانا من أقاربه  
“Bagi setiap orang yang mati syahid ada enam keberuntungan: Ia diampunkan dari sejak tumpahan darahnya yang pertama, ia melihat tempat duduknya di dalam syurga, diselamatkan daripada azab kubur dan diberikan ketenangan pada ketika kegoncangan yang hebat (Hari Kiamat), dihiaskan pada dirinya perhiasan keimanan, dikahwinkan dengan bidadari dan diizinkan untuk memberi syafa‘at kepada 70 orang daripada kerabatnya.”

Kelima: Terbunuh ketika dalam usaha/perjalanan/persiapan berperang Fi Sabielillah, sabda Nabi :
 ما تَعدُّون الشهيد فيكم؟   قالوا: يا رسول الله من قتل في سبيل الله فهو شهيد، قال:  إن الشهداء أمتي إذاً لقليل   قالوا : فمن هم يا رسول الله ؟  من قتل في سبيل الله فهو شهيد، و من مات في سبيل الله فهو شهيد، و من مات في الطاعون فهو شهيد ، و من مات في البطن فهو شهيد ، و الغريق شهيد  
“Siapakah orang yang kamu kira sebagai syahied di kalangan kamu?” Jawab para Sahabat: Wahai Rasulullah, sesiapa yang terbunuh pada jalan Allah maka dia itulah syahied. Sabda baginda: “Kalau demikian, sesungguhnya syuhada’ umatku pastinya sedikit sekali” Tanya mereka: Maka siapakah mereka (yang dikira syahied) wahai Rasulullah? “Sesiapa yang terbunuh Fi Sabielillah maka ia syahied, sesiapa yang mati (dalam usaha/perjalanannya ke medan Jihad) fi Sabielillah maka ia syahied. Sesiapa yang mati akibat sakit Ta‘un (wabak atau cholera) maka ia juga syahied. Sesiapa yang mati kerana sakit pada bahagian perutnya  maka dia syahied dan yang mati lemas juga syahied.”

Keenam: Meninggal dunia kerana at-Ta‘un (الطاعون), yakni wabak atau kolera, ada beberapa hadis mengenainya, antaranya sabda Nabi :
    الطاعون شهادة لكل مسلم  
“At-Ta‘un itu adalah mati syahied bagi setiap muslim.”

Ketujuh: Kematian yang disebabkan oleh penyakit di dalam perut, sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis tadi:
    ... و من مات في البطن فهو شهيد  
“…sesiapa yang mati kerana sakit pada bahagian perutnya, maka ia mati syahied”

Kelapan dan kesembilan: mati lemas dan mati ditimpa runtuhan bangunan, berdasarkan sabda baginda  :
    الشهداء خمسة : المطعون ، المبطون ، و الغَرَق ، و صاحب الهدم ، و الشهيد في سبيل الله  
“Syuhada’ (golongan yang mati syahied) ada 5: (yang meninggal dunia kerana) sakit taun, sakit perut, lemas, ditimpa runtuhan bangunan dan gugur Fi Sabielillah.”

Kesepuluh: Kematian seorang wanita kerana kandungannya, kerana hadis ‘Ubadah bin as-Samit:
“Bahawasanya Rasulullah  menziarahi ‘Abdullah bin Rawahah yang sakit ketika itu, sedang beliau tidak minggir sedikit pun daripada tempat pembaringannya. Maka baginda   bertanya:
{Tahukah kamu siapakah golongan syahied dari kalangan umat ku?} Jawab para Sahabat: Seorang muslim yang terbunuh dalam jihad, maka baginda bersabda: {Kalau demikian, tentunya syuhada’ umat ku tidak ramai. Seorang muslim yang terbunuh ketika berjihad mati syahied. Mati kerana at-Ta‘un adalah mati syahied,
    و المرأة يقتلها ولدها جمعاء شهادة ، [ يجرها ولدها بِسَرَرِه إلى الجنة ]  
“…seorang wanita yang mati disebabkan kandungannya juga mati syahied, [anaknya akan menariknya dengan tali pusatnya hingga masuk ke syurga].”

Kesebelas dan kedua belas: Kematian akibat kebakaran dan yang disebabkan sejenis penyakit (pleurisy - ذات الجنب). Terdapat banyak hadis yang menjelaskan demikian dan yang termasyhur ialah daripada Jabir bin ‘Atiek secara marfu‘:
    الشهداء سبعة سوى القتل في سبيل الله : : المطعون شهيد ، و الغَرَق شهيد  ، و صاحب ذات الجَنْب شهيد،  المبطون شهيد ، الحَرق شهيد ، والذي يموت تحت الهدم شهيد و المرأة تموت بجمع شهيدة  
“Golongan yang mati syahied ada 7 selain daripada mati ketika berjihad pada jalan Allah; yang mati kerana at-Ta‘un (atau yang ditikam) syahied, yang mati lemas syahied, yang mati kerana sakit pleurisy  syahied, yang mati kerana sakit kolera syahied, yang mati kerana kebakaran syahied, yang mati di bawah timbunan runtuhan juga syahied dan wanita yang mati kerana kandungannya  juga syahied.”

Ketiga belas: Kematian akibat penyakit As-Sill/As-Sull (T.B.) , berdasarkan hadis:
    القتل في سبيل الله شهادة والنفساء شهادة  و الحَرَق شهادة و الغَرَق شهادة و السل شهادة و البطن شهادة  
“Terbunuh dalam jihad Fi Sabielillah adalah mati syahied, kematian sewaktu nifas (melahirkan anak) adalah mati syahied, mati di dalam kebakaran juga mati syahied, mati lemas tenggelam juga mati syahied, mati kerana As-Sull/As-Sill juga mati syahied dan kerana penyakit yang menjejas perut juga mati syahied.”

Keempat belas: Kematian ketika mempertahankan harta yang dirompak dan ada beberapa hadis mengenainya, salah satu di antaranya:
    من قتل دون ماله ، [ و في رواية : من أريد ماله بغير حق فقاتل ، فقتل] فهو شهيد 
“Barangsiapa yang dibunuh kerana mempertahankan harta miliknya [dalam riwayat lain: sesiapa yang hartanya dirampas tanpa hak lalu ia mempertaruhkan nyawanya demi mempertahankannya dan dibunuh] maka ia mati syahied.”

Kelima belas dan keenam belas: Kematian ketika mempertahankan agama dan jiwa, berdasarkan hadis:
a.     من قتل دون ماله فهو شهيد ،  و من قتل دون أهله فهو شهيد ، و من قتل دون دينه فهو شهيد ،
و من قتل دون دمه فهو شهيد    
“Barangsiapa yang dibunuh kerana mempertahankan harta miliknya, maka ia mati syahied. Barangsiapa yang dibunuh kerana menyelamatkan ahli keluarganya maka ia mati syahied Barangsiapa yang dibunuh kerana mempertahankan agamanya, maka ia mati syahied. Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan nyawanya, maka ia mati syahied.”

Ketujuh belas: Kematian ketika ada keterikatan dengan jihad Fi Sabielillah. Terdapat dua hadis mengenainya dan salah satu di antaranya ialah:
    رباط يوم و ليلة خير من صيام شهر و قيامه ، و إن مات جرى عليه عمله الذي كان يعمله ،
 و أُجري عليه رزقه و أمِنَ الفتّان  
“Terikat dengan jihad sehari semalam adalah lebih baik dari berpuasa sebulan beserta qiyamnya dan sekiranya ia meninggal dunia maka amalannya yang biasanya dilakukannya dikira berterusan dan begitu juga rezekinya dan diselamatkan dari Si Pemfitnah (penguji).”

Kelapan belas: Kematian ketika melaksanakan amalan salih (antaranya al-Amru bi al-Ma‘ruf wa an-Nahyu ‘an al-Munkar – mendorong kepada kebaikan dan menegah daripada kemungkaran - penterjemah ). Hadis Nabi :
    من قال: لا إله إلا الله ابتغاء وجه الله ختم له بها ، دخل الجنة ، و من صام يوما ابتغاء وجه الله ختم له بها ، دخل الجنة ، و من تصدق بصدقة  ابتغاء وجه الله ختم له بها ، دخل الجنة    
“Barangsiapa yang melafazkan: لا إله إلا الله, demi mengharapkan Wajah Allah dan ia dimatikan pada saat itu, ia pasti masuk syurga. Barangsiapa yang berpuasa satu hari demi mengharapkan Wajah Allah dan ia dimatikan pada saat itu, ia pasti masuk syurga dan sesiapa yang memberi sesuatu (sedeqah) demi mengharapkan Wajah Allah dan ia dimatikan pada saat itu, ia pasti masuk syurga .”  

Kesembilan belas: Orang yang dibunuh oleh seorang penguasa yang zalim kerana ia menghadapnya dan menasihatinya bersandarkan kepada hadis:
    سيد الشهداء حمزة بن عبد المطلب ، و رجل قام إلى إمام جائر فأمره و نهاه فقتله   
“Penghulu Syuhada’ (orang-orang yang mati syahied) adalah Hamzah bin ‘Abdil Muttalib dan seorang lelaki yang menghadap seorang penguasa yang jahat/zalim memperbetulkannya dan menegurnya lalu ia (si penguasa itu) membunuhnya.”
[diriwayatkan oleh al-Hakim dan beliau menghukumkannya Sahih dan begitu juga oleh al-Khatieb dan saya telah jelaskannya (as-Sahiehah: 374 )].

Perhatian: [Penambahan daripada penterjemah, demi memahamkan maksud “mati syahied” di dalam tajuk ini dengan kefahaman yang lurus – diambil daripada ceramah dalam rakaman kaset bertajuk: Mafhum asy-Syahadah yang disampaikan oleh asy-Syeikh al-Albaniy sendiri]:
“asy-Syahadah (mati syahied) ada 2 jenis:
a. Syahadah Haqieqiyah: iaitu orang yang mati dalam jihad menegakkan kalimah Allah dengan ikhlas dan betul di sisi Syara‘ – jenazahnya tidak dimandikan, tidak disolatkan, tidak dikafankan dan dikebumikan di tempat ia gugur syahied
b. Syahadah Hukmiyah: syahied lainnya seperti orang yang mati lemas, ditimpa runtuhan, ketika mempertahankan hartanya dan lainnya – jenazahnya diuruskan sebagaimana biasa iaitu dimandikan, dikafan dan disolatkan.”



 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts