Thursday, March 12, 2015

11. Mengkafankan mayat











33. Setelah selesai memandikan jenazah, maka wajiblah pula ia dikafankan sesuai dengan perintah Nabi  sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis orang yang mati dalam keadaan berihram kerana parah setelah diinjak-injak untanya:
     ....و كفنوه ....  
“…dan kafankanlah beliau….”  
Hadisnya telah disebutkan dengan sempurna di bawah tajuk/bab (3), perkara (17) bahagian (d)

34. Kain kafannya ataupun ongkosnya adalah diambil daripada hasil harta si mati, walaupun sekiranya ia hanya tinggalkan harta yang secukupnya untuk itu sahaja. Ini berdasarkan hadis Khabbab bin al-Aratt  yang meriwayatkan:
“Kami telah berhijrah bersama Rasulullah  pada Jalan Allah (Sabielillah), dengan semata-mata mengharapkan Wajah Allah , maka telah tetaplah ganjaran kami dengan janji Allah. Ada di antara kami yang pergi sebelum sempat menikmati hasil daripada ganjarannya sedikit pun, di antara mereka ialah Mus‘ab bin ‘Umayr, terbunuh dalam Peperangan Uhud, maka tiada apa yang ada pada dirinya untuk jenazahnya (di dalam riwayat lain: sedang beliau tiada apa-apa peninggalan) kecuali namirah , jika kami letakkan pada bahagian kepalanya akan terdedahlah kedua kakinya dan jika kami tutupkan kedua kakinya dengannya, terdedah kepalanya. Maka Rasulullah pun bersabda:
     ضعوها مما يلي رأسه (و في رواية : غطوا بها رأسه)، و اجعلوا على رجليه الإذخِر  
“…Letakkan ia dari bahagian kepalanya (di dalam riwayat lain: tutupkan kepalanya dengannya) dan letakkan al-Idzkhir  di atas kedua kakinya.”
dan ada pula di antara kami yang telah mendapatkan masaknya buah hasil usahanya  maka ia menikmatinya”
35. Hendaklah kain kafan itu, cukup panjang dan lebar sehingga dapat menutupi seluruh tubuh kerana hadis Jabir bin ‘Abdillah :
“Bahawasanya Nabi  pada suatu hari telah menyampaikan khutbah, lalu Nabi  menyebutkan tentang salah seorang Sahabat yang meninggal dunia dan dikafankan dengan kain yang tidak cukup panjang, lalu dikebumikan pada waktu malam, maka Nabi  menegur dan melarang dengan keras perbuatan mengebumikan jenazah pada waktu malam kecuali jika ada (ramai orang) yang menyembahyangkannya, kecuali jika terpaksa, maka sabda Nabi :
 إذا كفَّن أحدُكم أخاه فَليُحَسّن كَفَنَه [ إن استطاع ]   ،
“Jika seseorang di antara kamu mengkafankan (jenazah) saudaranya maka hendaklah ia perhalusi dan lakukan dengan sebaiknya sekiranya ia mampu.”

Kata ‘Ulama’: “Yang dimaksudkan dengan perhalusi dan lakukan dengan sebaiknya ketika mengkafan ialah kebersihan kain kafan, tebalnya serta lebarnya untuk menutupi seluruh jasad dan dalam masa yang sama masih sederhana dan bukannya yang dimaksudkan sampai membazir atau melampaui batas mahupun berlumba-lumba (dalam bermegah-megah dengan kelebihan harta)”.

36. Seandainya kain kafan yang ada, agak sempit atau pendek dan ia tidak dapat menutupi keseluruhan tubuhnya, maka bahagian kepalanya ditutupkan dan dikafan daripada bahagian kepala sampai ke kaki seberapa yang dapat. Mana-mana bahagian yang terdedah maka hendaklah ditutup dengan al-Idzkhir  atau jenis rerumputan lainnya. Yang demikian itu berdasarkan hadits Khabbab bin al-Aratt  mengenai Mus‘ab  dan sabda baginda   mengenai (kain) namirahnya:
 ضعوها مما يلي رأسه (و في رواية : غطوا بها رأسه)، و اجعلوا على رجليه الإذخِر  ،
“Letakkan ia daripada bahagian kepalanya (di dalam riwayat lain: tutupkan kepalanya dengannya) dan letakkan al-Idzkhir di atas kedua kakinya”
Ia telah disebutkan secara sempurna dalam perkara (34)

37. Sekiranya kain kafannya sedikit, manakala bilangan jenazah pula banyak, diharuskan untuk mengkafankan beberapa orang dengan kain kafan yang satu.dengan cara membahagikannya di antara mereka, kemudian mendahulukan yang paling banyak hafazan dan ilmu al-Qur’annya ke arah kiblat (paling hadapan). Ini berdasarkan hadis Anas :
“Ketika Peperangan Uhud, Rasulullah  lalu di hadapan jenazah Hamzah bin ‘Abdul Muttalib, sedang jasadnya telah dirosak dengan telinganya dikerat serta wajahnya dikelar   maka baginda  bersabda:
 لو لا أن تجده صفية [في نفسها ل] تركته [حتى تأكله العافية ]
حتى يحشره الله من بطون الطير و السباع 
{Seandainya ia tidak menjadikan Sofiyyah  bersedih dan pilu, pasti telah aku biarkan jenazahnya [sehingga dimakan “العافية” binatang pemakan bangkai] sampai kelak Allah himpunkan dan bangkitkannya daripada perut burung-burung pemangsa dan binatang-binatang buas}.
Maka baginda kemudian mengkafankannya dengan (sehelai kain) namirah, jika ditutup kepalanya, akan terdedahlah kakinya dan jika ditutup kakinya, akan terdedah pula kepalanya, maka baginda   menutup kepalanya, tanpa melakukan solat jenazah ke atas seorang pun daripada Syuhada’ kecuali beliau, lalu baginda   bersabda:
 أنا شاهد عليكم اليوم  
{Akulah saksi kalian pada hari ini}
[Ramai yang gugur tapi kain pula sedikit] maka dikumpulkan 3 atau 2 orang di dalam kubur yang satu, sambil baginda bertanya siapakah yang paling banyak hafazan dan ilmu Al-Qurannya untuk diletakkan di hadapan di dalam lahad, maka 2 atau 3 orang lelaki dikafankan dalam satu kain kafan.”  

[Kata Syeikhul Islam Ibn Taimiyah   (trj):
“Hadis ini bermaksud baginda   telah membahagikan kain yang satu untuk sekumpulan, maka setiap seorang itu dikafankan dengan bahagian kainnya (yang dipotong dan diperuntukkan untuknya) kerana darurat, walaupun sekiranya ia hanya dapat menutup sebahagian tubuhnya. Ini difahami dengan petunjuk yang terdapat pada hujung hadis, iaitu baginda bertanya siapa yang banyak ilmu Al-Qurannya untuk diletakkan di lahad dahulu. Jika mereka disatukan dalam kafan yang satu, tentunya baginda telah tanyakan tentang itu sebelum itu (sebelum dikafankan) agar tidak jadi sebab dibuka dan dibalut semula kafannya. (‘Aun al-Ma‘bud: 3/165 - menurut asy-Syeikh) – penterjemah]

Inilah tafsiran yang tepat, manakala pendapat yang mentafsirkan menurut zahir hadis ini maka ia silap bercanggah dengan jalan cerita hadis, sebagaimana yang telah dijelaskan sendiri oleh al-Imam Ibn Taimiyah . Yang lagi jauh daripada kebenaran ialah pendapat yang mentafsirkan: “makna kain yang satu ialah kubur yang satu!” sebab ini telah sedia ada keterangannya di dalam hadis maka tiada faedahnya ia diulang.

38. Tidak dibolehkan perbuatan menanggalkan pakaian orang yang mati syahid, bahkan hendaklah dikebumikannya dengan pakaiannya tersebut sebagaimana sabda baginda  mengenai Syuhada’ Uhud:
 زملوهم في ثيابهم  
 “Balutlah mereka dengan pakaian mereka sekali (tidak ditanggalkan)”

39. Adalah digalakkan untuk mengkafankan jenazah syahied, satu helai lapisan kain atau lebih, (yang digunakan untuk menyelubung) di atas pakaiannya, sebagaimana yang baginda  lakukan terhadap jenazah Mus‘ab bin ‘Umayr. Hadisnya telah disebutkan di dalam perkara (34).

40. Adapun muhrim, maka ia dikafankan dengan kedua helai kain ihramnya berpandukan hadis sabda baginda mengenai orang yang meninggal dalam keadaan ihram kerana diinjak untanya:
....و كفنوه في ثوبيه [اللذين أحرم فيهما] ....  
“…dan kafankanlah ia di dalam pakaian (kedua kain) [yang digunakannya untuk ihram]…”
Hadisnya telah disebutkan sepenuhnya di bawah tajuk (3) bahagian (d).

41. Di dalam mengkafankan jenazah, ada beberapa perkara yang digalakkan:
Pertama: Menggunakan kain berwarna putih, berdasarkan sabda baginda :
  البسوا من ثيابكم البياض ، فإنها خير ثيابكم ، و كفنوا فيها موتاكم  
 “Pakailah kamu pakaian yang berwarna putih, kerana sesungguhnya ia (warna putih) adalah sebaik-baik pakaian kamu dan kafankanlah juga dengannya (kain putih) akan jenazah kalian”

Kedua: Kainnya sebanyak 3 helai/potongan. Bersandarkan kepada hadis ‘A-isyah   katanya:
“Sesungguhnya Rasulullah  telah dikafankan dengan 3 helai kain buatan Yaman berwarna putih jenis Sahuliyah, daripada kursufin , tiada pakaian di dalamnya tidak pula serban [yang diselitkan ke dalamnya].”

Ketiga: Sebaiknya salah satu dari kain itu ialah hibarah , jika mampu, kerana sabda baginda :
  إذا توفي أحدكم فوجد شيئا ، فليكفن في ثوب حبرة  
 “Jika seseorang di antara kalian meninggal dunia dan ada kemampuan, maka hendaklah dikafankan dengan kain hibarah.”

Keempat: Mengasapkannya dengan wangian sebanyak 3 kali, berdasarkan sabda baginda :
  إذا  أجمرتم الميت ، فأجمروه ثلاثا  
 “Jika kalian mengasapkan wangian pada jenazah, maka lakukanlah sebanyak 3 kali.”
Namun hukum ini tidak merangkumi jenazah muhrim kerana sabda baginda tentang muhrim yang mati diinjak untanya:
  ....و لا تطيبوه ...  
 “….dan  jangan mengenakan wangian padanya …”

Hadisnya telah disebutkan sepenuhnya di bawah tajuk (3), perkara: 17 bahagian (d).

42. Tidak boleh berlebihan atau melampau di dalam mengkafan dan tidak boleh lebih dari 3 helai, sebab ia bercanggah dengan bilangan Rasulullah   dikafankan, sepertimana yang telah dijelaskan di dalam perkara tadi. Lagipun ia merupakan suatu pembaziran dan penyalahgunaan harta, yang jelas terlarang dan orang yang hidup adalah lebih utama dan berhak untuk memanfaatkannya, sabda Rasulullah :
  إن الله كره لكم ثلاثا ؛ قيلَ و قال ، و إضاعة المال و كثرة السؤال 
 “Sesungguhnya, Allah benci 3 perkara bagi kamu; Bual kosong, pembaziran harta dan banyak soal.”
Ingin saya ketengahkan di sini apa yang dikatakan oleh al-‘Allamah Abu Toiyib di dalam Raudat an-Nadiyah (1/165) [terjemahannya]:
“Bukanlah melebihkan kafan dan berlebihan pada harganya suatu perkara yang terpuji. Sebab, kalaulah sekalipun tidak ada keterangan daripada Syara‘ mengenainya, namun jelas ia adalah suatu pembaziran harta, kerana jenazah tidak akan dapat manfaat daripadanya dan tidak pula ada manfaatnya yang kembali kepada yang hidup. Semoga Allah merahmati Abu Bakar as-Siddieq yang mengatakan:
 إن الحي أحق بالجديد  
“Sesungguhnya, orang yang hidup lebih utama untuk mendapatkan yang baru”
Ketikamana beliau ditegur sewaktu beliau menentukan kain kafan untuk diri beliau: (kata mereka kepada beliau): “Ini sudah lusuh”

43. Orang perempuan, sama keadaannya dalam perkara ini seperti orang lelaki, sebab tiada dalil yang membezakan.
[Daripada kitab asal – secara ringkas (tambahan penterjemah):
Adapun hadis Layla binti Qa-if ats-Tsaqafiyah dan periwayatan lainnya yang mengisahkan bahawa Zainab binti Rasulillah dikafankan sebanyak 5 helai kain kafan, maka riwayat-riwayat tersebut semuanya tidak Sahih, sebagaimana yang saya jelaskan di dalam Silsilat al-Ahadiets ad-Do‘iefah: hadis no: 5844]

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts