Thursday, March 12, 2015

12. Perihal mengusung dan mengiringi jenazah
















44. Mengusung jenazah dan mengiringinya adalah suatu kewajipan, sebab ia merupakan haknya si mati sebagai seorang muslim ke atas kaum muslimin. Ada banyak hadis yang menjelaskan demikian dan saya sebutkan dua daripadanya:
Pertama: sabda baginda :
     حق المسلم على المسلم (و في رواية : يجب للمسلم على أخيه) خمس: ردّ السلام ،
و عيادة المريض ، و اتِّباع الجنائز ، و إجابة الدعوة ، و تشميت العاطس  
“Hak seorang muslim ke atas muslim yang lain (di dalam riwayat lain: kewajipan setiap muslim ke atas saudaranya) ada 5; membalas ucapan salam, menziarahi yang sakit, mengiringi jenazah, menyahut seruan undangannya dan mengucapkan at-Tasymiet (Yar-ham kumulLah – يرحمكم الله) kepada orang yang bersin (yang mengucapkan Alhamdulillah).”  

Kedua: sabda baginda :
     عودوا  المريض ، و اتَّبعوا الجنائز ، تُذَكِّرْكُم الآخرة  
 “Ziarahilah yang sakit dan ikuti (atau iringilah) jenazah, itu mengingatkan kamu akan Akhirat”

45. Mengiringi jenazah ada dua tahap/peringkat:
Pertama: Mengiringinya daripada rumah/tempat jenazahnya diuruskan sehingga ia disolatkan.
Kedua: Mengiringinya daripada rumahnya sehinggalah ia dikebumikan.

Kedua-dua tahap iringan ini dilakukan oleh Rasulullah , Abu Sa‘ied  meriwayatkan:
“Kami biasa menghadap Nabi   (yakni di Madinah), apabila ada di antara kami (para Sahabat penduduk kota Madinah) di ambang kematian, kami akan mengundang Nabi  dan baginda  akan hadir serta memintakan ampunan untuknya (orang yang di ambang maut itu), sehinggalah ia diambil nyawanya, maka Nabi  akan pergi mengiringinya bersama para Sahabat  sehingga dikebumikan. Adakalanya, segalanya itu memakan masa yang panjang, mengambil masa Nabi , maka kerana kami khuatir ia akan memberatkan baginda , sebahagian Sahabat menyarankan: Ada baiknya jika kita tidak beritahu Nabi kecuali setelah seseorang meninggal dunia, barulah kita undang baginda agar tidak memberatkan baginda. Akhirnya kami pun melakukan yang demikian. Kami hanya memberitahu baginda   apabila seseorang itu telah pun meninggal dunia, lalu baginda  datang dan melakukan solat jenazah untuknya, adakalanya Nabi  pulang selepas itu dan adakalanya baginda iringi sampai dikebumikan. Demikianlah yang berlaku buat jangka masa tertentu. Kemudian kami berbincang dan bersetuju pula, kalaulah kita jadikan Nabi  tidak perlu datang sendiri, dengan kita mengusung jenazah ke rumah baginda untuk baginda  solatkan, tentunya itu lebih ringan dan sopan terhadap baginda , maka demikianlah yang dilakukan sehingga hari ini.”

46. Tiada syak dan ragu-ragu lagi bahawa tahap yang kedua adalah lebih afdhal dari tahap yang pertama berdasarkan sabda baginda :
     من شهد الجنازة [ من بيتها] ، (و في رواية : من اتبع جنازة مسلم إيمانا و احتسابا) حتى يُصليَ عليه فله قيراط ، و من شهدها حتى يدفن (و في الرواية الأخرى: يفرغ منها) فله قيراطان [من الأجر].
قيل : [يا رسول الله] و ما القيراطان ؟
قال مثل الجبلين العظيمين. (و في الرواية الأخرى: كل قيراط مثل أحد)  
“Barangsiapa yang menyaksikan (yakni menghadiri kemudian mengiringi) jenazah [daripada rumah jenazah itu] (di dalam riwayat lain: barangsiapa yang mengiringi jenazah seorang muslim kerana iman dan mengharapkan pahala) sehingga ia disolatkan maka baginya qierat, dan barangsiapa yang menyaksikannya sehingga ia
dikebumikan (di dalam riwayat lainnya: selesai urusan jenazahnya) maka baginya 2 qierat [daripada pahala]. Ditanyakan kepada baginda : [Wahai Rasulullah] dan apakah yang dimaksudkan dengan 2 qierat? Jawab baginda : seperti 2 gunung yang besar (dan di dalam riwayat lainnya: setiap qierat itu (besarnya) seperti Gunung Uhud.”

47. Kelebihan mengiringi jenazah ini, adalah semata-mata buat kaum lelaki bukan wanita, sebab adanya larangan baginda  terhadap perbuatan wanita mengiringi jenazah, namun ia adalah larangan makruh (lebih utama ditinggalkan). Kata Umm ‘Atiyah :
“Kami (pada zaman Nabi ) dilarang (di dalam riwayat lain: Rasulullah  telah melarang kami) daripada mengiringi jenazah, tanpa melarangnya dengan keras (tegas).”

48. Tidak dibolehkan untuk mengiringi jenazah dengan sesuatu yang bercanggah dengan Syari‘at. Terdapat nas-nas terhadap dua perkara: Meninggikan suara dengan tangisan dan mengiringinya dengan setanggi atau jenis asap-asapan lainnya. Yang demikian menurut sabda baginda:
     و لا تتَّبعوا الجنازة بصوت و لا نار  
 “Jangan mengiringi jenazah dengan suara dan tidak pula api.”

49. Dirangkumkan sekali dengan larangan meninggikan suara, sebutan dzikir di sisi jenazah, sebab ia adalah bid‘ah, juga kerana riwayat Qais bin ‘Ubad:
" كان أصحاب النبي   يكرهون رفع الصوت عند  الجنائز "
“Adalah (sikap) para Sahabat Nabi  itu, membenci perbuatan meninggikan suara di sisi jenazah”
Lagipun, perbuatan tersebut menyerupai orang-orang Nasraniy; yang mana mereka meninggikan suara mereka dengan bacaan injil dan kidung mereka dengan nada yang diperpanjangkan dan menyedihkan/sayu.

Yang lebih buruk dari itu ialah, membuat bising dengan alat-alat musik dengan dendangan yang sayu, sebagaimana dilakukan di sebahagian negeri-negeri Islam kerana secara membuta-tuli mencontohi orang-orang kafir. WalLahul Musta‘an.

Kata al-Imam an-Nawawi  di dalam kitab al-Adzkar (hlm. 203 – trj.):
“Ketahuilah bahawa yang betul dan yang terpilih, terbaik serta itulah amalan as-Salaf  , berdiam diri tidak mengucapkan apa-apa ketika mengiringi jenazah. Maka tidak boleh ditinggikan suara dengan bacaan atau dzikir mahupun apa jua tuturan. Hikmahnya di sebalik larangan ini amat jelas, yakni sebab ia lebih menenangkan fikiran dan perasaan, dalam hal yang berkaitan dengan jenazah. Inilah yang dituntut pada keadaan seperti ini dan inilah yang benar serta usah dihiraukan dengan ramainya orang yang mencanggahinya.

Abu ‘Aliy al-Fudayl bin ‘Iyad semoga Allah meredhainya pernah berkata (maksudnya):
“Lazimi dan tetaplah pada jalan-jalan yang berpedoman dan usahlah kamu terjejas semata-mata kerana sedikitnya bilangan yang menurutinya dan waspadalah daripada jalan-jalan yang sesat dan usah kamu hairan dengan bilangannya yang ramai yang binasa (kerana menuruti jalan tersebut)”
Kami juga telah meriwayatkan di dalam Sunan al-Bayhaqiy yang mengajarkan seperti apa yang kami sebutkan (maksud al-Imam an-Nawawi ialah kata-kata Qais bin ‘Ubad tadi). Adapun apa yang dilakukan oleh orang-orang yang jahil daripada pembacaan Al-Quran ke atas jenazah di Damsyik (Damascus) dan tempat lainnya dengan bacaan yang sayu mendayu-dayu, mengeluarkan kekata daripada kedudukan asalnya (nerubah-rubah ajaran asal Islam) maka ia adalah haram dengan ijma‘ ‘ulama’. Telah saya jelaskan keburukannya dan hukum pengharamannya yang amat berat serta jatuh fasiqnya orang yang menyaksikannya lagi mampu mengingkari tetapi tidak mengingkarinya di dalam kitab – Adab al-Qira’ah – WalLahul Musta‘an.

50. Adalah wajib untuk percepatkan perjalanan ketika mengusungnya, tapi tidak pula sampai berlari anak berdasarkan perintah baginda :
   أسرعوا بالجنازة فإن تكن صالحة فخير تقدمونها عليه،  و إن تكن غير ذلك فشر تضعوها عن رقابكم  
 “Segerakanlah pengurusan jenazah. Sekiranya ia (jenazah orang) baik, maka kamu segerakan ia untuk meraih kebaikan dan jika ia buruk maka kamu segera melepaskannya daripada tanggungan kamu”

Menurut pendapat ku, zahirnya perintah baginda  ini bererti wajib dan demikianlah pendapat Imam Ibn Hazm  (5/154-155). Lagipun kita tidak menjumpakan satu dalil yang boleh dijadikan hujjah bahawa perintah tersebut bermaksud sunnat. Maka kita terimanya dengan dasar itu (wajib). Kata Imam Ibn al-Qayyim   di dalam Zad al-Ma‘ad (trj.):
“Adapun apa yang biasa dilakukan oleh orang zaman sekarang, mengusung dengan langkah kecil, setapak demi setapak, perlahan-lahan maka ia adalah bid‘ah yang buruk, bercanggah dengan as-Sunnah dan sekaligus menyerupai Ahli Kitab: Yahudi”

51. Diharuskan berjalan di hadapan atau di belakangnya ketika mengiringinya, ataupun di sebelah kanan atau kirinya, selama dekat dengannya, kecuali orang yang menaiki kenderaan/tunggangan maka ia ikut dari belakang sahaja, semuanya ini berpandukan sabda baginda :
   الراكب [يسير] خلف الجنازة ، و الماشي حيث شاء منها ، [خلفها و أمامها، و عن يمينها ، و عن يسارها، قريبا منها] و الطفل يُصلى عليه ، [و يُدعى لوالديه بالمغفرة و الرحمة ]  
“Orang yang berkenderaan [berjalan] di belakang jenazah, yang berjalan kaki boleh memilih sebelah manapun dari jenazah tersebut, [di belakangnya, hadapannya, sebelah kanan ataupun kirinya, asal dekat dengannya], anak kecil disembahyangkan juga, [dan didoakan untuk kedua ibu bapanya dengan pengampunan dan rahmat].”  

52. Berjalan kaki ketika mengiringi jenazah samada di hadapan atau di belakangnya, tsabit (yakni ada keterangannya) daripada perbuatan Rasulullah , sebagaimana yang diceritakan oleh Anas bin Malik :
“Sesungguhnya Rasulullah , Abu Bakar dan ‘Umar lumrahnya berjalan kaki mengiringi jenazah di hadapannya mahupun di belakangnya”  

53. Akan tetapi, yang afdal, lebih utama lagi baik, ialah berjalan di belakangnya, sebab ini yang difahami daripada petunjuk hadis:
     و اتَّبعوا الجنائز  
 “…dan ikutilah jenazah...”

Begitu juga hadis-hadis lainnya yang seerti dengannya. Ini dikuatkan dan disokong oleh kata-kata ‘Aliy  :
"المشي خلفها أفضل من المشي أمامها ، كفضل صلاة الرجل في الجماعة على صلاته فذا"
“Berjalan kaki di belakang jenazah adalah lebih utama daripada berjalan di hadapannya sepertimana keutamaan solatnya seseorang berjemaah daripada solatnya sendirian.”  

54. Diharuskan untuk menaiki kenderaan atau menunggang tunggangan dengan syarat mesti mengikut di belakang jenazah (tidak di hadapannya) kerana sabda baginda  di dalam hadis tadi:
     الراكب يسير خلف الجنازة ...  
 “Orang yang berkenderaan berjalan di belakang jenazah...”

Namun, yang afdal ialah berjalan kaki tanpa berkenderaan, sebab itu yang diketahui daripada amalan baginda  , malah tiada riwayat pun yang menjelaskan bahawa baginda  berkenderaan ketika mengiringinya, bahkan Tsauban   meriwayatkan (trj.):
“Bahawasanya Rasulullah  telah ditawarkan seekor haiwan tunggangan ketika mengiringi jenazah, maka baginda  enggan menunggangnya. Setelah baginda  mula beredar pulang, baginda   dipelawa dengan seekor haiwan tunggangan untuk ditunggangi maka baginda  pun mengenderainya. Lalu baginda  ditanya tentang hal itu, maka jawab baginda :
     إن الملائكة كانت تمشي فلم أكن لأركب و هم يمشون ، فلما ذهبوا ركبت  
 “Sesungguhnya para malaikat tadi berjalan kaki, maka tidak selayaknya aku berkenderaan sedang mereka pula berjalan kaki. Maka apabila mereka telah beredar barulah aku berkenderaan”

55. Adapun berkenderaan setelah selesai darinya (yakni jenazah telah dikebumikan) maka ia dibolehkan, tidak makruh dan tidak pula dibenci, berdasarkan hadis Tsauban  yang telah disebutkan tadi dan yang sepertinya iaitu hadis Jabir bin Samurah  :
“Rasulullah  telah melakukan solat jenazahnya Ibn ad-Dahdah [sedang kami turut serta], (dan di dalam riwayat lain: Baginda  keluar untuk mengiringi jenazah Ibn ad-Dahdah [dengan berjalan kaki], kemudian ditawarkan seekor kuda, yang dikendalikan seorang lelaki, maka baginda pun menaikinya [setelah beredar] maka baginda mengawal kuda itu berjalan perlahan dengan langkah yang kecil dan kami mengekori baginda  berjalan cepat di belakang baginda , (di dalam riwayat lain: keliling baginda ). Maka kata seseorang: Sesungguhnya Nabi  bersabda:
     كم من عِذْقٍ مُعلَّقِ أو مُدَلَّى في الجنة لابن الدحداح  
 “Betapa banyak pelepah yang terikat/tergantung atau tertarik sama di dalam syurga untuk Ibn ad-Dahdah”
 
56. Adapun perbuatan mengangkut jenazah dengan pengangkutan beroda atau kereta tolak ataupun kenderaan khas untuk jenazah dengan para pengiringnya juga mengiringinya di dalam kenderaan , maka cara begini tidak pernah diajarkan Syari‘at Islam. Yang demikian itu bersebabkan beberapa perkara:

Pertama: Ia dari adat istiadat orang-orang kafir dan jelas sebagai suatu ketetapan Syari‘at yang sedia diketahui, tidak boleh dicontohi atau diikuti sesuatu daripada tatacara atau adat mereka. Untuk perkara ini, terdapat amat banyak sekali hadis-hadisnya, yang telah saya kumpulkan seberapa banyak yang terdaya dan saya sebutkan di dalam kitab saya: “Hijab al-Mar-at al-Muslimah fi al-Kitabi wa as- Sunnah”. Sebahagian hadis-hadis tersebut menjelaskan perintah dan penekanan agar bercanggah dengan mereka di dalam ibadat, pakaian dan adat istiadat mereka dan sebahagiannya pula daripada perbuatan baginda sendiri  yang mencanggahi mereka dalam perkara-perkara itu. Sesiapa yang ingin mengetahuinya maka sebaiknya ia menelaah dan merujuk kitab tersebut.

Kedua: Ia suatu bid‘ah di dalam ibadat , ditambah pula dengan percanggahan terhadap pengamalan as-Sunnah yang mengajarkan agar jenazah diusung orang dan segala yang ciri-cirinya demikian (mencanggahi ajaran dan pengamalan as-Sunnah) daripada rekaan-rekaan baru, maka ia sesat dengan kesepakatan ahli ilmu.

Ketiga: Ia juga menghilangkan maksud atau matlamat di sebalik pengusungan dan pengiringan jenazah, yakni peringatan kepada kehidupan Akhirat, sebagaimana yang dinaskan/ditegaskan sendiri oleh Rasulullah   di dalam hadis yang telah disebutkan pada permulaan tajuk ini dengan lafaz:
     ..... و اتَّبعوا الجنائز ، تُذَكِّرْكُم الآخرة  
 “… dan ikuti (atau iringilah) jenazah, itu mengingatkan kamu akan Akhirat”

Komentar ku: Bahawasanya cara pengiringan demikian adalah di antara sebab yang melenyapkan tujuan asal (di sebalik pensyari‘atan pengiringan jenazah) pada diri manusia secara keseluruhannya atau sebahagiannya, sebab adalah sesuatu yang jelas, pada pandangan mereka yang teliti pemerhatiannya, bahawa pengusungan jenazah pada pundak para pengusung, sedang para pengiringnya menyaksikannya diusung di atas kepala mereka (bahu), lebih berkesan dalam mencapaikan maksud atau matlamat memperingati dan mengggeruni Akhirat daripada cara pengiringan tersebut. Adalah sesuatu yang tidak melampau kalau saya katakan: Bahawasanya sebab yang menjadikan orang-orang Eropah mengangkut jenazah mereka demikian (berkenderaan) ialah takutnya mereka kepada maut dan segala apa yang boleh menyebabkan mereka teringatkan maut kerana cinta mereka yang amat sangat terhadap kebendaan dan kekufuran mereka terhadap kehidupan Alam Akhirat.

Keempat: Ia juga menjadi punca kepada kurangnya bilangan para pengiring dan jumlah orang yang ingin meraih pahala dengan mengiringi jenazah seperti yang telah disebutkan sebelum ini dalam perkara (46). Sebab, tidak semua orang mampu untuk memiliki atau menyewa kenderaan untuk mengiringinya.

Kelima: Sesungguhnya, cara pengiringan begini tidak bersesuaian langsung, samada sedikit atau banyak, dengan apa yang sedia diketahui di dalam Syari‘at yang suci lagi mudah ini, yang jauh daripada segala kerumitan dan kesukaran serta “tatacara yang rasmi”, mentelah lagi dalam perkara yang begitu berat/penting (yakni berat dirasakan oleh kerabat si mati): yakni maut/kematian.

Demi al-haq (menyampaikan yang benar) maka saya katakan: Seandainya hanya ini sahaja bentuk-bentuk percanggahan yang ada di dalam bid‘ah ini, telah memadailah perincian yang sedemikian itu untuk menolaknya. Maka bagaimana pula jika disertakan juga berbagai penjelasan yang menerangkan percanggahan-percanggahan dan keburukan-keburukannya yang lain yang tidak saya sebutkan?

57. Berdiri sebagai penghormatan untuk jenazah telah dimansukhkan . Ia ada dua keadaan:
a. Berdirinya orang yang sedang duduk ketika jenazah diusung lalu di hadapannya.
b. Berdirinya para pengiring ketika ia telah sampai di perkuburan sehinggalah ia diletakkan di tanah.

Dalilnya ialah hadis ‘Aliy  :
“Rasulullah  telah bangun berdiri untuk menghormati jenazah, maka kami pun ikut berdiri, kemudian baginda  duduk dan kami pun ikut duduk”  
Di dalam riwayat lain:
“Asalnya baginda  berdiri untuk jenazah, kemudian baginda   hanya duduk sahaja.
Di dalam riwayat yang lain pula:
“Dahulunya Rasulullah   memerintahkan kami agar bangun berdiri untuk (menghormati) jenazah, kemudian baginda  hanya duduk dan memerintahkan kami agar duduk sahaja (tidak menunjukkan penghormatan dengan berdiri)”

Digalakkan kepada orang yang mengusungnya agar berwudu’ kerana sabda Nabi  :
     من غسّل ميتا فليغتسل ، و من حمله فليتوضأ  
 “Barangsiapa yang memandikan jenazah maka hendaklah ia mandi dan barangsiapa yang mengusungnya hendaklah ia berwudu’”

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts