Friday, March 27, 2015

13. Solat Jenazah (Bhg.1) - Hukum-hukum berkaitan dengannya














58. Melakukan solat jenazah ke atas jenazah seorang muslim adalah suatu kewajipan fardu kifayah, bersandarkan perintah baginda  di dalam beberapa hadis yang ingin saya sebutkan di antaranya ialah hadis Zayd bin Khalid al-Juhaniy :
“Bahawasanya seorang lelaki dari kalangan Sahabat Nabi  wafat pada Hari (Peperangan) Khaibar, maka mereka (Sahabat) pun menyampaikan berita tersebut kepada Rasulullah  , maka baginda pun bersabda:
     صلوا على صاحبكم  
“Solatkanlah jenazah sahabat kalian.”
Maka berubah wajah para Sahabat (mendengarkan demikian) lalu baginda   pun bersabda: {Sesungguhnya, sahabat mu ini telah berlaku curang di dalam Sabielillah (harta rampasan perang)}. Maka kami pun memeriksa barang-barangnya dan yang kami jumpai hanyalah sekeping kulit hiasan milik orang Yahudi yang nilainya tidak sampai 2 dirham pun”    

59. Dikecualikan ialah 2 orang, yang tidak wajib disolatkan jenazah mereka berdua ini iaitu:
Pertama: Anak kecil yang belum baligh, sebab Nabi  tidak melakukan solat jenazah ke atas Ibrahiem anak baginda , kata ‘A-isyah  :
“Ibrahiem bin Nabi   wafat ketika ia berumur 18 bulan dan Rasulullah tidak melakukan solat ke atas jenazahnya.”

Kedua: Orang yang mati syahied, sebab Nabi  tidak melakukan solat jenazah untuk Syuhada’ Uhud dan lainnya, sebagaimana yang telah diterangkan.

Akan tetapi, itu tidak menafikan adanya solat jenazah ke atas kedua-duanya bahkan ia disyari‘atkan, cuma tidak wajib, sepertimana yang akan dijelaskan di dalam tajuk berikutnya.

60. Adalah disyari‘atkan untuk melakukan solat jenazah ke atas mereka yang disenaraikan berikut ini:
Pertama: Anak kecil: walaupun ia adalah anak yang gugur semasa masih dalam kandungan, berdasarkan sabda baginda  di dalam perkara (51) yang lalu:
     ... و الطفل (و في رواية : السِّقْط)  يُصلى عليه ، و يُدعى لوالديه بالمغفرة و الرحمة  
“…anak kecil (dalam riwayat lain: janin [kandungan] yang gugur) disembahyangkan juga (jenazahnya), dan didoakan untuk kedua ibu bapanya dengan pengampunan dan rahmat.”  

Zahirnya, yang disolatkan janin itu ialah sekiranya telah ditiupkan ruh kepadanya (oleh malaikat dengan perintah Allah ). Iaitu jika ia telah cukup 4 bulan di dalam kandungan, lalu gugur. Adapun jika ia gugur atau mati sebelum itu, maka ia tidak disolatkan kerana ia belum dikira mayat, sebagaimana yang jelas difahami umum  (umat manusia).  Dasarnya yang menjelaskan segalanya itu adalah hadis ‘Abdullah bin Mas‘ud   secara marfu‘:
      إن خَلْقَ أحدكم يجمع في بطن أمه أربعين يوما ، ثم يكون علقة مثل ذلك ،
 ثم يكون مضغة مثل ذلك ، ثم يبعث إليه ملكا ...ينفخ فيه الروح  
“Sesungguhnya penciptaan seseorang di antara kalian dihimpunkan di dalam perut (rahim) ibunya selama 40 hari, kemudian ia menjadi segumpal darah seperti jangka masa itu, kemudian ia menjadi segumpal daging seperti jangka masa itu, kemudian diutuskan kepadanya seorang malaikat…yang meniupkan ruh padanya...”

Kedua: Orang yang mati syahied: dan terdapat banyak hadis mengenainya, rasanya memadailah saya sebutkan sebahagian daripadanya sahaja:
1. Daripada ‘Abdullah bin az-Zubayr :
“Bahawasanya Rasulullah  memerintahkan pada Hari Uhud agar Hamzah ditutup jasadnya dengan sehelai kain burdah, kemudian baginda  solatkan jenazahnya bertakbir sebanyak 9 kali, kemudian baginda  didatangkan dengan jenazah lainnya yang disusun dalam saf, lalu baginda   lakukan solat jenazah ke atas mereka dan ke atas beliau (Hamzah) juga, bersama-sama dengan mereka.”

2. Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir al-Juhaniy :
“Bahawasanya Nabi  keluar satu hari lalu melakukan solat jenazah untuk ahli Uhud [selepas 8 tahun], [seperti halnya orang yang mengucapkan selamat tinggal kepada yang masih hidup mahupun yang telah mati], kemudian baginda  pergi ke mimbar, memanjatkan puji-pujian kepada Allah  dan mengagungkanNya lantas bersabda:
{Aku telah kurang berikan yang selayaknya buat kalian dan aku adalah saksi kalian [sungguh yang dijanjikan kepada kamu adalah al-Haud] dan sesungguhnya aku, demi Allah, sedang menyaksikan Haud ku sekarang, [dan sungguh lebarnya adalah selebar jarak di antara Aylah dan al-Juhfah], dan sesungguhnya aku telah dikurniakan kunci-kunci khazanah bumi, atau kunci-kunci bumi, dan sesungguhnya, demi Allah, aku tidak khuatir yang kamu akan jadi syirik selepas ku, akan tetapi yang aku khuatiri ke atas kamu [adalah keduniaan], kalau-kalau kamu akan berlumba-lumba untuknya [berbunuh-bunuhan maka kamu jadi binasa sebagaimana mereka yang sebelum kamu telah binasa.]}
[Itulah kali terakhir Rasulullah  diperlihatkan sesuatu].

Ketiga: Orang yang mati dengan salah satu hukuman hudud, berdasarkan hadis ‘Imran bin Husayn :
“Bahawasanya seorang wanita dari kaum Juhainah datang menghadap Nabiyullah  sedang beliau hamil angkara perbuatan zina, lalu ia berkata: Wahai Nabi Allah, saya mesti dikenakan hukum hudud (kerana zina) maka laksanakanlah ia ke atas diriku. Maka Nabiyullah  menemui walinya (kepada wanita tersebut) dan bersabda: (maksudnya) Berlaku baiklah terhadapnya, apabila beliau telah melahirkan, maka bawalah beliau menemuiku. Walinya pun melaksanakan pesanan baginda . Maka Nabiyullah   pun memerintahkan agar dilaksanakan hukuman, maka dikoyakkan sedikit pakaiannya, lalu direjam. Kemudian baginda solatkan jenazahnya. ‘Umar pun berkata: Tuan hamba solatkannya wahai NabiyAllah? Padahal ia telah berzina?! Maka baginda   pun menjawab: Beliau  telah bertaubat dengan taubat yang jika dibahagikan kepada 70 orang penduduk kota Madinah, tentunya masih ada baki lagi. Apakah anda pernah ketahui ada taubat yang lebih utama daripada tindakan beliau yang menyerahkan diri kepada Allah Ta‘ala?

Keempat: Orang yang fasiq, mati dalam keadaan maksiat dan haram, seperti orang yang meninggalkan kewajipan solat dan zakat sedang ia akur akan kewajipannya, orang yang berzina dan kaki botol dan yang lainnya daripada golongan fasiq, mereka ini dilakukan solat jenazah untuk mereka, namun hendaknya, kalangan ahli ilmu atau ‘ulama’ serta ahli agama, tidak melakukan solat ke atas jenazah mereka, sebagai satu hukuman dan balasan serta pengajaran bagi orang-orang yang seperti mereka, seperti halnya perbuatan Nabi  . Terdapat banyak hadis yang menjelaskan demikian dan saya sebutkan satu sahaja:
Daripada Abi Qatadah katanya:
“Adalah menjadi kebiasaan Rasulullah  apabila diundang untuk melakukan solat jenazah, baginda bertanyakan dahulu halnya si mati. Jika ia dipuji dengan kebaikan, baginda akan melakukan solat jenazah untuknya. Seandainya dikatakan tentangnya selain itu (buruk), maka baginda  akan mengatakan kepada ahli keluarganya: {Ia adalah urusan kamu} sedang baginda  tidak solatkannya.”  

Kelima: Orang yang berhutang sedang ia tidak meninggalkan harta yang secukupnya untuk melunaskan hutang-hutangnya. Ia tetap disolatkan, kerana pada awalnya memang baginda  tidak solatkan jenazah orang yang menanggung hutang tetapi kemudiannya baginda   solatkan juga. Untuk itu, terdapat banyak hadis:
1. Daripada Salamah bin al-Akwa‘  katanya:
“Suatu ketika sewaktu kami duduk di sisi baginda , maka didatangkan kepada baginda  satu jenazah. Lalu mereka katakan: (Harap) solatkan jenazahnya. Maka baginda  bertanya: {Apakah ia ada menanggung hutang?} Jawab mereka: Tidak. Tanya baginda  pula: {Apakah ada apa-apa peninggalannya?} Jawab mereka: Tidak. Maka baginda  pun solatkan jenazahnya.
Kemudian, dihadapkan pula kepada baginda  jenazah yang lain, maka kata mereka: Wahai Rasulullah, solatkan jenazahnya. Maka baginda  bertanya: {Apakah beliau ada tanggungan hutang?} Lalu dijawab: Ya. Tanya baginda pula: {Apakah beliau ada sesuatu daripada harta peninggalan?} Jawab mereka: 3 dinar. [Baginda  pun menunjukkan bilangan 3 dengan jari-jari baginda ] lalu melakukan solat jenazah itu.
Setelah itu, didatangkan pula jenazah yang ketiga seraya kata mereka: Solatkanlah jenazahnya. Tanya baginda : {Apakah ada apa-apa peninggalannya?} Jawab mereka: Tidak.  {Apakah ia ada menanggung hutang?} Jawab mereka: 3 dinar. Maka sabda baginda : {Solatkanlah jenazah saudaramu}. Seorang lelaki Ansar yang digelar Abu Qatadah bersuara: Solatkanlah jenazahnya wahai Rasulullah dan saya yang akan menanggung hutangnya.”

2. Daripada Abi Hurairah   katanya:
“Bahawasanya Rasulullah  asalnya apabila didatangkan jenazah untuk disolatkan sedang ia menanggung hutang, baginda  akan bertanya: {Apakah ia ada meninggalkan sesuatu untuk dilunaskannya dengannya?} Jika baginda  diberitahu bahawa ia ada harta peninggalan yang mampu melunaskannya, baginda  langsung solatkan jenazahnya. Jika tidak, baginda  tidak jadi solatkannya malah bersabda menitahkan: {Solatkanlah jenazah saudaramu}.
Apabila Allah mengurniakan baginda  kejayaan demi kejayaan dengan semakin banyak kawasan terbuka untuk (menerima) Islam, baginda  bersabda:
     أنا أولى بالمؤمنين من أنفسهم [في الدنيا و الآخرة ، اقرؤوا إن شئتم:  النبي أولى بالمؤمنين من أنفسهم  ] فمن توفي و عليه دين [ و لم يترك وفاء ] فعلي قضاؤه ، و من ترك مالا فهو لورثته  
{Aku lebih utama daripada orang-orang yang beriman dari diri mereka sendiri [di dunia dan akhirat, bacalah jika kalian mahu: (trj. ayat) <Nabi itu adalah lebih utama terhadap orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri>.  Maka sesiapa yang meninggal dunia sedang ia ada menanggung hutang [padahal ia tidak meninggalkan apa yang dapat melunaskannya] maka atas diriku pembayarannya, dan barangsiapa yang ada meninggalkan harta maka ianya untuk para warisnya}”

Keenam: Orang yang dikebumikan sebelum disolatkan jenazahnya, atau sebilangan orang telah melakukan solat ke atasnya, sedang orang lain belum melakukan solat ke atas jenazahnya, maka mereka (yang belum) boleh solatkan solat jenazah di sisi kuburnya, dengan syarat imam (khalifah/ketua negara) di dalam misal yang kedua (yakni ada sebahagian orang belum solatkan), belum melakukan sholat ke atas jenazah tersebut. Terdapat banyak hadis mengenainya, cukuplah kita sebutkan satu sahaja:
Daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas   meriwayatkan:
“Seorang lelaki meninggal dunia – sedang sebelum kematiannya, Rasulullah  menziarahinya – lalu beliau pun dikebumikan pada waktu malam, maka pada siang harinya, mereka memberitahu tentang kematian beliau. Maka sabda baginda : Apa yang menghalang kamu untuk menyampaikan kepada ku (yakni berita kematiannya)? Jawab mereka: Waktu sudah larut malam dan gelap, jadi kami tidak mahu menyusahkanmu. Maka baginda  pun pergi ke kuburnya dan melakukan solat jenazah ke atasnya. [Maka kami pun mengikut di belakang baginda  membuat saf dan saya ada bersama mereka dan baginda  bertakbir 4 kali].

Ketujuh: Orang yang meninggal dunia di sebuah negeri, yang jelasnya, tidak ada orang yang solatkan jenazahnya (secara) solat hadir (jenazahnya ada secara dzatnya), maka jenazah yang berkeadaan demikian, dilakukan solat jenazah untuknya oleh segolongan muslimin (secara) solat ghaib, kerana Nabi  melakukan solat jenazah demikian untuk an-Najasyi:
Ia telah diriwayatkan oleh sebilangan Sahabat, sebahagian mereka menceritakan kisah yang lebih panjang daripada sebahagian yang lain. Saya telah kumpulkan hadis-hadis mereka mengenai kisah ini, kemudian saya sebutkannya menjadi seperti satu hadis demi mendapatkan kelebihan faedah daripadanya. Riwayat jalan cerita ini adalah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah :
“Sesungguhnya Rasulullah   telah mengumumkan kepada manusia [sedang ketika itu baginda  berada di Madinah] mengenai kematian an-Najasyi [nama beliau: as-hamah “أصحمة”]   [Ketua negeri Habasyah], pada hari beliau meninggal dunia, [sabda baginda : Sesungguhnya seorang daripada saudara kalian telah meninggal dunia (di dalam riwayat lain: Telah meninggal dunia, pada hari ini, seorang hamba Allah yang salih)] [bukan di bumi/tempat kamu ini], [maka bangunlah kalian solat ke atasnya]. Tanya mereka: Siapakah gerangannya? Jawab baginda: an-Najasyi], [dan baginda  bersabda: Mintalah ampunan untuk saudara kalian]
Maka baginda  pun mengajak mereka keluar ke tempat solat  (di dalam riwayat lain: al-Baqie‘), [Kemudian baginda  ke hadapan dan mereka membuat saf di belakang baginda ] [2 saf], [Kami pun membuat saf di belakang baginda  sepertimana biasanya dibuat saf untuk solat jenazah dan kami lakukan solat ke atas beliau sebagaimana biasanya kami lakukan solat jenazah], [sehingga kami menyangka seolah-olah ada jenazah di hadapan baginda], [baginda  mengimamkan dan solat ke atasnya], dengan bertakbir (ke atasnya) 4 kali takbier, [maka ditanyakan kepada baginda : Wahai Rasulullah, tuan hamba solatkan hamba keturunan Habsyi? Maka turunlah ayat:
( وَ إِنَّ مِنْ أَهْلِ الكِتاب لَمَن يُؤمن بالله...)
Dan di antara golongan Ahli Kitab itu, ada orang yang benar-benar beriman kepada Allah... - ayat tersebut”

Kata al-Imam Ibn al-Qayyim   di dalam Zad al-Ma‘ad (1/205-206):          
“Bukanlah daripada petunjuk ajaran dan Sunnah baginda , melaksanakan solat ke atas setiap jenazah ghaib, kerana sesungguhnya, ramai dari kalangan muslimin yang meninggal dunia sedang jenazah mereka ghaib (tiada di tempat baginda), tetapi baginda  tidak lakukan solat jenazah ghaib ke atas mereka, hanya jelas sahih daripada perbuatan baginda  bahawa baginda melakukan solat jenazah ghaib ke atas an-Najasyi sebagaimana biasanya baginda  solatkan jenazah (yang hadir)”

Di antara perkara yang menguatkan lagi kesimpulan bahawa solat ghaib tidak disyari‘atkan untuk setiap jenazah, ialah ketikamana al-Khulafa’ ar-Rasyideen dan Sahabat lainnya wafat , tiada seorang pun daripada kaum muslimin yang melakukan solat jenazah ghaib. Seandainya mereka ada melakukannya, pasti terdapat banyak riwayat mengenainya daripada zaman mereka lagi.

Maka bandingkanlah kenyataan ini dengan apa yang banyak dilakukan oleh ramai umat Islam hari ini, melaksanakan solat ghaib untuk setiap jenazah yang kematiannya berlaku di tempat lain, lebih-lebih lagi jika ia adalah orang yang ternama atau terkenal, walaupun semata-mata daripada sudut politik sahaja, padahal ia tidak pernah dikenali daripada sudut kebaikan dalam agama atau khidmat baktinya untuk Islam, sungguhpun jika ia meninggal dunia di dalam Masjidil Haram Mekkah dan telah disolatkan oleh beribu-ribu orang pada musim haji secara hadir.  Maka perbandingkanlah apa yang telah kami nyatakan dengan halnya solat ghaib sedemikian, pasti anda akan tahu dengan yakin bahawa ini adalah daripada perkara bid‘ah, yang tentunya tidak akan dilakukan oleh seseorang yang ‘alim akan Sunnah baginda   dan pegangan Salaf  .

61. Diharamkan solat jenazah dan Istighfar (minta ampunan) serta ucapan semoga dirahmati, ke atas kuffar (orang-orang kafir) dan orang-orang munafiq , berdasarkan Firman Allah:
 
 
 “Dan janganlah engkau solat ke atas seseorang pun yang mati di antara mereka selama-lamanya, dan usah pula berdiri (menghormati) di sisi kuburnya, sesungguhnya mereka kufur menderhaka kepada Allah dan rasulNya dan mereka mati sedang mereka (dalam keadaan) fasiq.”

Begitu juga hadis ‘Aliy   katanya:
“Aku telah mendengar seorang lelaki meminta ampunan buat kedua ibu bapanya padahal keduanya adalah musyrik, maka aku pun menegurnya: Engkau meminta ampunan buat kedua ibu bapamu sedangkan mereka berdua musyrik?! Jawabnya: Bukankah (Nabi) Ibrahiem telah memohonkan ampunan buat bapanya padahal ia seorang musyrik? Maka aku pun memberitakan hal itu kepada Nabi  , maka turunlah ayat:
 

 
 
“Tidak selayaknya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampunan buat orang-orang musyrik walaupun mereka itu adalah kerabat, setelah jelas kepada mereka bahawa mereka (kerabat) adalah ahli neraka, dan tiadalah minta ampunnya Ibrahiem untuk bapanya kecuali disebabkan janjinya yang telah dijanjikannya kepada bapanya, maka bilamana nyata kepadanya bahawa bapanya adalah musuh kepada Allah, beliau berlepas diri darinya. Sesungguhnya Ibrahiem adalah amat lembut hati lagi santun.”

Kata al-Imam an-Nawawi   di dalam al-Majmu‘: (5/144 dan 125):
“Solat ke atas orang kafir dan berdoa memintakan ampunan buat dirinya adalah haram dengan nas Al-Quran serta Ijma‘”.

Kesimpulanku: Daripada apa yang telah disebutkan, tahulah anda kesilapan sebahagian kaum muslimin hari ini, yang mengucapkan dan mengharapkan rahmat serta keredhaan ke atas sebahagian orang-orang kafir, ada di antara anggota-anggota penerbit akhbar dan majalah yang banyak melakukan perbuatan ini, sungguh saya sendiri telah mendengar salah seorang tokoh Arab yang dikenali sebagai orang yang baik keagamaannya, mengucapkan dan memohonkan rahmat buat Stalin si komunis, sedang dirinya dan fahamannya adalah di antara musuh paling ketat dan keras terhadap Islam! Peristiwa ini berlaku sewaktu beliau menyampaikan ucapan sempena majlis memperingati kematiannya (Stalin), disebarkan melalui radio! Namun, tidak pelik jika kata-kata ini lahir daripada beliau, mungkin beliau tidak tahu hukum ini, cuma yang pelik adalah terlontarnya kata-kata ini dari sebahagian pendakwah Islam, sebagaimana yang disebutnya di dalam suatu karyanya: “Rahimallahu Bernard Shaw…” (semoga Allah merahmati Bernard Shaw). Begitu juga, sebahagian penyampai berita yang jujur memberitahu saya bahawa seorang Syeikh/‘Alim telah melakukan solat jenazah ke atas orang Isma‘iliyah, padahal beliau sendiri mengi‘tikadkan bahawa puak Isma‘iliyah bukan kaum muslimin, sebab mereka menolak kewajipan solat dan haji serta mereka menyembah manusia! Namun demikian, beliau tetap solatkan jenazah mereka secara berpura-pura dan kerana tujuan berdamai. Fa ilalLahil Musytaka wa huwal Musta‘an (maka kepada Allah tempat mengadu dan kepadaNya jugalah dipohonkan pertolongan).


62. Wajib berjemaah di dalam melakukan solat jenazah, sebagaimana wajibnya berjemaah dalam solat fardhu berpandukan 2 dalil berikut:
Pertama: Nabi tetap melaksanakannya demikian.
Kedua: Sabda baginda:
     صلوا كما رأيتموني أصلي  
“Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat.”  

Namun ini tidak bercanggah dengan apa yang kami sebutkan bahawa para Sahabat   melakukan solat jenazah ke atas Nabi   secara sendirian, tanpa ada seorang pun yang menjadi imam mereka, sebab ia adalah suatu keadaan yang khas, tidak diketahui sebabnya yang sebenar, maka tidak boleh hanya kerana itu, kita meninggalkan apa yang telah dilakukan oleh baginda   secara senantiasa dan tetap sepanjang hayat baginda   yang diberkati, apatah lagi riwayat tersebut , tidak ada di dalam periwayatan dengan sanad yang sahih, yang dengannya dapat dijadikan hujjah, walaupun ia telah diriwayatkan dengan beberapa jalan periwayatan yang saling menguatkan. Jika kita mampu untuk menjama‘kan (memadankan) pengajarannya daripada kedua cara itu , maka itulah cara yang diamalkan dan diikuti, jika tidak, maka tentunya pengajaran daripada petunjuk baginda  adalah yang lebih utama untuk diikuti, sebab, itulah yang lebih berpedoman dan tepat. Oleh itu, jika dilakukan secara sendirian, maka gugurlah kewajipan mereka dan mereka berdosa kerana meninggalkan perlaksanaannya secara berjemaah, wallahu a‘lam.

Kata al-Imam an-Nawawi   di dalam al-Majmu‘: 5/314:
“Dibolehkan perlaksanaan solat jenazah secara sendirian (tidak berjemaah) tanpa ada perselisihan pendapat mengenainya dan yang menuruti as-Sunnah, ialah ia dilakukan secara berjemaah kerana hadis-hadis yang masyhur yang terdapat dalam periwayatan yang sahih mengenainya disertai ijma‘nya kaum muslimin”.

63. Bilangan sekurang-kurangnya sah berjemaah, menurut riwayat adalah 3 orang, seperti di dalam hadis ‘Abdillah bin Abie Talhah :
“Bahawasanya Talhah telah menjemput Rasulullah   menziarahi ‘Umayr bin Abie Talhah ketika beliau (‘Umayr) wafat, maka Rasulullah  pun datang dan melakukan solat jenazah di rumahnya, Rasulullah  ke hadapan sedang Abu Talhah di belakang baginda  dan Ummu Sulaym di belakang Abu Talhah dan tiada orang lain bersama mereka”

64. Lebih ramai bilangan jemaah adalah lebih baik dan bermanfaat buat si mati; kerana sabda baginda :
     ما من ميت تُصَلِّي عليه أمةٌ من المسلمين يَبلُغون مائة كلهم يَشْـفَعون له ، إلا شُـفِّـعوا فيه  
و في حديث آخر :    غفر له   

“Tiada satu jenazah pun yang disolatkan ke atasnya oleh segolongan kaum muslimin yang jumlahnya mencapai 100, setiap di antara mereka memohonkan rahmat untuknya kecuali pasti akan diterima permohonan mereka untuknya.”
Di dalam hadits yang lain: “Diampunkan untuknya”  

65. Amat digalakkan agar diadakan 3 saf   di belakang imam atau lebih berdasarkan 2 hadis yang diriwayatkan mengenainya, yang mana kesimpulannya dalam masalah ini menjadi hujjah yang kuat dengan kajian menyeluruh, maka sebaiknya dirujukkan dalam kitab asal.
[Daripada kitab asal:
Daripada Abie Umamah :
  "صلى رسول الله   على جنازةٍ و معه سبعةُ نَفَرٍ ، فجعل ثلاثةً صَفّاً ، و اثنين صَفّاً ، و اثنين صَفّاً "
“Rasulullah  telah melaksanakan solat jenazah bersama 7 orang, maka baginda menjadikan 3 orang satu saf, sementara satu saf lagi 2 orang dan 2 orang lainnya satu saf lainnya.”   - penterjemah]

66. Jika tiada bersama imam kecuali seorang lelaki sahaja, maka ia tidak berdiri di sebelah kanan imam sederet dengannya sebagaimana as-Sunnah dalam solat berjemaah lainnya, akan tetapi di belakang imam, berpandukan hadis yang telah disebutkan dalam perkara (63).

67. Pihak berkuasa wilayah (wali) atau naibnya lebih berhak menjadi imam di dalam perlaksanaan solat jenazah daripada waris si mati, berdasarkan hadis Abi Hazim katanya:
“Sesungguhnya aku hadir menyaksikan hari kewafatan al-Hasan bin ‘Aliy (bin Abie Talib: lahir 3H), maka aku lihat al-Husain bin ‘Aliy (lahir 4H - adik al-Hasan -penterjemah) mengatakan kepada Sa‘ied bin al-‘As – sambil mencucuk pada tengkuknya dan berkata: Ke hadapanlah kamu, kalaulah tidak kerana ia (ajaran) as-Sunnah, aku tidak akan menyuruh kamu ke depan, (dan Sa‘ied ketika itu adalah Amier – ketua wilayah – gabenor kota Madinah) sedang di antara mereka ada perselisihan (pergerseran)”.

68. Jika waliy atau naibnya tidak hadir, maka yang paling berhak menjadi imam adalah yang paling ahli dalam Al-Quran, kemudian menurut tertib yang warid yang dijelaskan oleh baginda   di dalam sabda baginda :
     يؤم القوم أقرؤ هم لكتاب الله ، فإن كانوا في القراءة سواء فأعلمهم بالسنة  ، فإن كانوا في السنة سواء فأقدمهم هجرة ، ، فإن كانوا في الهجرة سواء فأقدمهم سلما، و لا يؤمَّنَّ الرجلُ الرجلَ في سلطانه ، و لا يقعد في بيته على تكرمته إلا بإذنه  
“Yang paling layak menjadi imam bagi satu kaum adalah yang terbaik bacaannya/ilmunya akan Kitab Allah, sekiranya mereka setanding dari sudut bacaan, maka yang paling ‘alim mengenai as-Sunnah, sekiranya mereka setanding dalam ilmu as-Sunnah, maka yang terdahulu hijrahnya, sekiranya mereka setaraf dari sudut hijrah, maka yang terdahulu Islamnya, dan tidak layak seorang lelaki menjadi imam bagi seorang lelaki (yang memegang kuasa) di tempat kekuasaannya dan tidak pula ia duduk di dalam rumahnya di tempat duduk si tuan rumah kecuali dengan izinnya (si tuan rumah).”  

Yang paling layak menjadi imam adalah yang terbaik bacaannya walaupun anak kecil yang belum baligh, kerana hadis ‘Amru bin Salamah:
“Bahawasanya mereka (maksud beliau, kaumnya) pergi menghadap Nabi   serombongan. Ketikamana mereka ingin pulang, kata mereka: Wahai Rasulullah, siapa yang menjadi imam kami? Jawab baginda : {Yang terbanyak mengumpulkan (menghafaz) Al-Quran atau pengambilannya akan Al-Quran, ternyata tiada seorang pun daripada mereka yang sebanyak hafazan ku, maka mereka melantik aku ke hadapan padahal aku masih seorang anak kecil lagi cuma aku mengenakan pakaian selubung milik ku, maka tiada suatu perhimpunan pun yang bagaimana besar sekalipun, pasti aku juga yang menjadi imam mereka serta aku juga yang solatkan jenazah-jenazah mereka sampailah ke hari ini.”

69. Jika dikumpulkan sebilangan jenazah lelaki dan wanita, maka kesemuanya disolatkan dengan solat yang satu (sekali solat), dijadikan jenazah lelaki, walaupun anak kecil, yang paling dekat dengan imam, manakala jenazah wanita pula lebih dekat ke bahagian arah kiblat, sebab demikianlah yang menuruti as-Sunnah, sebagaimana yang dijelaskan oleh Nafi‘ daripada Ibn ‘Umar :
“Beliau solat  atas 9 jenazah serentak sekaligus, maka beliau menjadikan jenazah-jenazah lelaki terdekat dengan imam dan jenazah-jenazah wanita dekat ke arah kiblat, semuanya dijadikan satu saf serta diletakkan jenazah Ummi Kultsum binti ‘Aliy, isterinya ‘Umar bin al-Khattab, bersama anaknya (anak Ummi Kultsum) bernama Zayd, sedang al-Imam pada waktu itu adalah Sa‘ied bin al-‘As dan di antara orang yang hadir adalah Ibn ‘Abbas, Abu Hurairah, Abu Sa‘ied dan Abu Qatadah, maka saya pun bertanya: Apa (hikmahnya susunan) ini? Jawab mereka: Inilah as-Sunnah”

70. Diharuskan untuk melakukan satu solat untuk setiap jenazah (mengulangi solat beberapa kali), sebab itulah hukum asalnya di dalam perkara ini. Sebab Nabi   telah melakukan demikian ke atas Syuhada’ Uhud, sebagaimana yang telah disebutkan di dalam masalah (60/1).

71. Diharuskan solat ke atas jenazah di dalam masjid, berpandukan hadis ‘A-isyah  kata beliau:
“Sewaktu Sa‘ad bin Abie Waqqas wafat, para isteri Nabi   mengutuskan pesanan agar jenazahnya dibawa ke masjid untuk mereka dapat turut solatkan, maka demikianlah yang dilakukan, maka jenazahnya diletakkan di hadapan bilik/rumah-rumah mereka (isteri-isteri Nabi), sehingga mereka pun solatkannya, dikeluarkan daripada pintu sampai lebih dari batas kebiasaannya iaitu tempat-tempat duduk  . Maka disampaikan kepada mereka (para isteri Nabi) bahawa orang-ramai mempersalahkan perbuatan tersebut, kata mereka: [Ini bid‘ah], tidak pernah jenazah dimasukkan sampai ke dalam masjid! Maka perkara tersebut disampaikan kepada ‘A-isyah, maka katanya: Betapa cepatnya manusia mempersalahkan apa yang mereka tiada ilmu tentangnya. Mempersalahkan kami kerana menyuruh satu jenazah didatangkan ke masjid. [Demi Allah] tiadalah Rasulullah   melakukan solat jenazah ke atas Suhail bin Baida’ [dan saudaranya] kecuali di dalam perut masjid.”

72. Akan tetapi, yang afdal ialah melakukan solat jenazah di luar masjid di tempat yang disediakan dan sesuai untuk solatkan jenazah-jenazah, sebagaimana yang dilaksanakan pada zaman Nabi   dan itulah yang lebih jelas daripada ajaran baginda  dalam perkara ini, yang mana terdapat banyak hadis-hadisnya yang disebutkan di dalam kitab asal, antaranya ialah solatnya baginda ke atas an-Najasyi di musolla (lapangan tempat solat bukan surau) dekat dengan al-Baqie’ sepertimana yang tertera di dalam masalah (60/7).
Antaranya juga adalah hadis:
“Bahawasanya orang-orang Yahudi datang menghadap Nabi   dengan seorang lelaki daripada kalangan mereka dan seorang wanita, yang mana kedua-duanya telah berzina. Maka Nabi   pun memerintahkan agar kedua-duanya direjam, dekat dengan tempat jenazah di sisi masjid.”
Kata al-Hafiz   di dalam al-Fath: “Sesungguhnya, musolla untuk solat jenazah bersebelahan dan tercantum dengan Masjid Nabawi dari bahagian timur bangunan masjid”
Pada kesempatan yang lain beliau mengatakan (12/108):
“Musolla yang dahulunya digunakan untuk Solat ‘Eid dan Jenazah, terletak di bahagian masjid yang mengarah ke Baqie‘ al-Gharqad”

73. Tidak boleh dilakukan solat jenazah ke atas jenazah sedang di sekelilingnya ada kubur, berdasarkan hadis Anas bin Malik  :
“Bahawasanya Nabi  melarang dilaksanakan solat ke atas jenazah-jenazah di sekitar kuburan”

Daripada beliau juga :
“Adalah amat dibenci perbuatan membina masjid di atas kawasan kubur”

Ini dikukuhkan lagi, dengan riwayat yang banyak (tawatur/mutawatir) daripada Nabi   yang melarang pengambilan (kawasan) kubur-kubur (dibina) menjadi masjid (dengan membina masjid di atas kubur) dan saya telah jelaskan segala (yang berkaitan dengannya) pada bahagian awal kitab saya “Tahdzier as-Sajid min Ittikhadz al-Quburi Masajid” – Amaran untuk orang yang sujud daripada menjadikan kubur-kubur sebagai masjid-masjid/tempat-tempat sujud.  Akan saya sebutkan sebahagian daripadanya di dalam masalah (126/9 – tajuk 126 perenggan/bah 9).

74. Hendaklah imam berdiri di belakang (menghadap) bahagian kepala jenazah lelaki dan di bahagian tengah/pinggang jenazah wanita dan untuk masalah ini, ada dua hadis serta yang lebih lengkap adalah hadis Abie Ghalib al-Khiyat, katanya meriwayatkan:
“Saya menyaksikan Anas bin Malik melakukan solat ke atas jenazah seorang lelaki, maka beliau berdiri di sisi kepalanya, (di dalam riwayat lain: bahagian kepala pembaringan). Apabila telah diangkat, didatangkan pula jenazah seorang wanita daripada kaum Quraisy atau Ansar, maka dikatakan kepada beliau: Wahai Aba Hamzah, ini jenazah si Fulanah binti Fulan, maka solatkanlah jenazahnya, maka beliau pun solatkan, sambil berdiri di hadapan bahagian tengah jenazahnya, (di dalam riwayat lain: di sisi pinggangnya, sedang jenazah itu berkeranda hijau) dan di antara kami adalah al-‘Alla’ bin Ziyad al-‘Adawiy . Maka apabila beliau melihat bezanya tempat berdiri Anas untuk jenazah lelaki dan jenazah wanita beliau bertanya untuk kepastian: Wahai Aba Hamzah, beginikah cara Rasulullah (shollallahu ‘alaihi wa sallam) berdiri seperti cara anda dan untuk jenazah wanita juga seperti tempat anda berdiri? Jawabnya (Anas): Ya. Maka Al-‘Allaa pun menoleh ke arah kami seraya berkata: Peliharalah (atau ingatlah ajaran ini).”

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts