Thursday, April 2, 2015

14. Solat Jenazah (Bhg.2) - Sifat & Tatacara Solat Jenazah
















































Sifat (Tatacara) Solat Jenazah

75. Hendaknya si imam bertakbir sebanyak 4 atau 5 kali, sehinggalah 9 kali takbir, setiap daripada bilangan takbir itu, tsabit (ada diriwayatkan) daripada Nabi  maka bilangan yang mana sahaja yang dilakukan (solatnya) adalah sah.  Yang terbaik ialah agar dipelbagaikan, yakni adakalanya dilakukan dengan bilangan sekian, pada ketika yang lain dengan bilangan lain, sebagaimana caranya dengan perkara yang sepertinya, misalnya kepelbagaian cara bacaan doa Istiftah/Iftitah, bacaan tasyahhud, selawat Ibrahiemiyah dan sebagainya (perkara-perkara at-tanwie‘). Tapi jika terpaksa beriltizam atau tetap pada satu cara/bilangan maka yang dilakukan adalah bilangan 4 kali takbir, sebab hadis-hadis yang menyebutkan bilangan tersebut adalah lebih kuat dan lebih banyak. Adapun orang yang mengikuti imam, maka ia menurut bilangan takbir imam.
Penjelasannya ada disebutkan di dalam kitab asal.

Daripada kitab asal :
a. Bilangan 4 kali takbier; daripada periwayatan segolongan Sahabat :
i. Daripada Abi Hurairah  , hadisnya telah disebutkan pada perkara (60) bahagian ke-7, iaitu solat ke atas an-Najasyi yang mana baginda  bertakbir sebanyak 4 kali (nota kaki 153).
ii. Daripada Ibn ‘Abbas , juga telah disebutkan pada perkara yang sama, mengenai Sahabat yang dikebumikan pada waktu malam, bahagian ke-6 (nota kaki 150)
iii. Daripada Abie Umamah    katanya:
“Menurut as-Sunnah di dalam melaksanakan solat jenazah, ialah membaca Ummul Kitab (surah al-Fatihah) secara senyap pada takbier yang pertama, kemudian bertakbir lagi 3 kali dan memberi salam pada kali yang terakhir.”
iv. Daripada ‘Abdillah bin Abie Aufa katanya:
“Sesungguhnya Rasulullah   bertakbir 4 kali”

b. Bilangan 5 kali takbier:
Hadis ‘Abdur Rahman bin Abie Layla katanya:
“Zayd bin Arqam   melakukan 4 kali takbir ke atas jenazah-jenazah dan sungguh, beliau pernah bertakbir 5 kali untuk satu jenazah, maka saya pun bertanya kepada beliau akan hal itu dan jawab beliau: (Yang demikian itu) Adalah (kebiasaan) Rasulullah   sendiri yang melakukannya, maka saya tidak mahu meninggalkannya selama-lamanya (yakni akan tetap melakukannya)”

Kata al-Imam at-Tirmidzi : “Hadis (berderajat) Hasan Sahih  , beberapa orang ulama telah mengeluarkan pendapat menurut petunjuk hadis ini baik daripada kalangan Sahabat Nabi  mahupun lainnya, berpendapat takbir ke atas jenazah dilakukan sebanyak 5 kali. Kata al-Imam Ahmad dan Ishaq: Jika imam bertakbir 5 kali ke atas jenazah maka hendaklah ia diikuti”.

c. Bilangan 6 dan 7 kali takbier; mengenainya ada beberapa Atsar (riwayat atau hadis yang jelas daripada Sahabat   dan zahirnya bukan daripada Nabi  - salah satu maknanya - penterjemah) yang Mauquf (terhenti sanadnya pada Sahabat dan zahirnya tiada petunjuk bahawa ia adalah sabda/perbuatan Rasulullah  sendiri), namun ia dirangkum hukum Marfu‘ (bersumber daripada Nabi ), sebab sebahagian Sahabat  golongan tua melakukannya dengan disaksikan ramai Sahabat  dan tiada seorang pun yang menyanggah perbuatannya.

i. Daripada ‘Abdillah bin Mughaffal :
“Sesungguhnya ‘Aliy bin Abie Talib melakukan solat jenazahnya Sahl bin Hanief dan beliau bertakbir sebanyak 6 kali, kemudian beliau menoleh ke arah kami seraya mengatakan: Sesungguhnya beliau ahli Badar”

Kata al-Imam asy-Sya‘biy : “ ‘Alqamah datang dari Syam menemui Ibn Mas‘ud   lalu berkata: Saudara-saudara mu di Syam bertakbir untuk jenazah mereka sebanyak 5 kali. Seandainya anda menetapkan bilangan yang tetap untuk kami, pasti kami mengikuti mu. Abdullah (Ibn Mas‘ud) diam seketika, kemudian beliau berkata: Perhatikanlah jenazah-jenazah kamu, bertakbirlah ikut takbirnya imam, tiada ketetapan dan tiada penentuan”

ii. Daripada ‘Abdi Khairin katanya:
“Lumrahnya ‘Aliy   bertakbir 6 kali ke atas ahli Badar, dan ke atas Sahabat Nabi lainnya 5 kali manakala ke atas orang kebanyakan 4 kali”

iii. Daripada Musa bin ‘Abdillah bin Yazied:
“Sesungguhnya ‘Aliy telah melakukan solat jenazahnya Abu Qatadah dan beliau bertakbier 7 kali, kerana beliau (Abu Qatadah) adalah seorang ahli Badar (yakni yang menyertai Peperangan Badar)”

d. Bilangan 9 kali:
i. Daripada ‘Abdullah bin az-Zubayr :
“Sesungguhnya Nabi  solatkan jenazah Hamzah dengan bertakbir sebanyak 9 kali…”
Hadisnya telah disebutkan pada perkara 60 bahagian kedua.

Bilangan 9 kali takbier ini adalah bilangan yang terbanyak yang terdapat dalam riwayat-riwayat mengenai bilangan takbier dalam solat jenazah. Maka paling banyak yang boleh dilakukan adalah bilangan ini dan tidak boleh ditambah. Bilangan yang paling sedikit pula adalah 4 kali, di dalam riwayat yang ada dan tidak boleh kurang daripada itu.

Kata al-Imam Ibn al-Qayyim  di dalam Zad al-Ma‘ad, setelah beliau menyebutkan sebahagian daripada apa yang telah kami kemukakan daripada riwayat-riwayat:
“Atsar ini adalah sahih, maka tiada sebab yang menghalang daripada dilakukannya (sesuai dengan petunjuk Atsar tersebut) dan Nabi  tidak pernah melarang apa yang ditambah daripada bilangan 4 kali (takbier), malah baginda  sendiri melakukannya, demikian juga para Sahabat  selepas baginda ”

Golongan yang melarang dilakukan lebih dari 4 kali takbier berhujjah dengan dua perkara:

Pertama: al-Ijma‘ (yakni ‘ulama dikatakan telah sepakat hanya 4 kali takbier – penterjemah) sedangkan dakwaan tersebut adalah tidak benar. Semua riwayat tersebut membuktikan bahawa para Sahabat  mengamalkan takbier 5 dan 6 kali secara berterusan selepas kewafatan Nabi  dan al-Imam Ibn Hazm telah membuktikan kebatilan dakwaan ini di dalam al-Muhalla: 5/124-125.

Kedua: Adanya beberapa hadis yang menyebutkan bahawa amalan terakhir baginda  dalam perlaksanaan solat jenazah adalah 4 kali takbier. Padahal hadis tersebut lemah, sebahagiannya tersangat lemah, yang tidak dapat menolak apa yang telah tetap dengan hadis-hadis yang sahih. Antara yang telah menghukumkan bahawa semua riwayatnya lemah adalah; al-Hafiz (at-Talkhies: 5/167), al-Hazimiy (al-I‘tibar hlm. 95) dan al-Baihaqiy (as-Sunan: 74/3).

76. Disyari‘atkan agar mengangkat kedua tangan ketika takbier yang pertama, kerana adanya 2 hadis yang saling kuat menguatkan disertai kesepakatan ‘ulama’ mengenainya.
[Tambahan daripada kitab asal:
i. Daripada Abie Hurairah :
     "أن رسول الله  كبر على جنازة فرفع يديه في أول تكبيرة، و وضع اليمنى على اليسرى"
“Bahawasanya Rasulullah  melakukan takbier (ketika) solat jenazah, maka baginda mengangkat kedua tangan baginda pada takbier yang awal lalu meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri.”
(Riwayat at-Tirmidzi 2/165, ad-Daraqutniy: 192, al-Baihaqiy: 284 dan Abu Syeikh dalam Tabaqat al-Asbahaniyien hlm. 262 dengan sanad yang lemah, namun dikuatkan dengan riwayat sokongan berikut)


ii. Daripada ‘Abdillah bin ‘Abbas :
     "أن رسول الله  كان يرفع يديه على الجنازة في أول تكبيرة، ثم لا يعود "
“Bahawasanya Rasulullah  melakukan takbier (ketika) solat jenazah, maka baginda mengangkat kedua tangan baginda pada takbier yang awal lalu meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri.”
(Riwayat ad-Daraqutniy dengan sanad yang kesemuanya adalah perawi Tsiqat kecuali al-Fadl bin as-Sakan, seorang Majhul - tidak dikenali dan tidak dii‘tiraf sebagai perawi hadis – sedang Ibn at-Turkumaniy tidak membuat ulasan mengenai beliau di dalam al-Jauhar an-Naqiy: 4/44)

Kata al-Imam at-Tirmidzi  selepas mengemukakan hadis yang pertama: Hadis ini Gharieb. ‘Ulama’ berselisihan pendapat dalam hal ini. Kebanyakannya daripada kalangan para Sahabat dan lainnya berpendapat bahawa seseorang itu mengangkat tangannya pada setiap takbier dan yang demikian itu jugalah pendapat Ibn al-Mubarak, asy-Syafi‘ie, Ahmad dan Ishaq. Sebahagian ‘ulama’ lainnya pula berpendapat: Tidak diangkat tangan kecuali untuk Takbier yang pertama sahaja dan ia adalah pendapat ats-Tsauri dan ‘ulama’ Kufah…

Kata Imam an-Nawawi   di dalam al-Majmu‘: 5/232: Kata Ibn al-Mundzir di dalam kedua-dua kitabnya al-Isyraf dan al-Ijma‘: ‘Ulama bersepakat bahawa tangan diangkat untuk takbier yang pertama dan mereka berselisih mengenai selainnya (yakni selain takbier yang pertama).

Asy-Syeikh al-Albaniy  kemudian menjelaskan bahawa tidak diketemukan riwayat yang sah daripada as-Sunnah yang dapat memutuskan agar dilakukan angkat tangan untuk takbier lainnya, yakni hanya takbier yang pertama sahaja diangkat tangan, sebagaimana juga yang ditegaskan oleh al-Imam asy-Syaukaniy   dan lainnya daripada ‘ulama’ golongan muhaqqiq dan demikian juga pendapat al-Imam Ibn Hazm  (5/128). Meskipun ada riwayat yang sahih mauquf seperti yang diriwayatkan oleh al-Baihaqiy daripada perbuatan Ibn ‘Umar, namun as-Sarakhsiy ada menyebutkan yang sebaliknya daripada Ibn ‘Umar dan ia adalah sesuatu yang tidak pernah beliau (Asy-Syeikh al-Albaniy ) ketemukan dalam kitab-kitab hadis.
Kesimpulannya, di sisi asy-Syeikh  hanya Takbier yang pertama sahaja disyari‘atkan untuk mengangkat kedua tangan, kerana ketiadaan riwayat yang meyakinkan untuk diperlakukan pada setiap takbier lainnya – penterjemah]

77. Kemudian ia meletakkan tangan kanannya di atas bahagian belakang tapak tangan kirinya, serta pergelangan tangan dan lengannya, lalu diletakkan dengan tetap pada dadanya, sebagaimana yang terdapat dalam hadis-hadis yang sedia diketahui, yang boleh dirujuk di dalam kitab asal.
[Penterjemah: daripada kitab asal: salah satu riwayat yang sahih tersebut adalah:
     "كان الناس يُؤْمَرون أن يضع الرجل اليد اليمنى على ذراعه اليسرى في الصلاة "
“Bahawasanya manusia (para Sahabat) diperintahkan agar setiap seorang itu meletakkan tangan kanannya di atas bahagian lengan kirinya di dalam solat.”
(Riwayat al-Imam Malik (al-Muwatta’: 1/174) dan daripada jalan periwayatan beliau ia diriwayatkan oleh al-Bukhariy (2/178) dan lafaz periwayatan ini di sisi beliau. Al-Imam Muhammad juga meriwayatkannya di dalam kitab al-Muwatta’ beliau (156) dan begitu juga al-Imam Ahmad (5/336 serta al-Baihaqiy (2/28).]

Adapun perbuatan meletakkan kedua tangan tadi di bahagian bawah pusat, maka ia (adalah pendapat yang) lemah dengan kesepakatan ‘ulama’ sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Imam an-Nawawi  dan al-Imam az-Zaila’iy  serta ‘ulama’ lainnya.

78. Kemudian, sejurus selepas takbier yang pertama tadi, ia membaca Surah al-Fatihah dan sebuah surah berdasarkan hadis Talhah bin ‘Abdillah bin ‘Auf katanya:
“Aku telah solat ke atas satu jenazah di belakang (sebagai makmum) Ibn ‘Abbas  , maka beliau membaca al-Fatihah [dan sebuah surah dengan menjaharkannya (melantangkan bacaannya) sehingga kami mampu mendengar bacaan beliau, maka sebaik sahaja selesai solat, aku menarik tangannya lantas aku bertanya kepadanya (akan hal itu) maka] katanya: [Hanya sahaja aku menjaharkan] agar kamu mengetahui sesungguhnya demikianlah as-Sunnah [dan yang benar] (maksudnya mengenai adanya bacaan al-Fathihah – bukan masalah jahar/lantangkan bacaannya - penterjemah)”

79. Membacanya dengan perlahan/sirr kerana hadis Abi Umamah bin Sahl katanya:
“Menurut as-Sunnah di dalam melaksanakan solat jenazah, ialah agar imam bertakbier kemudian ia membaca Umm al-Kitab (al-Fatihah) secara senyap sejurus selepas takbier yang pertama, kemudian bertakbir 3 kali dan memberi salam pada kali yang terakhir.”

80. Kemudian bertakbier kali kedua, lantas berselawat ke atas Nabi  berpandukan hadis Abie Umamah tersebut, bahawasanya beliau telah diberitahu oleh seorang Sahabat Nabi  :
“Sunnahnya di dalam solat jenazah ialah imam bertakbir kemudian membaca Al-Fatihah secara sirr (senyap) selepas takbier yang pertama, kemudian berselawat ke atas Nabi  dan mengikhlaskan doa buat jenazah di dalam takbier-takbier (yang tiga lainnya), tanpa membaca ayat Al-Qur’an di dalam satu pun daripada takbier-takbier tadi kemudian ia memberi salam secara senyap/sirr [ketika selesai solat [dengan menoleh ke kanan] serta Sunnahnya sesiapa di belakang imam melaksanakan sepertimana yang dilakukan oleh imam]”

Adapun mengenai lafaz selawat ke atas Nabi  di dalam solat jenazah, maka saya belum temui satu hadis sahih pun mengenai lafaz selawat tertentu, maka zahirnya, tiada satu lafaz selawat tertentu untuk jenazah, malah hendaklah dibaca lafaz-lafaz selawat sepertimana yang warid dan tsabit (ada diriwayatkan dengan periwayatan yang terjamin) di dalam bacaan at-Tasyahhud/at-Tahiyat di dalam solat .
Baginda  telah mengajarkan kepada para Sahabat  beberapa cara lafaz selawat ke atas baginda  :

(No: 1)
اللَّـهُمَّ صَلِّ عَلَى مُـحَمَّـدٍ، وَ عَلَى أَهْـلِ بـَيـْتـِهِ ، وَ عَلَى أَزْوَاجِــهِ وَ ذُرِّ يَّـتِـهِ ،
كَمَا صَـلَّـيْـتَ عَلَى آلِ إِبْـرَاهِـيْـمَ ، إِنَّـكَ حَـمِـيْـدٌ مـَجـِيـْدٌ ،
وَ بَــارِكْ عَلَى مُـحَـمَّـدٍ ، وَ عَلَى آلِ بَـيْـتِـهِ ، وَ عَلَى أَزْوَاجِــهِ وَ  ذُرِّ يَّـتِـهِ ،
 كـَمـا بَـارَكْـتَ عَلَى آلِ إِبْـرَاهِـيْـمَ ، إِنَّــكَ حَـمِـيْـدٌ مَـجِـيْـدٌ
“Ya Allah, selawat  ke atas Muhammad, dan ke atas Ahli Bait baginda, dan ke atas isteri-isteri baginda serta zuriat baginda, sebagaimana Engkau telah berselawat ke atas keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia. (Dan) Berkatilah  ke atas Muhammad, dan ke atas Ahli Bait baginda, dan ke atas isteri-isteri baginda serta zuriat baginda, sebagaimana Engkau telah berkati ke atas keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia”
Inilah yang dibaca oleh baginda sendiri

(No: 2)
اللَّـهُمَّ صَلِّ عَلَى مُـحَـمَّـدٍ ، وَ عَلَى آلِ مُـحَـمَّـدٍ ،
كَمَا صَـلَّـيْـتَ عَلَى [ إبـراهـيـم ، و على ] آلِ إِبْـرَاهِـيْـمَ ، إِنَّـكَ حَـمِـيْـدٌ مـَجـِيـْدٌ ،
 اللَّـهُمَّ بَــارِكْ عَلَى مُـحَـمَّـدٍ ، وَ عَلَى آلِ مُـحَـمَّـدٍ
 كـَمـا بَـارَكْـتَ عَلَى [ إِبْـرَاهِـيْـمَ وَ عَلَى ] آلِ إِبْـرَاهِـيْـمَ ، إِنَّــكَ حَـمِـيْـدٌ مَـجِـيْـدٌ
“Ya Allah, selawat ke atas Muhammad, dan ke atas keluarga  Muhammad, sebagaimana Engkau telah berselawat ke atas [Ibrahim dan ke atas] keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia. (Dan) Berkatilah ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berkati ke atas [Ibrahim dan ke atas] keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia”

(No: 3)
اللَّـهُمَّ صَلِّ عَلَى مُـحَـمَّـدٍ ، وَ عَلَى آلِ مُـحَـمَّـدٍ ،
كَمَا صَـلَّـيْـتَ عَلَى  إبـراهـيـم ،[ و آلِ إِبْـرَاهِـيْـمَ] ، إِنَّـكَ حَـمِـيْـدٌ مـَجـِيـْدٌ ،
و  بَــارِكْ عَلَى مُـحَـمَّـدٍ ، وَ عَلَى آلِ مُـحَـمَّـدٍ
 كـَمـا بَـارَكْـتَ عَلَى [ إِبْـرَاهِـيْـمَ وَ ] آلِ إِبْـرَاهِـيْـمَ ، إِنَّــكَ حَـمِـيْـدٌ مَـجِـيْـدٌ
“Ya Allah, selawat ke atas Muhammad, dan ke atas keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berselawat ke atas Ibrahim [dan keluarga Ibrahim], sesungguhnya Engkau yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia. (Dan) Berkatilah ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berkati ke atas [Ibrahim dan] keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia.

(No: 4)
اللَّـهُمَّ صَلِّ عَلَى مُـحَـمَّـدٍ [النَّـبِـيِّ الأُمِّـيِّ]، وَ عَلَى آلِ مُـحَـمَّـدٍ ،
كَمَا صَـلَّـيْـتَ عَلَى [آلِ]  إبـراهـيـم ،
و  بَــارِكْ عَلَى مُـحَـمَّـدٍ [النَّـبِـيِّ الأُمِّـيِّ]، وَ عَلَى آلِ مُـحَـمَّـدٍ
 كـَمـا بَـارَكْـتَ عَلَى [آلِ] إِبْـرَاهِـيْـمَ ، في الْـعَـالَـمِـيْـنَ ، إِنَّــكَ حَـمِـيْـدٌ مَـجِـيْـدٌ
“Ya Allah, selawat ke atas Muhammad [Nabi yang ummiy], dan ke atas keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berselawat ke atas [keluarga] Ibrahim, sesungguhnya Engkau yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia. (Dan) Berkatilah ke atas Muhammad [Nabi yang ummiy] dan ke atas keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berkati ke atas [keluarga] Ibrahim, di dalam seluriuh alam, sesungguhnya Engkau yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia.

(No: 5)
اللَّـهُمَّ صَلِّ عَلَى مُـحَـمَّـدٍ عَـبْـدِكَ وَ رَسـُوْلِـكَ ، كَمَا صَـلَّـيْـتَ عَلَى [آلِ]  إبـراهـيـم ،
و  بَــارِكْ عَلَى مُـحَـمَّـدٍ [عَـبْـدِكَ وَ رَسـُوْلِـكَ]، [وَ عَلَى آلِ مُـحَـمَّـدٍ ]
 كـَمـا بَـارَكْـتَ عَلَى إِبْـرَاهِـيْـمَ ، [وَ عَلَى آلِ إِبْـرَاهِـيْـمَ]
“Ya Allah, selawat ke atas Muhammad hamba Mu dan utusan Mu, sebagaimana Engkau telah berselawat ke atas [keluarga] Ibrahim. (Dan)Berkatilah ke atas Muhammad [hamba Mu dan utusan Mu] [dan ke atas keluarga Muhammad], sebagaimana Engkau telah berkati ke atas Ibrahim [dan juga ke atas keluarga Ibrahim].

(No: 6)
اللَّـهُمَّ صَلِّ عَلَى مُـحَمَّـدٍ، وَ  [عَلَى] أَزْوَاجِــهِ وَ ذُرِّ يَّـتِـهِ ، كَمَا صَـلَّـيْـتَ عَلَى [آلِ]  إِبْـرَاهِـيْـمَ ،
وَ بَــارِكْ عَلَى مُـحَـمَّـدٍ ، وَ [عَلَى] أَزْوَاجِــهِ وَ  ذُرِّ يَّـتِـهِ ،
 كـَمـا بَـارَكْـتَ عَلَى [آلِ] إِبْـرَاهِـيْـمَ ، إِنَّــكَ حَـمِـيْـدٌ مَـجِـيْـدٌ
“Ya Allah, selawat ke atas Muhammad, dan [ke atas] isteri-isteri baginda serta zuriat baginda, sebagaimana Engkau telah berselawat ke atas [keluarga] Ibrahim. (Dan) Berkatilah ke atas Muhammad, dan [ke atas] isteri-isteri baginda serta zuriat baginda, sebagaimana Engkau telah berkati ke atas [keluarga] Ibrahim, sesungguhnya Engkau yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia.”

(No: 7)
اللَّـهُمَّ صَلِّ عَلَى مُـحَـمَّـدٍ ، وَ عَلَى آلِ مُـحَـمَّـدٍ
و  بَــارِكْ عَلَى مُـحَـمَّـدٍ ، وَ عَلَى آلِ مُـحَـمَّـدٍ
 كـَمـا صَـلَّـيْـتَ وَ بَـارَكْـتَ عَلَى إِبْـرَاهِـيْـمَ ، وَ آلِ إِبْـرَاهِـيْـمَ ، إِنَّــكَ حَـمِـيْـدٌ مَـجِـيْـدٌ
“Ya Allah, selawat ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad, (Dan)Berkatilah ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berselawat dan berkati ke atas Ibrahim dan juga ke atas keluarga Ibrahim]. Sesungguhnya Engkau yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia.

81. Kemudian ia melakukan takbier-takbier yang bakinya dengan mengikhlaskan doa kepada Allah, buat si mati, di dalam takbier-takbier tersebut, kerana keterangan hadis Abi Umamah tadi dan sabda baginda  :
     إذا صليتم على الميت ، فأخلصوا له الدعاء  
“Jika kamu melakukan sholat ke atas jenazah, maka (dengan ikhlas) khususkanlah doa baginya.”

82. Hendaklah ia berdoa di dalam solatnya dengan doa yang tsabit (ada keterangannya yang terjamin tulen) daripada baginda  dan yang saya temui setakat ini ada 4:
Pertama:
اللَّـهُـمَّ اغْـفِـرْ لَـهُ وَ ارْحَـمْـهُ ، وَ عَـافِـهِ وَ اعْـفُ عَـنْـهُ ، وَ أَكـْرِمْ نُـزُلَـهُ ، وَ وَسِّــعْ مُـدْخَـلَـهُ ،
 وَ اغْـسِـلْـهُ بِـالْـمَـاءِ وَ الـثَّـلْـجِ وَ الْـبَـرَدِ ،
وَ نَـقِّـهِ مِـنَ الْـخَـطَـايَـا كَـمَـا  نَـقَّـيْـتَ ( و في رواية: يُـنَـقَّـى) الـثَّـوْبَ الأَبْـيَـضَ مِـنَ الـدَّ نَـسِ ،
وَ أَبْـدِلْـهُ دَاراً خَــيْـراً مـِنْ دَارِهِ وَ أَهْـلاً خَــيْـراً مِـنْ أَهْـلِـهِ ، وَ زَوْجــاً ( و في رواية : زَوْجَـةً ) خَــيْراً مِـنْ زَوْجِــهِ ، وَ أَدْخِــلْـهُ الْـجَـنَّـةَ ، وَ أَعِـذْ هُ مِـنْ عَـذَابِ الْـقَـبْـرِ ، وَ مِـنْ عَـذَابِ الـنَّــارِ
“Ya Allah, ampunkanlah ia dan rahmatilah ia, sejahterakanlah ia serta maafkanlah ia, muliakanlah kedatangannya dan luaskanlah liang kuburnya. Sucikanlah ia dengan air, salju dan air batu serta bersihkanlah ia daripada dosa-dosa sebagaimana Engkau membersihkan (di dalam riwayat lain: dibersihkan) baju yang putih daripada segala kotoran. Gantikanlah tempat tinggalnya dengan yang lebih baik, ahli keluarga yang lebih baik daripada ahli keluarganya, pasangan/isteri yang lebih baik daripada pasangannya dan masukkanlah ia ke dalam syurga serta peliharalah ia daripada azab kubur dan azab api neraka.”

Kedua: Daripada Abi Hurairah  :
“Rasulullah  apabila melakukan solat jenazah, biasanya baginda mengucapkan doa di dalamnya (dengan):
اللَّـهُـمَّ اغْـفِـرْ لِـحَـيِّـنَـا وَ  مَـيِّـتِـنَـا وَ شَـاهِـدِنَـا وَ غَـائِـبِـنَـا، وَ صَـغِـيْـرِنَـا وَ كَـبِـيْـرِنَـا ، وَ ذَكَـرِنَـا وَ أُنْــثَـانَـا،
الـلَّـهُـمَّ مَـنْ أَحْـيَـيْـتَـهُ مِـنَّـا فَـأَحْـيِـهِ عَـلَى الْإِسْـلاَمِ ، وَ مَـنْ تَـوَفَّـيْـتَـهُ مِـنَّـا فَـتَـوَفَّـهُ عَلَى الْإِيْـمَـانِ ،
 اللَّـهُـمَّ لاَ تَـحْـرِمْـنَـا أَجْـرَهُ ، وَ لاَ تُـضِـلَّـنَـا بَـعـْـدَهُ
{Ya Allah, ampunkanlah bagi mereka yang masih hidup di kalangan kami mahupun yang telah mati, yang menyaksikan (hadir bersama) dan yang tiada bersama kami, yang muda mahupun yang tua di antara kami, yang lelaki mahupun wanitanya. Ya Allah, sesiapa di antara kami yang Kau hidupkan, maka hidupkanlah ia atas Islam dan sesiapa yang Kau matikannya maka matikanlah ia atas iman. Ya Allah, janganlah Engkau haramkan ganjarannya ke atas kami dan usah pula Kau sesatkan kami selepasnya}.”

Ketiga: Daripada Wa-tsilah bin al-Asqa‘  katanya:
“Rasulullah   telah melakukan solat jenazah ke atas seorang daripada kaum muslimin, maka saya mendengar baginda mengucapkan (di dalam solat):
اللَّـهُـمَّ إِنَّ فُـلانَ بْـنَ فُـلانٍ فِـي ذِمَّـتِـكَ وَ حَـبْـلِ جِـوَارِكَ ، فَـقِـهِ فِـتْـنَـةَ الْـقَـبْـرِ ، وَ عَـذَابَ الـنَّــارِ ،
 وَ أَنـْـتَ أَهْـلُ الْـوَفَــاءِ وَ الْـحَـقِّ ، فَـاغْـفِـرْ لَـهُ وَ ارْحَـمْـهُ ، إِنَّـكَ أَنْـتَ الْـغَـفُـوْرُ الـرَّحِـيْـم
{Ya Allah sesungguhnya fulan bin fulan di dalam pemeliharaanMu dan di dalam pegangan tali perjanjianMu , maka peliharalah ia daripada fitnah kubur dan azab neraka dan Engkau adalah yang menepati janji dan yang benar maka ampunilah ia serta rahmatilah ia sesungguhnya Engkau adalah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang}”

Keempat: Daripada Yazied bin Rukanah bin al-Muttalib   katanya:
“Rasulullah  apabila melakukan solat jenazah, baginda mengucapkan (di dalam solat tersebut):
اللَّـهُـمّ عَـبْـدُكَ و َ ابْـنُ أََمَـتِـكَ احْـتَـاجَ  إلى رَحْـمَـتِـكَ ، وَ أَنـْتَ غَـنِـيٌّ عَـنْ عَـذَابِـهِ ،
إِنْ كَانَ مُـحْـسِـناً فَـزِدْ فِـي حَـسَـنَـاتِـه ، وَ إِنْ كَانَ مُـسِـيْـئاً فَــتَـجَـاوَزْ عَـنْـهُ
{Ya Allah hambaMu dan anak kepada hamba perempuanMu amat memerlukan rahmatMu dan Engkau Maha Kaya tidak perlu untuk mengazabnya. Seandainya ia baik, maka tambahkanlah baginya timbangan amalan baiknya dan sekiranya ia buruk, maka maafkanlah ia}.
Kemudian baginda berdoa dengan apa yang baginda kehendaki.”

83. Dan doa di antara takbier yang terakhir dan salam adalah disyari‘atkan, berdasarkan hadis Abu Ya‘fur daripada ‘Abdillah bin Abie Aufa  :
“Aku menyaksikan beliau dan beliau bertakbir ke atas jenazah 4 kali, kemudian beliau berdiri diam seketika – yakni – berdoa. Kemudian (selesai solat) beliau berkata: Apakah kamu melihat saya bertakbir 5 kali? Jawab mereka: Tidak. Katanya lagi: Sesungguhnya Rasulullah  bertakbir 4 kali.”

84. Kemudian ia memberi salam 2 kali sepertimana di dalam solat fardu, sekali ke kanannya dan yang kedua ke kirinya kerana hadis ‘Abdillah bin Mas‘ud   katanya:
“Tiga perkara yang Rasulullah  biasa melakukannya dan telah ditinggalkan oleh manusia. Salah satu daripadanya adalah memberi salam di dalam solat jenazah sepertimana memberi salam dalam solat lainnya.”

Sungguh tsabit (ada keterangannya dengan periwayatan yang sahih daripada baginda ) di dalam Sahih Muslim dan kitab lainnya daripada Ibn Mas‘ud, bahawasanya Nabi  memberi salam 2 kali di dalam solat. Maka ini menjelaskan maksud kata-kata beliau  di dalam hadis yang pertama tadi: “sepertimana memberi salam dalam solat lainnya” yakni 2 kali salam sebagaimana yang sedia diketahui.

85. Boleh juga memberi salam yang pertama sahaja yakni sekali kerana hadis Abu Hurairah :
“Bahawasanya Rasulullah   melakukan solat jenazah bertakbir 4 kali dan memberi salam sekali sahaja.”

86. Menurut as-Sunnah, memberi salam di dalam solat jenazah dilakukan secara sirr (senyap), baik si imam mahupun makmum di belakangnya, berdasarkan hadis Abi Umamah   yang telah disebutkan pada perkara (80) dengan lafaz:
“Kemudian ia memberi salam secara senyap ketika selesai solat dan menurut as-Sunnah, orang yang di belakangnya (imam) melakukan sepertimana yang dilakukan oleh imamnya.”

87. Tidak boleh melakukan solat jenazah pada waktu-waktu yang diharamkan solat padanya kecuali jika darurat; berdasarkan hadis ‘Uqbah bin ‘Amir   katanya: “Tiga waktu yang Rasulullah   melarang kami daripada melaksanakan solat padanya atau mengebumikan jenazah: iaitu ketika matahari terbit sampailah ia meninggi, ketika orang berdiri atas bayang-bayangnya (matahari tegak) sehinggalah ia tergelincir dan ketika matahari mula masuk senja sampailah ia terbenam.”

Maka dengan maksudnya yang umum itu, ia merangkumi solat jenazah dan itulah yang difahami oleh para Sahabat   sebagaimana yang telah dijelaskan di dalam kitab asal.

 Al-Imam Malik   meriwayatkan di dalam al-Muwatta’ (1/228) dan daripada jalan periwatan beliau ini, (ia diriwayatkan juga oleh) al-Imam al-Baihaqiy daripada Muhammad bin Abie Harmalah: “Bahawasanya Zainab binti Abi Salamah wafat dan Tariq ketika itu adalah Amier (gabenor) kota Madinah, maka dihadapkan jenazahnya selepas solat Subuh, diletakkan di (dekat) al-Baqie‘.
Adalah daripada kelaziman Tariq melaksanakan solat Subuh pada waktu masih gelap pekat. Kata Ibn Abie Harmalah:
Maka aku dengar ‘Abdullah bin ‘Umar berkata kepada ahli keluarganya Zainab: {Samada kamu solatkan jenazah ini sekarang atau kamu membiarkannya sehingga matahari tinggi (terbit dan tinggi sepenggalah)}.

Sanadnya sahih menurut syarat kedua-dua asy-Syeikhan (al-Bukhariy dan Muslim.

Al-Imam Malik   juga meriwayatkan daripada Ibn ‘Umar   yang berkata: “Jenazah disolatkan selepas Asar dan selepas Subuh jika solat didirikan pada awal waktunya”
Sanadnya juga sahih.

Al-Imam Al-Baihaqiy   pula meriwayatkan dengan sanad yang baik daripada Ibn Juraij yang mengkhabarkan bahawa Ziyad meriwayatkan kepadanya: “Bahawasanya ‘Aliy telah menyampaikan kepadanya bahawa jenazah telah diletakkan di perkuburan penduduk Basrah ketika matahari sudah kuning kemerahan (hampir maghrib), maka tidak dilaksanakan solat jenazah sehinggalah matahari terbenam. Maka Abu Barzah pun menyuruh seorang tukang seru agar menyerukan azan kemudian iqamah, lalu Abu Barzah mengimamkan solat Maghrib dan di antara yang solat bersama beliau adalah Anas bin Malik, sedang Abu Barzah adalah dari kalangan Sahabat Nabi   golongan Ansar. Kemudian (selepas Maghrib) barulah beliau solatkan jnazah tersebut.”

Kata al-Imam al-Khattabi   di dalam al-Ma‘alim: 4/327 kesimpulannya:
“‘Ulama’ berselisih pendapat akan keharusan solat jenazah dan pengebumiannya pada 3 waktu ini. Kebanyakan ahli ilmu membenci perbuatan disolatkan jenazah pada waktu-waktu tersebut dan itulah pendapat ‘Ata’, an-Nakha‘ie, al-Auza‘ie, ats-Tsauri dan As-hab ar-Ra’yi, Ahmad dan Is-haq manakala asy-Syafi‘ee berpendapat diharuskan solat dan pengebumian pada bila-bila masa sahaja, baik siang atau malam. Namun pendapat kebanyakan ‘ulama’ adalah lebih utama (diikuti) kerana bersesuaian dengan petunjuk hadis.”

Kata asy-Syeikh al-‘Allamah al-Muhadits al-Muhaqqiq Muhammad Nasir ad-Dien al-Albaniy : Dengan ini, anda menyedari bahawa apa yang didakwa oleh al-Imam an-Nawawi  bahawa adanya ijma‘ (kesepakatan ‘ulama’) atas keharusan solat (pada waktu-waktu terlarang tersebut) adalah suatu kesilapan daripada diri beliau secara peribadi  .

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts