Thursday, April 30, 2015

15.Perihal Mengebumikan Jenazah (Bhg.1)







































88. Menjadi suatu kewajipan, perbuatan mengebumikan mayat walaupun ia mayat seorang kafir, mengenainya ada dua hadis
Pertama: Daripada segolongan Sahabat Nabi   di antara mereka adalah Abu Talhah al-Ansariy   dan jalan cerita ini adalah menurut riwayat beliau:
“Bahawasanya Rasulullah  telah memerintahkan pada Hari Badar, agar 24 orang daripada pembesar Quraisy (yang kafir), [maka mereka diheret dengan kaki mereka], dihumbankan ke dalam Tuwa (perigi) yang kotor dari perigi-perigi di Badar, dengan keadaan jasad jijik mereka saling bertimpa [antara satu sama lain], [kecuali jasadnya Umaiyah bin Khalaf kerana ia berkecai di dalam baju besinya sehingga memenuhinya, maka mereka menggerakkan badannya maka tertanggallah bahagian-bahagian tubuhnya, maka mereka melemparkan apa yang dapat menutup tubuhnya daripada pasir dan batu-batu]…”

Kedua: Daripada ‘Aliy  :
“Sewaktu Abu Talib meninggal dunia, aku menemui Nabi  lalu menyampaikan: Sungguh, bapa saudara mu asy-Syeikh (orang tua) [yang sesat] telah meninggal dunia, [maka siapa yang akan mengebumikannya?] Jawab baginda : Anda pergilah kebumikannya, kemudian usah anda berbicara sesuatu sehingga anda kembali semula menemuiku. [Maka sabda baginda: Beliau mati sebagai seorang musyrik lalu baginda bersabda lagi: Pergilah kebumikannya]. Maka aku pun pergi mengebumikan beliau, lalu aku kembali menemui baginda . Sabda baginda: Mandilah, kemudian jangan ucapkan sesuatu sehingga anda kembali menemuiku. Maka aku pun mandi dan kemudian menemui baginda. Maka baginda  pun mendoakan untukku dengan berbagai doa yang amat menggembirakan ku, seolah-olah aku akan mendapat unta-unta yang termahal lagi baik. Demikianlah menjadi kebiasaan ‘Aliy, setiap beliau memandikan jenazah, beliau akan mandi”

89. Tidak boleh mengebumikan jenazah seorang muslim (bersama dalam 1 liang) dengan mayat orang kafir, tidak pula mayat orang kafir bersama jenazah muslim. Malah, semestinya jenazah muslim dikebumikan di perkuburan muslimin dan mayat orang kafir di perkuburan musyrikin. Demikianlah yang berlaku dan dilaksanakan pada zaman Nabi  dan ia berterusan sehingga hari ini. Di antara dalil-dalil yang menerangkan perkara ini adalah hadis Basyier bin al-Khasasiyah kata beliau :

“Sewaktu saya berjalan menemani Rasulullah sambil berpimpin tangan dengan baginda, baginda  bersabda: {Wahai Ibnal Khasasiyah, mengapakah kamu jadi seperti kurang senang dengan (ketetapan) Allah?   Sekarang anda berjalan menemani Rasulullah! [dengan berpimpin tangan]  }. Jawabnya: Wahai Rasulullah, saya jadikan ibu dan bapaku sebagai tebusan, saya tidak merasa kurang senang terhadap (ketentuan) Allah sesuatu apa pun. Maka segala apa yang Allah tentukan buat diri saya adalah baik. Maka baginda sampai di sisi perkuburan Musyrikien lalu bersabda: {Sungguh telah berlalu dan terlepas daripada mereka kebaikan yang banyak [dalam riwayat lain: banyak kebaikan]} (mengulangi sabda baginda) 3 kali. Kemudian baginda sampai pula ke perkuburan Muslimin lalu bersabda: {Sungguh mereka telah mendapat kebaikan yang banyak} juga 3 kali.
Tatkala baginda berjalan itu, baginda ternampak sesuatu, iaitu seorang lelaki yang berjalan di antara kuburan dengan beralas kaki. Maka teriak baginda: {Wahai Si pemakai selipar! Alangkah sayangnya anda ini, tanggalkanlah kedua alas kaki mu}. Orang itu pun menoleh dan apabila ia mengenalpasti Rasulullah, ia menanggalkan kedua seliparnya dan membuangnya.”

Di antara perkara yang ditekankan Syari‘at yang ditetapkan oleh yang Maha Bijaksana, ialah perbezaan ucapan yang diucapkan ketika menziarahi perkuburan Muslimien, dengan perbezaan ketika menziarahi perkuburan Kafirien, yang akan dijelaskan lebih lanjut tidak lama lagi, iaitu di bawah tajuk “Ziarah Kubur”.

90. Menurut (ajaran) as-Sunnah, jenazah dikebumikan di perkuburan sebab Nabi  biasanya mengebumikan jenazah-jenazah di perkuburan al-Baqie‘, sebagaimana yang diriwayatkan secara tawatur  dan banyak telah disebutkan pada kesempatan yang lalu, sedang yang baru berlalu adalah riwayat Ibnul Khasasiyah yang saya kemukakan pada perkara 89 yang lalu. Malah tidak ada satu riwayat pun daripada seorang Salaf bahawa mereka dikebumikan di selain kawasan perkuburan, kecuali apa yang diriwayatkan secara tawatur juga, bahawa Nabi  telah dikebumikan di dalam bilik rumah baginda  dan itu adalah perkara yang khusus buat baginda  sepertimana yang dijelaskan oleh hadis ‘A-isyah :
“Apabila Rasulullah  wafat, para Sahabat telah berselisihan pendapat tentang pengebumian jasad mulia baginda. Maka Abu Bakar pun berkata: Saya telah mendengar daripada Rasulullah  sesuatu yang tidak mungkin saya melupakannya; sabda baginda:
     ما قبض الله نبيا إلا في الموضع الذي يحب أن يدفن فيه  
{Tiada seorang nabi pun yang Allah ambil nyawanya, kecuali di tempat di mana ia suka untuk dikebumikan}, maka mereka pun mengebumikan baginda di tempat pembaringan baginda.”

91. Dikecualikan daripada apa yang telah disebutkan tadi, mereka yang mati sebagai syuhada’ di medan pertempuran, kerana mereka ini dikebumikan di tempatnya di mana mereka gugur dan tidak dipindahkan ke perkuburan; berpandukan hadis Jabir   katanya:
“Rasulullah  telah keluar dari Madinah untuk berperang menentang orang-orang Musyrikien, maka kata bapaku ‘AbdulLah: <Wahai Jabir bin ‘Abdillah! Tidak sepatutnya engkau menjadi salah seorang penduduk Madinah yang menunggu memerhati (tidak ikut serta bertempur) sehingga engkau tahu ke mana haluan perjuangan ini. Sesungguhnya aku, demi Allah, kalaulah tidak kerana aku akan meninggalkan ramai anak perempuan, pasti aku lebih suka untuk melihat engkau gugur di hadapan mataku>. Maka ketika aku berada bersama mereka yang menanti, tiba-tiba pakcik ku (daripada sebelah bapa) datang dengan membawa jasad bapa ku bersama pakcik ku (daripada sebelah ibu) dengan mengikatkan mereka di kanan dan kiri seekor unta, beliau membawa jasad keduanya ke Madinah untuk dikebumikan di perkuburan (keluarga) kami. Seketika itu juga seorang lelaki menyusul sambil berteriak: Perhatian! Rasulullah   memerintahkan kamu supaya mengembalikan mereka yang terbunuh, ke medan pertempuran mereka untuk dikebumikan. Maka kami pun pergi memulangkan jasad mereka ke medan pertempuran mereka dan mengebumikan mereka di situ.”

92. Tidak boleh dikebumikan jenazah pada keadaan-keadaan berikut kecuali darurat:
a. Pada 3 waktu yang terlarang, berdasarkan hadis ‘Uqbah bin ‘Amir yang telah disebutkan di dalam perkara 87. Lafaznya:
     ثلاث ساعات كان رسول الله   ينهانا أن نصلي فيهن ، أو نقبرفيهن موتانا  
 “Tiga waktu yang Rasulullah  larang kita daripada melakukan solat atau kebumikan jenazah kita...”
b. Pada waktu malam, berpandukan hadis Jabir :
“…maka Nabi  pun menegur dan kurang senang bilamana seseorang itu (yakni jenazah – penterjemah) dikebumikan pada waktu malam agar lebih ramai orang dapat solatkan jenazahnya (yakni pada waktu siang – penterjemah), kecuali jika terpaksa…”
Hadis sepenuhnya telah disebutkan pada perkara (35).

93. Jika terpaksa dikebumikan pada waktu malam, maka ia diharuskan walaupun dengan terpaksa menggunakan lampu yang hingga perlu dibawa (lampu itu – penterjemah) masuk ke liang kubur, semata-mata untuk memudahkan pengebumian, kerana hadis Ibn ‘Abbas  :
“Bahawasanya Rasulullah  mengebumikan jenazah seorang lelaki pada waktu malam dan menggunakan lampu di dalam liang kubur untuk tujuan itu”

94. Adalah wajib menjadikan liang kubur luas, dalam dan kemas. Untuk itu ada 2 hadis mengenainya:
Pertama: daripada Hisyam bin ‘Amir katanya:
“Sewaktu berlakunya Peperangan Uhud, sebahagian kaum muslimin telah gugur syahied dan ramai juga yang cedera. [Maka kami pun berkata: Wahai Rasulullah, untuk kami menggalikan liang kubur untuk setiap yang gugur adalah sesuatu yang amat berat], [maka perintahkanlah kepada kami bagaimana caranya], sabda baginda:
     احْـفِرُوا وَ أَوْسِعُوا [ وَ أَعْـمِـقُوا ] [ وَ أَحْـسِـنُوا ]، وَ ادْفُـنُوا الاثنين و الثلاثة في القبر،
و قَـدِّموا أكثرهم قرْآنا  
 “{Galilah dan luaskanlah serta jadikannya liang yang dalam dan kemas, lalu kebumikanlah 2 atau 3 orang di dalam satu liang kubur dan letakkan yang paling banyak (hafazan) Al-Qurannya di hadapan}.
[Maka bapaku diletakkan paling hadapan di antara 3 orang kerana beliau yang terbanyak hafazannya di antara mereka]…”
Kedua: daripada seorang Sahabat golongan Ansar yang meriwayatkan:
“Kami telah keluar bersama Rasulullah  mengiringi jenazah seorang Sahabat daripada golongan Ansar, sedangkan aku ketika itu masih seorang budak mengikuti bapa ku, maka Rasulullah  duduk di pinggiran lubang kubur, sambil berpesan [di dalam riwayat lain: membongkok) kepada si penggali kubur dan bersabda:
     أوسع من قبل الرأس ، و أوسع من قبل الرجلين ، لَرُبَّ عِذْقٍ له في الجنة  
{Luaskanlah dari bahagian kepalanya dan luaskanlah dari bahagian kedua kakinya, semoga ia mendapat sepohon/sedahan korma berbuah di dalam syurga}.”

95. Diharuskan untuk membuat lahad  (اللَّحْد) dalam lubung kubur mahupun lubang melurus (الشق); kerana demikian yang diamalkan pada zaman Nabi , namun yang lebih utama adalah yang pertama (lahad) dan mengenainya ada banyak hadis, maka saya sebutkan dua daripadanya:
Pertama: Dari Anas bin Maalik katanya:
“Sewaktu Nabi   wafat, (menurut lumrahnya) di Madinah,  ada sebahagian jenazah yang dikebumikan dalam liang lahad dan ada pula dalam asy-Syaqqu. Maka kata para Sahabat: <Kita beristikharah kepada Tuhan kita dan menyelidiki hal tersebut. Mana yang didahului (yakni dilakukan pada waktu terkemudian) maka ia kita tinggalkan>, maka akhirnya ternyata yang terdahulu adalah yang dibuatkan lahad, maka mereka pun membuatkan lahad untuk Nabi  .”
Kedua: Daripada Ibn ‘Abbas   bahawasanya Rasulullah   bersabda:
     اللحد لنا و الشق لغيرنا  
“Liang lahad untuk kami dan liang melurus untuk selain kami.”

96. Tiada salahnya untuk mengebumikan 2 jenazah atau lebih di dalam lubang kubur yang satu ketika darurat. Hendaknya diletakkan orang yang terbaik (di dalam pegangan/pengamalan agama) di hadapan. Untuk itu terdapat beberapa hadis, di antaranya, hadis Anas yang telah disebutkan di dalam perkara (37) dan hadis Hisyam bin ‘Amir (perkara no: 94 - Pertama).

97. Yang menurunkan jenazah ke dasar liang kubur sayugianya orang lelaki sahaja, biarpun jenazahnya jenazah wanita, kerana perkara berikut:
Pertama: Itulah yang sedia diketahui dan diamalkan pada zaman Nabi  dan ia berterusan sehingga hari ini. Akan disebutkan hadisnya daripada Anas  pada perkara yang ke (99).
Kedua: Orang lelaki lebih kuat untuk melakukannya.
Ketiga: Sekiranya kaum wanita yang melaksanakannya, maka itu boleh menjadi punca terdedahnya sebahagian daripada aurat mereka di hadapan lelaki ajnabi dan itu adalah sesuatu yang terlarang.

98. Para walinya si mati lebih utama dalam menjalankan tugas menurunkan jenazah ke dasar liang kubur, berdasarkan maksud umum daripada Firman Allah :

 “Dan kerabat dari talian rahim sebahagian mereka lebih utama daripada sebahagian yang lain di dalam (ketetapan) Kitab Allah.”

Begitu juga kerana hadis ‘Aliy :
“Saya telah memandikan jenazah Rasulullah  maka saya melihat-lihat apa yang biasanya ada pada jenazah (perubahan), namun tiada sesuatu apa pun yang kelihatan, sungguh baginda berupa baik sewaktu hidup mahupun setelah wafat, manakala yang mengebumikan baginda 4 orang, ‘Aliy, al-‘Abbas, al-Fadl dan Salih maula (bekas hamba yang dimerdekakan oleh) Rasulullah dan dibuatkan lahad untuk baginda serta diletakkan batu penahan untuknya (lahad).”

Daripada ‘Abdir Rahman Abza katanya meriwayatkan:
“Saya telah melakukan solat ke atas Zainab binti Jahsyin (Ummu al-Mukminien -balu Nabi ) bersama ‘Umar bin al-Khattab di Madinah, maka ‘Umar bertakbir sebanyak 4 kali. Kemudian beliau mengutuskan seorang utusan untuk bertanyakan kepada para isteri Nabi : Siapakah yang menjadi orang pilihan mereka untuk memasukkan jenazahnya ke dalam kubur? Adalah ‘Umar amat suka sekali jika beliau (‘Umar) sendiri yang melaksanakannya. Maka utusan tersebut kembali menyampaikan bahawa para isteri Nabi berpesan: Lihatlah siapa yang dahulunya boleh melihat (masuk ke rumah)   beliau semasa hayatnya, maka orang itulah yang memasukkan jenazahnya ke dalam kubur. Maka kata ‘Umar: Benar dan tepat pilihan mereka”

99. Diharuskan bagi si suami untuk melakukannya sendiri, yakni memasukkan jenazah isterinya di dalam liang kubur. Yang demikian berdasarkan hadis ‘A-isyah  yang meriwayatkan:
“Rasulullah  masuk ke rumahku pada hari baginda mula gering (sakit wafat baginda), maka aku sedang mengeluh: Aduh sakit kepalaku! Maka baginda bersabda: Ingin sekali aku menghadapi kematian mu semasa aku masih hidup, sehingga biar akulah orang yang menguruskanmu dan mengebumikanmu. Maka aku pun menjawab dengan penuh rasa cemburu: Tentu sahaja pada hari itu, keadaan aku bersama mu seperti pengantin di sisi sebahagian isteri-isteri mu ! Maka sabda baginda:
     و أنا ورأساه ! ادعي لي أباك و أخاك حتى أكتب لأبي بكر كتابا ؛ فإني أخاف أن يقول قائل ، و يتمنى متمن : أنا أولى ! و يأبى الله   و المؤمنون إلا أبا بكر  
“Akulah yang sebenarnya sakit kepala. Panggilkanlah bapa mu dan saudara mu untukku supaya aku tuliskan untuk Abu Bakar suatu amanat; sebab aku khuatir akan ada orang yang menuntut hak dan membina impian mengatakan: Aku yang lebih utama! Padahal Allah   enggan, begitu juga orang-orang yang beriman, kecuali Abu Bakar.”

100. Akan tetapi perkara tersebut ada syaratnya, iaitu jika ia tidak berjima‘ (bersetubuh) pada malam itu (yakni malam sebelumnya – penterjemah). Jika tidak memenuhi syarat ini, maka beliau tidak diharuskan untuk melakukan pengebumiannya. Orang lain yang lebih utama untuk melaksanakannya, walaupun lelaki ajnabi (bukan mahram kepada si mati - penterjemah), sedang ia juga memenuhi syarat tadi. Ini berdasarkan hadis Anas bin Malik  katanya meriwayatkan:
“Kami turut hadir bersama Rasulullah  sewaktu pengebumian jenazah salah seorang anak perempuan baginda, sedang Rasulullah  duduk di sisi kubur, maka saya lihat airmata mengalir dari kedua mata baginda. Kemudian baginda bersabda: Adakah sesiapa di antara kalian yang tidak bersatu malam ini (semalam) [dengan isterinya]? Kata Abu Talhah: [Ya] Saya wahai Rasulullah! Sabda baginda: Turunlah (ke liang). Maka beliau pun turun ke kubur tersebut [lalu mengebumikannya].”
[Riwayat al-Bukhariy (as-Sahih: 3/122, 162), at-Tahawiy (al-Musykil: 3/304), al-Hakim (4/47), al-Baihaqiy (4/53) dan Ahmad (3/126, 228)]

101. Menurut ajaran as-Sunnah jenazah dimasukkan ke liang kubur daripada bahagian belakang (di mana bakal diletakkan kakinya), berdasarkan hadis Abi Is-haq katanya:
“al-Harits telah berwasiat agar beliau (jenazahnya) disolatkan oleh ‘AbdulLah bin Yazied, maka beliaulah (‘AbdulLah) yang mensolatkannya, kemudian beliau memasukkan jenazahnya ke kuburnya daripada bahagian kedudukan kaki kubur sambil berkata: “Ini daripada as-Sunnah (yakni ajarannya)”
Daripada Ibn Sirien   pula katanya:
“Aku ada bersama Anas sewaktu mengebumikan satu jenazah, maka beliau memerintahkan agar dimasukkan daripada bahagian kedudukan kaki kubur.”

102. Setelah itu, mayat hendaklah diletakkan memiring pada lambung/rusuk kanannya dan dihadapkan ke arah kiblat, begitu juga wajahnya, sedang kepalanya dan kedua kakinya juga dihadapkan ke arah sebelah kanan dan kirinya kiblat (lututnya dan keseluruhan jasad ke kiblat). Beginilah yang telah sedia diamalkan ahli Islam sejak zaman Rasulullah  sampai hari ini dan demikianlah juga keadaan setiap perkuburan di atas muka bumi ini. Begitulah yang disebutkan juga di dalam al-Muhalla (5/173) dan kitab lainnya.

103. Orang yang meletakkan jenazah di dalam liang kubur, hendaknya ia mengucapkan:
  بــِـسـْـمِ اللهِ وَ عَـلَى سُــنَّــةِ رَسُـوْلِ اللهِ    
    بــِـسـْـمِ اللهِ وَ عَـلَى مِــلَّـةِ رَسُــوْلِ اللهِ     ataupun
“Dengan nama Allah dan berlandaskan Sunnah Rasulullah ,”

Ataupun:
 “Dengan nama Allah dan berlandaskan agama/ajaran/fahaman Rasulullah .”
Ataupun ia mengucapkan:

    بــِـسـْـمِ اللهِ ، وَ بـِاللهِ ، وَ عَـلَى مِــلَّـةِ رَسُــوْلِ اللهِ   
 “Dengan nama Allah dan dengan (bantuan) Allah serta berlandaskan agama Rasulullah ”  
Segalanya itu adalah dengan perintah Rasulullah   sendiri.

104. Adalah sesuatu yang digalakkan bagi mereka yang berada di sisi kubur untuk mengambil pasir/tanah, mengaupnya dengan kedua belah tangannya, 3 kali, selepas lahad telah dikepung , berpandukan hadis Abie Hurairah:
“Bahawasanya Rasulullah  telah melakukan solat jenazah, kemudian baginda didatangkan dengan jenazah yang bakal dikebumikan, maka baginda mengambil tanah dengan mengaupnya, lalu menaburkannya pada bahagian kepala kubur 3 kali”  

105. Begitu pula selepas jenazah selesai dikebumikan, disunnatkan (menurut As-Sunnah) beberapa perkara berikut:
Pertama: Agar ditinggikan sedikit tanah kubur dari permukaan bumi anggaran sejengkal dan jangan diratakan ke paras bumi merata agar dapat dikenali, lantas dipelihara dan tidak diperlakukan dengan yang hina, sepertimana hadis Jabir :
" أن النبي   أُلحد له لحد ، و نُصب عليه اللبن نصبا،
و رفع قبره من الأرض نحوا من شبر"
“Sesungguhnya kubur Nabi  telah dibuatkan lahad, dimantapkan dengan batu-bata serta ditinggikan dari permukaan bumi kadar sejengkal.”

Kedua: Dijadikan bentuknya membukit yakni tinggi di bahagian tengahnya daripada bahagian kepala hingga ke kaki kubur, berpandukan hadis Sufyan at-Tammar katanya:
“Saya telah melihat kubur Nabi  [dan kuburnya Abu Bakar dan ‘Umar] membukit.”

Ketiga: Hendaklah diletakkan petanda dengan batu atau yang sepertinya untuk dikebumikan bersamanya sesiapa yang meninggal dunia (selepasnya) dari kalangan isterinya/ahli keluarganya. Ini berdasarkan hadis al-Muttalib bin Hintab  katanya:
“Apabila jenazah ‘Utsman bin Maz‘un dikebumikan, Nabi  memerintahkan seorang lelaki agar mengambil seketul batu, namun orang itu tidak mampu mengangkatnya, maka Rasulullah  bangun menyingsing kedua lengan, (kata al-Muttalib): Orang yang menceritakan kepada ku mengenai Rasulullah  mengatakan: Seolah-olah sekarang ini saya melihat putihnya kedua lengan Rasulullah  ketika mengangkatnya, lalu meletakkannya di atas bahagian kepala kubur lalu bersabda: {Untuk aku kenali kubur saudaraku ini dan agar dikebumikan ke kuburnya sesiapa yang meninggal dunia dari kalangan ahli keluarga ku}.”

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts