Wednesday, April 29, 2015

Adab-Adab Berpakaian yang Menurut Ketentuan Syara'

إن الحمد لله نحمده و  نستعينه و نستغفره ، و نعوذ بالله من شرور أنفسنا ، و من سيئات أعمالنا ، من يهده الله فلا مضل له ، و من يضلل فلا هادي له
و أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له.
و أشهد أن محمدا عبده و رسوله.
أما بعد:

.
Sidang pembaca yang budiman, semoga Allah memelihara kalian sentiasa dalam Rahmah dan PerlindunganNya,

Dijelaskan berikut ini, beberapa Adab Berpakaian menurut lunas-lunas sebenar Islam:


1. Berlakunya "salah faham" dan "tafsiran" yang tidak benar terhadap maksud "Menutup Aurat" yang diajarkan Islam, ajaran Rasulullah dan para Sahabat yang diwarisi 'Ulamaa' pewaris Anbiyaa' (para Nabi). 

Di kalangan anak-anak muda lelaki, ada yang walhamdulllah menjaga kewajipan mereka menunaikan Solat Berjemaah di Masjid. Namun sayangnya, kerana "trend" atau adat pakaian zaman sekarang, dengan "seluar terlondeh sedikit dari paras pinggang", baju (T-shirt) yang singkat, seringkali, ketika mereka ruku' dan sujud terutamanya, akan terdedah aurat mereka, malah lebih buruk lagi terpapar "alur atau lurah belakang di bawah pinggang" mereka. Tentunya Solat dengan pakaian sedemikian, tidak akan menjadi Solat yang sah, kerana tidak memenuhi syarat menutup aurat dengan sempurna. Sama juga halnya dengan yang lainnya, samada ketika duduk-duduk di kedai makan, ataupun menunggang motosikal dan ketika lainnya, bila mereka membongkokkan badan. Laa haulaa wa laa quwwata illaa billaah! Sila baca di sini  dan ini

Oleh kerana itu, hendaknya dielakkan memakai T-shirt pendek dan lebih baik memakai apa jua pakaian yang membantu memenuhi syarat menutup aurat seperti baju-baju kurta (baju bai) kaum lelaki, yang sedapat mungkin, cukup panjang untuk layak dan sesuai dipakai ketika Solat sehingga dapat menutup aurat sesempurnanya. Adapun Jubah / Gamis / Kandoora pula, maka hendaklah mengelakkan "Isbal", yang sebahagian 'ulamaa' memandang makruh tapi sebahagian 'ulamaa' lainnya menghukumkannya haram, berdasarkan ancaman umum baginda, ertinya: 
"Apa yang (panjangnya) melepasi batas mata kaki daripada kain (pakaian kaum lelaki), maka tempatnya di Neraka" (HR al-Bukhaariy dan an-Nasaa-i - Sahih al-Jaami': 5529). 
Kesimpulannya, tiada 'ulamaa' yang menggalakkannya, malah semua tidak menyukainya, cuma mereka berselisih, berdosa atau tidak bila melakukannya.   

2. "Salah Tafsiran" ini, lebih-lebih lagi di kalangan Muslimaat. 




Berlaku terlalu banyak salah tafsiran dalam melaksanakan hukum menutup aurat di kalangan mereka, sehingga saya istilahkan, ada di antara mereka yang "menutup URAT" bukan AURAT. Daripada bahagian lehernya, tudung dililit pada lehernya hampir menjerut leher (para pekerja berpakaian seragam, yang dapat memakai tudung semasa bekerja, mungkin terpaksa memasukkan tudung ke dalam "coat" mereka - saya tidak membincangkan berkenaan kes terpaksa wanita bekerja, yang diperbahaskan di sini adalah yang bukan terpaksa). Dengan simpulan rambutnya (siput) di kepalanya dijadikan besar seperti punuk atau bonggol unta dan sudut pandangan lain, sarang tabuan/lebah.




Jika dikatakan masyarakat Arab yang memulakannya, maka agama kita bukan semata-mata "Ikut-ikutan kepada Arab" dan tidak pula "meniru Barat". Segalanya dirujukkan kepada sandarannya, al-Qur'an dan as-Sunnah serta ajaran para Sahabat dan para Imam yang meneladani mereka. Bukan pula diukur benar salahnya pakaian seseorang muslimah di sisi Islam dengan semata-mata menuruti sebahagian Ustaadzaat (ustadzah-ustadzah), tidak pula isteri para Ustaz (Asatizah) atau anak-anak mereka. Malah tidak pula golongan Menteri, Presiden atau Yang dipertua mana-mana Negeri, Persatuan atau Badan Keagamaan ataupun Masjid. 

Walhamdulillaah, bagi mereka yang mempunyai kesedaran "kewajipan menutup aurat". memang mereka lebih mulia dan lebih baik daripada yang tidak melaksanakan kewajipan ini, menderhakai Allah dan Rasul. Tetapi, jika pakaian "menutup aurat" belum memenuhi tuntutan sebenar yang ditetapkan Syara', ia wajib diperberbetulkan dan disempurnakan. Dengan itu, saya tegaskan di sini, usahlah dihukumkan tepat atau tidak sempurnanya pemakaian menutup aurat yang saya jelaskan di sini dengan yang dipakai oleh sesiapa pun dari kalangan ahli kerabat saya. Ukurannya adalah Syari'at. Bukan pula bererti tidak pernah cuba diperbetulkan. Kewajipan kita hanyalah menyampaikan. 

Sila lihat penjelasan ini mengenai: The Correct Hijab dan juga Agar Wanita Menjaga Kemuliaannya. Ringkasnya, syarat-syarat tersebut:  
1. Menutup seluruh tubuh, melainkan bahagian yang dikecualikan (yang boleh untuk tidak ditutup). Iaitu muka dan kedua tapak tangan. 2. Bukan dengan tujuan untuk berhias, menarik perhatian, atau melawa di hadapan bukan mahram. 3. Menggunakan kain yang tebal (bukan yang tipis atau jarang) sebagai kain pakaiannya. Ini supaya tidak menampakkan warna kulit atau bahagian dalam tubuhnya. 4. Tidak ketat tetapi perlu agar longgar dan tidak boleh menggambarkan bentuk tubuh. 5. Tidak diberi wangi-wangian (perfume). 6. Tidak menyerupai pakaian lelaki. 7. Tidak menyerupai pakaian wanita kafir atau syi’ar orang-orang fasiq. 8. Bukan pakaian kesombongan atau untuk bermegah-megah.



3. "Warna pakaian kaum Muslimaat". 

Di antara yang disebutkan dalam syarat-syarat yang wajib dipenuhi bagi pemakaian yang menutup aurat dengan sempurna adalah no: 2.
"Bukan dengan tujuan untuk berhias, menarik perhatian, atau melawa di hadapan bukan mahram" dan "Secondly (it should not be an adornment in and of itself)". 
Warna-warna pakaian kaum Muslimaat, semestinya warna yang tidak menarik. Bukan seperti "pink" atau "merah jambu" "jingga menyala" dan sebagainya. Tentunya dapat dibezakan di antara "terang menarik" atau "pudar" warnanya, "kilat memancar" atau "suram". Begitu juga yang bercorak dengan "sulaman" dan "kerawang" dan ada "renda" dan "labuci" yang jelas kelihatan menarik atau tanpa itu semua.  Sehinggakan saya pernah berikan contoh, dalam pemilihan warna dan corak kain, kain yang lain bukan untuk pakaian wanita Muslimah, tetapi kain langsir/tirai. Siapa sahaja kaum wanita tentu tahu membezakan kain langsir yang pudar atau suram warnanya yang tidak menarik dan mana pula dengan warna, corak, sulaman, berlabuci, berkerawang yang menarik. Maka saya katakan, hiaslah rumah anda dengan kain langsir dan alas meja (table runner) yang menarik dan sebaliknya jika anda mengakui ia menarik, wahai kaum Muslimaat yang taat pada Allah dan Rasul, usahlah anda jadikan pakaian anda, kerana bererti ia menjadi pakaian yang menarik dan satu hiasan pada zatnya sendiri. Semoga kita dapat saling bantu membantu untuk mencapai ketaqwaan.

4. Kebelakangan ini, menjadi trend "busana Muslimah" dengan mengenakan tudung ala BIARAWATI atau "nun" kaum Nasrani.


Baru-baru ini, ada pula yang membeli Jubah Wanita Iran@Syi'ah, yang sebenarnya mirip Biarawati cuma bentuknya Jubah. Cara wanita Iran berpakaian juga tidak menutup aurat dengan sempurna kerana mereka memakai Jubah yang bahagian depannya terdedah, yang adakalanya mendedahkan seluar dan blaus mereka. 

Jubah mereka ini digelar Chador. Sebagaimana yang telah disebutkan pada syarat yang Ketujuh; 
"7. Tidak menyerupai pakaian wanita kafir atau syi’ar orang-orang fasiq", 
selayaknya seseorang muslimah yang memelihara kemuliaan dan kehormatannya sesuai yang diredhai Allah, menuruti tuntunan Rasulullah, akan mengelakkan dirinya daripada terjebak dalam percanggahan sudut ini. (Lambang Salib dipudarkan) 



5. Penutup. 

Sebagai penutup, perlu dinyatakan di sini, bahawa Muslimah di dalam Islam, ditetapkan kemuliaan keperibadiannya menurut lunas-lunas Islam, bukan kayu ukur pihak Barat dan lainnya. Muslimah di dalam Islam adalah 'Aurah. Sebagaimana hadis Nabi yg Sahih; “Wanita adalah aurat” - Riwayat at-Tirmidzi dan dihukumkan Sahih oleh asy-Syeikh di dalam al-Jami‘ as-Saghier (6690). 

Oleh itu, seseorang Muslimah yang telah mengenakan Hijab Syar'i, apatah lagi kalau yang memakai Niqab atau Burqa penutup wajah, ketika di luar rumahnya, selayaknya memahami dalam pada ia mengenakan pakaian sedemikian, ia tidak menjadikan pakaiannya "daya penarik" dengan warna "Pink" misalnya dan warna menarik lainnya. atau corak-corak seperti yang telah saya perjelaskan dengan bandingan "kain langsir" atau "alas meja". Tidak pula ia ketawa menghilai, berbual bebas dengan kaum lelaki bukan mahram, biarpun mereka adalah teman-teman suaminya dan melakukan apa jua gerak-geri yang menarik perhatian. Begitu pula, tidak bersesuaian dengan keperibadiannya yang melindungi diri daripada tatapan orang, untuk ia menulis dengan pendedahan ketara berkenaan dirinya di FB atau Blog. 

Saya katakan ini semua kerana kewajipan menegur kaum Muslimaat yang berNiqab dan berBurqah, yang berbeza dengan tahun-tahun 80-an dan 90-an, yang kebanyakan mereka dulu, cara pakaiannya sesuai dengan perwatakan, sesuatu yang ketara berbeza dengan kebanyakan yang berNiqab dan berBurqah hari ini, lebih-lebih lagi golongan remajanya. 

Bukankah Allah menyifatkan wanita mulia dengan: 

ertinya: "Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan malu tersipu-sipu..." (al-Qasas: 28: 25)

Justeru, dengan baginda menyifatkan keseluruhan seorang wanita itu "aurat", ia sentiasa "melindungi dirinya" daripada apa jua bentuk pendedahan dan itulah yang sesuai dengan Sifat Muslimah. Semoga Allah memperbaikkan keadaan masyarakat kita. Amin. 

Sila lihat: Etiquette of Talking to Non-Mahram. dan tulisan-tulisan lain yang berkaitan yang disebutkan.

Walhamdulillah, setelah penjelasan ini semua, yang kami harapkan adalah Allah memberkati usaha ini. 

Dengan memohon maaf. Wallahu a'lam bissowaab. 

و صلى الله على نبينا محمد و على آله و صحبه و سلم
والحمد لله رب العالمين

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts