Friday, May 1, 2015

16. Perihal Mengebumikan Jenazah (Bhg.2) - Berkenaan Talqin (Talkin) & Pahala Bacaan




Berikut ini pula penjelasan bahawa perbuatan membaca al-Qur'an di sisi kuburan dielakkan serta kesilapan nukilan Imam an-Nawawi daripada al-Imam asy-Syafi'ie. Sekaligus diperjelaskan pendirian al-Imam asy-Syaafi'ie, mengenai tidak sampainya pahala bacaan yang dihadiahkan  kepada si mati.























Keempat: Tidak ditalqienkan (membaca Talkin atau bacaan Talqin) si mati dengan talqien yang sedia diketahui pada zaman ini, sebab hadis yang diriwayatkan mengenainya adalah tidak sahih, bahkan yang selayaknya dilakukan ialah berdiri di sisi kuburan, mendoakan bagi si mati agar mendapat ketetapan dan kecekalan serta memohonkan ampunan untuknya dan menyuruh yang hadir agar melakukan demikian kerana hadis ‘Utsman bin ‘Affan   katanya:
“Biasanya Nabi  jika selesai sahaja mengebumikan mayat, baginda berdiri di sisinya dan bersabda:
    اسْتَـغْـفِـرُوا لأَخِـيْـكُم ، وَ سَـلُـوا لَـهُ التَّــثْـبِـيـتَ، فَـإِنَّـهُ الآنَ يُـسْـأََل 
 “{Mintakanlah ampunan buat saudara kalian dan mohonlah agar beliau dikurniakan kecekalan kerana beliau sekarang ini akan ditanya}”

[Penambahan penterjemah demi membuktikan kebatilan dakwaan sebahagian pihak, kononnya hadis mengenai bacaan talqien masih sah dan layak untuk diamalkan:
Kata asy-Syeikh al-Albaniy selanjutnya (di bahagian nota kaki): Demikian kesimpulan al-Imam Ibnul Qayyim di dalam (kitab) “Zadu al-Ma‘ad”: 1/206 dan ia (hadis berkenaan talqien) juga telah dihukumkan lemah oleh al-Imam an-Nawawi dan ramai lagi selain beliau sebagaimana yang telah saya perincikan di dalam (kitab) “at-Ta‘lieqat al-Jiyad” dan telah saya simpulkan dengan analisa mendalam mengenainya di dalam “Silsilat al-Ahadits Ad-Do‘iefah” no: 559.
Kata al-Imam as-Son‘ani di dalam “Subul as-Salam”: 2/161: Kesimpulannya daripada ulasan-ulasan para Imam yang terkemuka di dalam membuat analisa adalah: ia (hadis talqien selepas pengebumian) adalah hadis do‘if (lemah-diragui sebagai berasal daripada sabda baginda) dan beramal dengannya (melakukan talqien itu berpandukan hadis lemah tersebut) adalah suatu bid‘ah dan usahlah dihairankan dengan ramainya bilangan mereka yang melakukannya.

Saya kagum dengan ungkapan beliau “beramal dengannya adalah bid‘ah” dan inilah yang benar meskipun ada ramai ulama yang tidak menyedarinya, sebab orang-orang melakukan berbagai perkara yang dianggap sebahagian daripada ajaran Syari‘at dengan berpandukan hadis yang (kedudukannya) sedemikian dan dengan bersandarkan kepada kaedah buatan/rekaan mereka sendiri iaitu “diharuskan beramal dengan hadis da‘ief di dalam perkara-perkara fada-il a‘mal (amalan untuk mencari kelebihan ganjaran) sehingga tidak memerhatikan bahawa perkara sedemikian mesti ada dan sabit keberadaannya sebagai perkara yang disyari‘atkan dengan dalil-dalilnya daripada Al-Quran dan As-Sunnah bukan sekadar ada hadis da‘ief. Contoh bagi perkara seperti ini telah dijelaskan di dalam ulasan pada halaman 153 dan saya telah memperincikan perbahasan masalah ini dengan mengemukakan penjelasan yang banyak daripada ramai ulama yang terbilang di dalam pendahuluan saya pada (kitab) “Sahih at-Targhieb” silalah rujuk 1/21-34 di dalam kitab tersebut.

Asy-Syeikh al-Bassam menyatakan berikut ketika menjelaskan hadis 480 dan 481 daripada kitab “Taudieh al-Ahkam min Bulugh al-Maram” (2/557-560) iaitu:
وَ عَنْ عثمان  : " كان رسولُ الله   إذا فرغ من دفن الميت وقف عليه و قال:
 استغفروا لأخيكم و اسألوا له التثبيت فإنه الآن يسأل  "
رَوَاهُ أبو داود ، و صححه الحاكم
 “Biasanya Rasulullah   akan berdiri sejurus selepas selesai pengebumian jenazah dan bersabda: {Mintakanlah ampunan buat saudara kalian dan mohonlah agar beliau dikurniakan kecekalan kerana beliau sekarang ini akan ditanya}”
Diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud dan dihukumkan sahih oleh al-Hakim.
Hadis Sahih. Kata Ibn Hajar di dalam al-Talkhies: Diriwayatkan oleh Abu Dawud, al-Hakim dan al-Bazzar yang turut menghukumkannya sahih dengan membuat ulasan “Ia tidak diriwayatkan daripada Nabi kecuali dengan jalan periwayatan ini”. Kata al-Hakim “Isnadnya sahih” dan dipersetujui oleh adz-Dzahabi.. Kata al-Imam an-Nawawi: “Isnadnya jayyid (baik). Kata asy-Syeikh Siddieq bin Hasan “diriwayatkan oleh Abu Dawud dan al-Bayhaqiy dengan isnad berderajat hasan”.

Oleh itu, Pohonkanlah kepada Allah agar ia (si mati) dikurniakan kecekalan ketika menjawab kedua malaikat dengan doa kalian:
“اللَّـهُـمَّ ثـَـبِّــتْـهُ بِـالْـقَـوْلِ الـثَّــابِـتِ”.
Hadis no:  481 pula:
وَ عَنْ ضَمْرَةَ بن حَبِيْب أَحَدِ التابعين قال:
"كانوا يَسْـتَـحِبُّونَ إذا سُوِّيَ على الميت قَـبْرُهُ و انصرف الناسُ عَنْه أن يُقال عِنْد قَـبْرِهِ :
يَا فُلانُ قُلْ: لا إله إلا الله ثَلاثَ مَرَّاتٍ ، يَا فلان قُلْ: رَبِّـيَ اللهُ ، وَ دِيْـنـِيْ الإسلامُ ، وَ نَبـِيِـي مُحَمَّدٌ "
رَوَاهُ سعيد بن منصور موقوفا ، و للطبراني نحوه من حديث أبي أمامة مرفوعا مُطوَّلا
Daripada Damrah bin Habieb seorang daripada golongan at-Tabi‘ien katanya meriwayatkan: “Apabila kubur si mati telah diratakan dan orang ramai mula beredar, lumrahnya mereka suka   untuk dilakukan dan diucapkan:
Wahai fulan, ucaplah: “لا إله إلا الله” tiga kali. Wahai fulan, katakanlah: Tuhanku adalah Allah dan agamaku adalah Islam dan Muhammad adalah nabiku.”
Diriwayatkan oleh Imam Sa‘ied bin Mansur secara mauquf dan di dalam periwayatan at-Tabarani juga serupa dengannya daripada hadis Abu Umamah secara marfu‘ dan dengan (lafaz kandungannya) yang panjang.

Kemudian asy-Syeikh al-Bassam menerangkan dengan terperinci berkenaan kedudukan hadis ini, berpandukan kesimpulan para pakar bidang hadis daripada ‘ulama’ terdahulu .
Kata beliau: Hadis Do‘ief (lemah yang disangsikan kebenarannya daripada Rasulullah mahupun Sahabat).
Diriwayatkan oleh at-Tabarani daripada Sa‘ied bin ‘Abdillah al-Azdi dan beliau (Sa‘ied) adalah seorang perawi majhul (tidak dikenali dan tidak diiktiraf sebagai seorang perawi hadis). Kata Imam an-Nawawi dan juga Imam al-‘Iraqi: Isnadnya do‘ief.

Kata Imam Ibnul Qayyim: Hadis yang tidak sahih dan yang kami simpulkan (selepas analisa dan perbandingan segala jalan periwayatannya dan kesimpulan-kesimpulan para ahli hadis) bahawasanya hadis ini maqtu‘ (tidak sah dinisbahkan kepada Sahabat atau dikatakan mauquf) dan permulaan sanadnya adalah Damrah bin Habieb dan beliau adalah seorang daripada golongan at-Tabi‘ien (yang tidak pernah bersemuka dengan Rasulullah namun pernah bertemu seseorang daripada para Sahabat).

Lalu beliau menyambung: al-Atsar (riwayat) yang ada pada (hadis) no: 481, maka ia seiras dengan hadis Abu Umamah berkenaan talqien iaitu:
“Sabda Rasulullah  :
" إذا مات أحد منكم، فسويتم التراب على قبره فليقم أحدكم على رأس قبره، ثم ليقل:
يَا فُلان بن فلانة اذكر ما كنت عليه في الدنيا من شهادة أن لا إله إلا الله و أن محمدا عبده و رسوله ، وأنك رضيت بالله ربا ، و بالإسلام دِيْـنـا ، وَ بـِمُحَمَّدٍ نبيا و بالقرآن إماما  "
Maksudnya: Apabila seseorang di antara kalian meninggal dunia dan kalian telah meratakan tanah pada kuburannya maka hendaknya seseorang di antara kalian berdiri di sisi kepala kuburnya lalu mengucapkan: Wahai fulan anak fulanah (anak bin kepada ibunya), ingatlah apa yang menjadi pegangan mu di dunia daripada penyaksian bahawasanya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad adalah hambaNya dan rasulNya dan bahawasanya engkau telah redha Allah sebagai Tuhanmu, Islam adalah agamamu, Muhammad selaku nabi  mu dan Al-Quran adalah imam mu”

Ketahuilah bahawasanya hadis ini tidak sahih hukum marfu‘nya kepada Nabi (tidak sah/tidak layak untuk disandarkan sebagai ajaran/sabda yang berasal daripada Nabi).
Ramai ulama telah menyatakan bahawa hadis ini do‘ief  .

Di antara para Ahli Hadis yang menghukumkannya lemah adalah pengarang kitab “Asna al-Matlab”, Imam Ibn as-Solah, Imam an-Nawawi, Imam al-‘Iraqi, Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani  dan Imam as-Son‘ani.  .

Kata al-Ats-ram: “Aku telah bertanya kepada Imam Ahmad bin Hambal   berkenaan perkara yang sebahagian orang lakukan sejurus selesai pengebumian jenazah iaitu berdirinya seseorang lelaki lalu mengucapkan: {Wahai fulan bin fulanah…} jawab Imam Ahmad: Aku tidak pernah menyaksikan seseorang pun (ahli ilmu) melakukannya kecuali orang-orang Syam ada melakukannya ketika wafatnya Abu al-Mughierah.”

Kata Imam Ibnul Qayyim   di dalam “al-Manar al-Munief” pula: “Sesungguhnya hadis at-Talqien ini adalah hadis yang tidak diragui lagi oleh pakar-pakar Hadis sebagai sebuah hadis maudu‘/palsu.”

Imam al-Hai-tsami   menjelaskan: “Di dalam isnad (rangkaian para perawi)nya terdapat segolongan perawi yang ramai yang tidak pernah aku kenali (tidak ada dalam senarai para perawi hadis yang dii‘tiraf oleh Ahli Hadis sejak zaman at-Tabi‘ien lagi).”

Kata Imam an-Nawawi : “Ia sebuah hadis do‘ief.”
Imam as-Son‘ani   menegaskan: “Hasil yang dapat disimpulkan daripada ulasan para Imam terkemuka dalam melakukan analisa ilmiyah adalah bahawasanya hadisnya do‘ief dan beramal dengannya adalah bid‘ah dan usahlah dihairankan dengan bilangan ramainya yang melakukannya.”

Oleh yang demikian, kesimpulannya yang diraih adalah atsar (riwayat) yang dikemukakan oleh penyusun kitab (al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani  )  ini adalah riwayat yang do‘ief/lemah dan tidak dapat dijadikan sandaran hujjah dan ia adalah seiras dengan hadis Abu Umamah daripada sudut maknanya dan sekedudukan dengannya di dalam derajat kelemahannya.

Itulah sebabnya Imam al-‘Iraqi   dan Imam an-Nawawi   menyatakan: Isnadnya do‘ief dan Ibnul Qayyim menegaskannya sebagai tidak sahih.

Seandainya seseorang yang menguruskan jenazah atau orang lain ingin memberi peringatan kepada yang hadir mengiringi jenazah, maka usahlah ia menyampaikan peringatan itu melalui talqien (ataupun apa jua cara yang tiada keterangannya bahawa ia dilakukan oleh Nabi   dan Sahabat pada ketika/sempena-sempena tertentu) walaupun maksud dan tujuannya baik sebab dikhuatiri akan menjerumuskan dirinya dalam perkara terlarang yang telah dijelaskan secara panjang lebar itu tadi. Sebaliknya, adalah baik untuk dilakukan penyampaian peringatan itu, sesuai dengan keterangan perkara 106 berikut, berupa nukilan daripada kitab asal. Namun, tidak pula ia lakukan secara tetap sebab tiada riwayat sedemikian (bahawa ia dilakukan secara tetap) maka ia lakukan sekali-sekala sahaja – Wallahu a‘lam]

106. Diharuskan untuk duduk di sisi kubur ketika berlangsungnya pengebumian dengan maksud mengingatkan yang hadir akan kematian dan apa yang berlaku selepasnya, berdasarkan hadis al-Bara’ bin ‘Azib   dan tiada salahnya jika diperingatkan sepanjang berlangsungnya pengebumian kerana terdapat padanya peringatan, ancaman dan nasihat. Kata beliau   meriwayatkan:
“Kami telah keluar bersama Nabi  mengiringi jenazah seorang Ansar, sehinggalah kami sampai di perkuburan. Setelah dibuatkan lahad, maka Rasulullah  pun duduk [menghadap kiblat], lalu kami pun ikut duduk di sekeliling baginda, seolah-olah ada burung bertenggek di atas kepala setiap di antara kami. Di tangan baginda ada sebatang ranting yang Rasulullah  tusukkan ke bumi. [Lalu baginda  mula melihat ke arah langit, kemudian ke arah bumi sehingga 3 kali lantas bersabda:
    استعيذوا بالله من عذاب القبر 
{Mintalah perlindungan dengan Allah dari azab kubur}
mengulanginya 2 atau 3 kali. [Kemudian baginda bersabda lagi:
    اَللَّـهـُمَّ إِنِّـي أَعُـوذُ بِـكَ مِـن عَـذَابِ الْـقَـبْـرِ 
{Ya Allah, aku berlindung dengan Mu daripada azab kubur}] [3 kali] kemudian baginda bersabda pula:
    إن العبد المؤمن إذا كان في انقطاع من الدنيا و اقبال من الآخرة ، نزل إليه ملائكة من السمآء ، بيض الوجوه كأن وجوههم الشمس ، معهم كفن من أكفان الجنة ، ...
{Sesungguhnya seorang hamba yang mukmin, ketika ia akan memutuskan hubungannya dengan (meninggalkan) dunia dan menghadap ke alam Akhirat, turunlah kepadanya malaikat-malaikat dari langit, wajah-wajah mereka putih berseri, seolah-olah wajah mereka adalah matahari, mereka membawa kafan dari kafan syurga dan wangi-wangian, sehinggalah mereka duduk sejauh mana yang dapat dijangkau penglihatan mukmin tadi. Kemudian Malaikat Maut   sehinggalah ia duduk di sisi kepala orang mukmin tersebut dan berkata: Wahai jiwa/nyawa/ruh yang baik (dalam riwayat lain: yang mutma –innah yakni tenang), keluarlah menuju pengampunan daripada Tuhanmu dan juga keredhaanNya. Maka ia pun keluar “mengalir” sepertimana mengalirnya titisan air daripada bucu muncung cerek/bekas minuman, lantas diambil olehnya (malaikat), (dalam riwayat lain: sehingga apabila ruh keluar sahaja, setiap malaikat yang berada di antara langit dan bumi melakukan solat (jenazah) ke atasnya dan begitu juga setiap malaikat di langit, lalu dibukakan untuknya pintu-pintu langit dan tidak ada satu pun daripada ahli pintu (langit) kecuali setiap di antara mereka, berdoa kepada Allah agar ruhnya (mukmin itu) diangkat naik melalui tempat mereka). Apabila mereka telah mengambilnya (ruh itu) mereka tidak melepaskannya daripada tangan mereka walau kadar waktu sekelip mata pun  sehinggalah mereka menyarungnya dengan kain kafan tersebut dan menyelubunginya dengan wangi-wangian itu tadi, [itulah (maksud) Firman Allah :

 ertinya: ia diwafatkan (diambil nyawanya) oleh utusan-utusan Kami dan mereka tidak pernah sambil lewa atau leka dalam menjalankan tugas mereka.
Maka keluarlah daripadanya bau wangi seperti hembusan misk/kasturi yang paling wangi di atas muka bumi. Mereka pun membawanya naik dan tiada dilaluinya segolongan malaikat pun kecuali mereka akan bertanya: Alangkah baiknya ruh siapakah ini? Lalu dijawab oleh mereka (para pengiring) Fulan bin Fulan – dengan nama/panggilan/gelaran yang terbaik yang pernah diberikan kepadanya di dunia, sehinggalah mereka sampai ke langit dunia bersamanya lantas diminta agar dibukakan pintunya maka pintu itu pun dibukakan untuk mereka. Maka malaikat-malaikat yang termulia daripada tingkatan langit tersebut akan turut mengiringinya sampai ke (tingkatan) langit yang kedua dan demikianlah sehingga akhirnya sampai ke langit yang ketujuh, lantas Allah  berfirman menitahkan: Catitkan kitab catitan hamba Ku ini di dalam ‘Illiyien,

ertinya: Tahukah engkau apakah ‘Illiyun itu? Ia adalah kitab yang menyimpan catitan yang disaksikan oleh para malaikat yang terdekat (tertinggi kedudukannya berdampingan dengan Allah).
Lalu dituliskan buku catitannya di dalam ‘Illiyien, kemudian dikatakan:] kembalikannya ke bumi kerana Aku [telah berjanji kepada mereka bahawasanya Aku] daripadanya (bumi/tanah) Aku ciptakan mereka dan kepadanya Aku mengembalikan mereka dan daripadanya Aku keluarkan mereka kali keduanya. Maka [ia pun dikembalikan ke bumi dan] dipulangkan ruhnya ke jasadnya, [ia pun mendengar bunyi jejak tapak kasut para pengiringnya ketika mereka semua beredar  meninggalkannya] [pulang], sejurus selepas itu, datanglah 2 malaikat [yang lantang suaranya] yang [berteriak kepadanya dan] mendudukkannya seraya bertanya: Siapa Tuhanmu? Maka ia menjawab: Tuhanku adalah Allah. Mereka bertanya lagi: Apa agama/cara hidupmu? Ia menjawab: Agamaku adalah Islam. Mereka tanya lagi: Siapakah lelaki yang dibangkitkan/diutuskan di kalangan kamu? Jawabnya: Beliau adalah Rasulullah . Ditanyainya lagi: Apa yang kamu kerjakan? Maka ia menjawab: Aku telah membaca Kitab Allah, aku beriman dengannya dan mempercayainya. Lalu diteriakkan kepadanya: Siapa Tuhanmu? Apa agama mu? Siapa nabimu? Dan itulah fitnah yang terakhir didatangkan kepada orang mukmin, iaitu ketika Allah   berfirman:

ertinya: Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat...
Maka ia mengatakan: Allah Tuhanku, Islam agamaku, Nabiku Muhammad , maka kedengaran seruan di langit menyeru: Benar kata hambaKu itu, maka dibentangkan baginya hamparan daripada syurga, dipakaikannya dengan pakaian syurga dan dibukakan untuknya satu pintu menghala ke syurga sehingga ia dapat mencium bau harumnya dan wangiannya serta diluaskan baginya kuburnya itu sejauh jangkauan penglihatannya. Setelah itu datang kepadanya [dalam riwayat lain: dijelmakan di hadapannya] seorang yang berparas rupawan, pakaiannya juga menawan dan baunya juga harum yang mengucapkan kepadanya: Bergembiralah dengan apa yang akan membahagiakan mu, [Bergembiralah dengan keredhaan daripada Allah dan syurga yang ada di dalamnya ni‘mat yang kekal], inilah hari yang dijanjikan kepada mu. Maka ia pun berkata: [Anda juga, semoga Allah menggembirakan anda dengan kebaikan] siapakah gerangan anda ini? Paras rupa awak menandakan petanda-petanda kebaikan. Maka pendatang itu pun menjawab: Aku adalah amalanmu yang salih [Sungguh demi Allah, aku tidak ketahui mengenai dirimu kecuali sebagai seorang yang bersegera mentaati Allah, sentiasa lewat untuk bermaksiat kepada Allah, maka Allah membalasmu dengan kebaikan]. Kemudian dibukakan baginya satu pintu daripada syurga dan satu pintu Neraka dan dikatakan kepadanya: Inilah tempatmu jika engkau menderhakai Allah dan Allah telah menggantikannya bagimu dengan yang ini (syurga). Sebaik sahaja ia melihat apa yang ada di dalam syurga, ia pun berkata, memohon: Tuhanku, segerakanlah berlakunya Kiamat agar segera aku kembali kepada keluargaku dan hartaku (di dalam syurga - penterjemah). Dikatakan kepadanya: Tinggallah (di dalamnya – penterjemah)
[Sabda baginda  seterusnya:]
    و العبد الكافر [وفي رواية الفاجر] اذا كان في انقطاع من الآخرة ، واقبال من الدنيا ، نزل اليه من السمآء ملآئكة [غلاظ شداد] سود الوجوه ، معهم المسوح [من النار]...
{..adapun seorang hamba yang kafir (dalam riwayat: jahat) ketika ia dalam keadaan akan berputus harapan daripada akhirat dan menghadap dunia (ingin kembali iaitu ketika nazak) turunlah kepadanya dari langit para malaikat (yang garang dan bengis lagi mengerikan) berwajah hitam legam, membawa kain (kafan) berbulu-bulu kasar dan tajam (dari neraka), sehinggalah mereka duduk (sedang si kafir melihat mereka) sejauh jangkauan penglihatannya.
Kemudian datanglah malaikat maut lalu ia duduk di sisi kepalanya dan berkata: Wahai jiwa/ruh yang keji, keluarlah kepada kemurkaan Allah dan kemarahanNya. Maka ia (ruh) berpecah-belah di dalam jasad hamba yang kafir itu, lalu ia direntap oleh malaikat maut sebagaimana duri (yang bercabang-cabang) ditarik keluar dari bulu-bulu (seperti bulu kambing) yang basah, (maka terputuslah urat-urat saraf dan otot-otot dengannya) maka setiap malaikat yang berada di antara langit dan bumi melaknatinya dan begitu juga setiap malaikat di langit. Tertutuplah pintu langit baginya dan tidak ada satu pun daripada malaikat ahli pintu (langit) kecuali setiap di antara mereka, berdoa kepada Allah agar ruhnya (kafir itu) tidak diangkat naik melalui tempat mereka). Apabila mereka telah mengambilnya (ruh itu) mereka tidak melepaskannya daripada tangan mereka walau kadar waktu sekelip mata pun  sehinggalah mereka menyarungnya dengan kain kafan busuk dan berduri tersebut, dan keluarlah daripadanya, bau yang teramat busuk yang ada di atas muka bumi ini lalu ia dibawa ke langit sedang tiada satu kumpulan malaikat kecuali pasti mereka akan mengatakan: Alangkah jijiknya, ruh siapakah ini? Mereka (penggiring) menjawab: Fulan bin Fulan – dengan nama/panggilan/gelaran yang terburuk yang pernah diberikan kepadanya sehinggalah mereka sampai ke langit dunia bersamanya dan dimintakan agar dibukakan untuknya, namun tiada satu pintu pun yang dibukakan untuknya} kemudian Rasulullah   membacakan Firman Allah:

ertinya: Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk di lubang jarum…
Maka Allah memerintahkan agar kitabnya dicatit di dalam as-Sijjin   dan di dasar bumi yang hina, [kembalikannya ke bumi kerana Aku telah berjanji kepada mereka bahawasanya Aku daripadanya (bumi/tanah) Aku ciptakan mereka dan kepadanya Aku mengembalikan mereka dan daripadanya Aku keluarkan mereka kali keduanya. Maka ruhnya pun dicampakkan [daripada langit sehingga ia jatuh ke jasadnya], kemudian baginda membacakan:

ertinya:  dan sesiapa yang mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Allah maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau dihumbankan oleh angin ke tempat yang jauh (yang membinasakan).
Maka dikembalikan ruhnya ke jasadnya [dan ia pun mendengar bunyi jejak tapak kasut para pengiringnya ketika mereka semua beredar  meninggalkannya] sejurus selepas itu, datanglah 2 malaikat [yang lantang suaranya] yang [berteriak kepadanya dan] mendudukkannya seraya bertanya: Siapa Tuhanmu? Maka ia menjawab: Ha? Ha? (kerana minta diulang dan ketakutan) Aku tidak tahu. Mereka bertanya lagi: Apa agama/cara hidupmu? Ia menjawab: Ha? Ha? (ketakutan) Aku tidak tahu. Mereka tanya lagi: Siapakah lelaki yang dibangkitkan/diutuskan di kalangan kamu? Maka ia pun tidak mendapatkan namanya. Maka dikatakan kepadanya: Muhammad!   Jawabnya: Ha? Ha? Aku tidak tahu [aku ada dengar orang kata si dia tulah! Maka dikatakan kepadanya: Engkau tidak ambil tahu dan aku pun tidak pernah membaca (al-Quran)]. Maka datang seruan daripada langit menyeru: Dia telah mendustakan. Maka dihamparkan untuknya alas daripada Neraka dan dibukakan untuknya pintu yang menghala ke Neraka sehingga ia merasakan kepanasannya dan kejijikan racun-racunnya dan dipersempitkan kuburnya sehingga berlaga semua rusuk-rusuknya serta datang kepadanya (dijelmakan untuknya) seorang yang amat buruk wajahnya, pakaiannya juga menjijikkan dan berbau busuk yang berkata kepadanya: Bergembiralah dengan apa yang akan memburukkan mu. Inilah hari yang dijanjikan kepada mu. Ia pun menyahut: [Engkau pun sama, Allah berikan berita buruk juga kepadamu] Siapa engkau ni? Wajah engkau wajah yang mengundang kecelakaan! Jawab jelmaan itu: Akulah amalan yang keji. [Sungguh demi Allah! Aku tidak kenal engkau kecuali sebagai seorang yang paling lewat mentaati Allah dan paling segera bermaksiat kepadaNya] [Maka Allah membalas mu dengan keburukan…di tangannya ada besi yang jika digunakan untuk memukul sebuah gunung akan hancurlahgunung itu merata. Maka ia dipukul dengannya sehingga ia hancur seperti tanah. Setelah itu Allah mengembalikan keadaannya seperti asalnya, lalu ia dipukul sekali lagi, sehingga ia terpekik terlolong-lolong dan setiap benda mendengarnya kecuali ats-Tsaqlain (jin dan manusia – penterjemah). Kemudian dibukakan untuknya satu pintu Neraka dan dibuaikan dalam hamparan Neraka] dan ia bermohon: Tuhanku, janganlah Kau tentukan berlakunya Kiamat.}”  

Perhatian:
[Penambahan penterjemah demi mengelakkan hujjah yang silap yang dipergunakan oleh sebahagian pihak, yang menggalakkan bacaan al-Quran di sisi kubur:
Kata al-Imam an-Nawawi: Kata asy-Syafi‘ie  (yakni al-Imam Muhammad bin Idries):
"و يستحب أن يقرأ عنده شيء من القرآن ، و إن ختموا القرآن عنده كان حسنا"
Ertinya: Adalah mustahab untuk membaca sebahagian daripada al-Quran (maksudnya beberapa ayat – penterjemah) di sisinya dan jika mereka mengkhatamkan al-Quran (dengan tilawah 30 juzuk - penterjemah) di sisinya adalah sesuatu yang baik.

Demikian kenyataan yang dinyatakan oleh al-Imam an-Nawawi   dengan mengungkapkannya sebagai satu nukilan daripada al-Imam Muhammad bin Idries asy-Syafi‘ie  di dalam kitab beliau yang masyhur: Riyad as-Salihin; Bab 161: “Doa buat si mati selepas dikebumikan dan duduk di sisi kuburnya sejenak untuk mendoakannya dan memohonkan ampunan untuknya serta pembacaan ayat suci”:
“باب الدعاء للميت بعد دفنه و القعود عند قبره ساعة للدعاء له و الإستغفار و القراءة”
Selepas beliau mengemukakan hadis‘Amr bin al-‘As . no: 947 riwayat Muslim.
Kata asy-Syeikh Syu‘aib al-Arnaut yang menganalisa Riyad as-Salihin:
“في المجموع: 5/294 هو قول الأصحاب لا قول الشافعي”
Ertinya: “Di dalam (kitab) al-Majmu‘: 5/294 ini adalah pendapat pendokong Madzhab (asy-Syafi‘iyah) bukannya pendapat al-Imam asy-Syafi‘ie sendiri”.

Asy-Syeikh Saliem bin ‘Ied al-Hilaly telah menjelaskan dengan lebih luas di dalam kitab beliau: “Bahjat an-Nazirien Syarh Riyad as-Salihin”: 2/191: Ini adalah pendapat Ashab asy-Syafi‘ie, sungguh pengarang (an-Nawawi)   telah menyatakan di dalam al-Majmu‘: 5/294:
“al-Ashab telah bersepakat (dalam berpendapat demikian), kata mereka: “Adalah mustahab agar dibaca bagi pihaknya (si mati) sesuatu daripada al-Quran dan jika mereka mengkhatam al-Quran maka adalah lebih utama lagi”
“و اتفق عليه الأصحاب و قالوا: و يستحب أن يقرأ عنه شيء من القرآن و إن ختموا القرآن كان أفضل”
Dengan ini, menjadi jelas bahawa menisbahkan kata-kata atau pendapat ini kepada diri peribadi al-Imam asy-Syafi‘ie adalah sesuatu yang nyata meragukan, mentelah lagi, Madzhab (pendapat/pegangan) beliau yang menegaskan: Hadiah pahala yang dihadiahkan kepada si mati tidak akan sampai (kepada si mati) sebagaimana yang dinyatakan dengan tegas oleh al-Hafiz Ibn Katsier dalam (kitab) Tafsier al-Qur’an al-‘Aziem ketika (menjelaskan) Firman Allah Ta‘ala:

Ertinya: Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan  apa yang telah diusahakannya…        (Surah an-Najm: 53:39)

Inilah (hadiah pahala bacaan al-Quran kepada si mati tidak akan sampai kepadanya) yang tepat yang menjadi pegangan dan pendapat kebanyakan ‘ulama sebagaimana yang ditukil oleh az-Zabidi di dalam (kitab) “Ithaf as-Sadat al-Muttaqien”: 10/369 daripada Ibn al-Qattan. Maka (perbuatan an-Nawawi) menisbahkan kata-kata ini kepada al-Imam asy-Syafi‘ie adalah suatu kesilapan peribadi pengarang (an-Nawawi) .

Demikian penjelasan asy-Syeikh Saliem, tambahan pula, al-Imam an-Nawawi sendiri  , di dalam Syarh Sahih Muslim; Kitab al-Iman, Bab 54: Bab Kaun al-Islam yahdimu ma qablahu wa kadza al-Hijrah wa al-Hajj; hadis 192 (121) ketika menjelaskan frasa ini (hadis yang sama dalam Riyad as-Salihin no: 947:
“فشنوا علي التراب” beliau menjelaskan:
"استحباب صب التراب في القبر، و أنه لا يقعد على القبر بخلاف ما يفعل في بعض البلاد...استحباب المكث عند القبر بعد الدفن لحظة نحو ما ذكر لما ذكر"
“Adalah mustahab menaburkan tanah ke dalam kubur, begitu juga agar jangan ia duduk di atas kubur berbeza dengan apa yang dilakukan di sebahagian negeri (umat Islam)…Mustahab untuk ia tetap berdiam (tunggu) di sisi kubur selepas selesai pengebumian buat seketika sepertimana yang disebutkan (anggaran waktu menyembelih unta dan selesai membahagikan dagingnya) kerana apa yang beliau (‘Amr bin al-‘As ) sebutkan.”
Al-Imam an-Nawawi  tidak menyebutkan tentang bacaan al-Quran dan anggaran masa yang disebutkan juga tentunya tidak memadai untuk mengkhatamkan pembacaan al-Quran 30 juzuk.

Adapun mengenai pendapat peribadi al-Imam asy-Syafi‘ie , maka al-Imam al-Baihaqiy  telah mengemukakan di dalam kitab “Manaqib asy-Syafi‘ie ”; jilid 1/430 – Bab “ما يؤثر عنه فيما يلحق الميت من فعل غيره” – ertinya: “Apa yang diterima riwayatnya daripada beliau (asy-Syafi‘ie ) berkenaan apa yang sampai kepada si mati daripada (amalan) perbuatan orang lain”, setelah beliau menyebutkan sanadnya yang sampai kepada al-Imam ar-Rabie‘ (bin Sulaiman – penterjemah) katanya: asy-Syafi‘ie telah berkata:
"و يلحق الميت من فعل غيره و عمله ثلاث: حج يؤدى عنه و مال يتصدق به عنه أو يقضى، و دعاء"
Ertinya: “Sampai kepada si mati daripada perbuatan orang lain dan amalannya 3 perkara: Haji yang ditunaikan bagi pihaknya, harta yang disedeqahkan bagi pihaknya ataupun yang dilunaskan dengannya hutangnya serta doa”

Kemudian al-Imam al-Baihaqiy  memperincikan dalil-dalilnya.

Kesimpulannya, jelas bahawa bukannya daripada amalan as-Sunnah untuk membaca al-Quran untuk dihadiahkan pahalanya kepada si mati secara umumnya, apatah lagi untuk melakukan demikian di sisi kubur dan di antara ‘ulama yang berpendapat pahala bacaan yang dihadiahkan tidak akan sampai kepada si mati dan dikhuatiri menjadi perbuatan sia-sia adalah al-Imam asy-Syafi‘ie sendiri  .]

107. Diharuskan untuk mengeluarkan mayat dari kuburnya kerana maksud/tujuan yang betul, seumpama jika ia telah dikebumikan sebelum dimandikan dan dikafankan dan yang seperti itu. Ini berpandukan hadis Jabir bin ‘Abdillah katanya:
“Rasulullah telah pergi ke kubur ‘Abdullah bin Ubaiy setelah ia dimasukkan ke lubang kuburnya, lalu memerintahkan agar mayatnya dikeluarkan, lalu baginda meletakkannya di kedua lutut baginda, menyemburnya dengan air ludah baginda lalu memakaikannnya dari pakaian baginda [serta baginda solatkannya], maka (Wallahu a’lam) hanya Allah yang Maha Mengetahui   [dan baginda menyelubungkan ‘Abbas dengan baju]  

108. Tidak digalakkan kepada seseorang untuk menggali kuburnya sendiri sebelum saat kematiannya, sebab Nabi  tidak pernah melakukan demikian dan tidak pula para Sahabat . Mentelah lagi, seseorang itu tidak tahu di mana ia akan menghembuskan nafasnya yang terakhir. Namun jika maksudnya adalah semata-mata untuk mengingati mati dan mempersiapkan diri untuk menghadapinya, maka ini boleh dirangkumkan dalam amalan salih. Demikianlah yang disebutkan di dalam “al-Ikhtiyarat al-‘Ilmiyah” karangan Syeikhul Islam Ibn Taimiyah .

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts