Sunday, July 26, 2015

17. Mengucapkan at-Ta‘ziyah (condolence) atau berta'ziyah

109. Disyari‘atkan agar berta‘ziyah kepada keluarga si mati[1],  mengenainya ada 2 hadis:
Pertama: Daripada Qurrah al-Muzaniy  yang meriwayatkan:
“Biasanya Nabi   jika sedang duduk-duduk, maka akan duduklah bersama baginda segolongan daripada Sahabat baginda dan di antara mereka ada seorang lelaki yang mempunyai seorang anak kecil, yang datang kepadanya dari belakangnya, lalu beliau dudukkannya (anaknya itu) di hadapan beliau. [Maka Nabi bersabda kepadanya: {Anda sayangkannya?} Maka jawabnya: Ya, Rasulullah. Semoga Allah menyayangi mu, sebagaimana aku menyayanginya!]. Kemudian anaknya itu meninggal dunia dan lelaki tersebut pun tidak datang lagi ke halaqah (majlis duduk-duduknya Nabi bersama para Sahabat), kerana ingatannya terhadap anaknya itu dan terlalu sedih.
Apabila Nabi  sedar akan ketiadaannya, baginda bersabda: {Mengapakah aku tidak nampak si Fulan?} Jawab para Sahabat: Anaknya yang anda lihat kelmarin telah meninggal dunia.
Lantas Nabi  pun pergi menemui lelaki tersebut dan bertanya tentang anaknya dan beliau mengkhabarkan bahawa anaknya itu telah meninggal dunia. Nabi pun berta‘ziyah kepadanya kemudian bersabda: {Wahai Fulan, mana satukah yang lebih anda sukai: kamu mengecapi nikmat bersamanya sepanjang umurmu atau kelak di Akhirat, tiada satu pintu pun dari pintu syurga, kecuali kamu pasti mendapatinya telah mendahului mu untuk membukakannya untuk mu?} Jawab beliau: Wahai Nabi Allah! Tentunya jika ia mendahului ku untuk membukakannya untuk ku, itulah yang lebih aku sukai. Sabda baginda: {Maka itulah yang akan anda dapat}

Seorang lelaki [golongan Ansar] bertanya: Wahai Rasulullah [Allah jadikan aku ini tebusan mu], apakah ia khusus buat dirinya atau untuk setiap di antara kami? Jawab baginda: {Bahkan untuk setiap di antara kalian}. [2]




Kedua: Daripada Anas bin Malik  daripada Nabi   yang telah bersabda:
    من عَزَّى أخاه المؤمن في مصيبة كساه الله حُلّة خضراء يُحْبَر بها يوم القيامة  
قيل: يا رسول الله ما يحبر؟ قال:   يُغْبَط  
“Barangsiapa yang berta‘ziyah kepada saudaranya yang beriman, Allah akan memakaikannya pakaian berwarna hijau yang pasti menggembirakannya pada Hari Kiamat.”[3] 

110. Hendaklah ia berta‘ziyah dengan apa yang difikirkannya akan menyejukkan perasaan dan menenangkan saudaranya, menyekat kesedihannya serta menjadikannya redha dan sabar, yakni dengan apa yang tsabit jelas daripada baginda , jika ia mengetahuinya dan mampu mengingatinya. Jika tidak, maka dengan apa sahaja ucapan yang baik yang dapat mencapai maksud yang disebutkan tadi, tanpa mengucapkan sesuatu yang bercanggah dengan Syara‘ (Syari‘at) seperti kata-kata mereka: “Allah berikan umurnya (si mati) kepada mu!”  Mengenainya ada beberapa hadis:

Pertama: Daripada Usamah bin Zaid  yang meriwayatkan:
“Saya telah diutuskan oleh salah seorang dari anak-anak perempuan Rasulullah  untuk memberitahu baginda: bahawasanya anaknya yang masih bayi, lelaki atau perempuan, (di dalam riwayat lain: Umiemah binti Zainab) [4] , berada di ambang maut, maka kami pun menyaksikannya[5] . Sabda baginda: {Pergilah sampaikan kepadanya salam ku dan katakan:
     إِنَّ لِـلَّـهِ مَـا أَخَـذَ ، و [ لِـلَّـهِ ] مـَا أَعْـطىَ   وَ كُلُّ شَـيْءٍ عِـنْـدَهُ  إِلَى أَجَـلٍ مُـسَـمَّـى فَـلْـتَـصْـبِـرْ ، وَ لْـتَـحْــتَــسِـبْ  
“Sesungguhnya milik Allah apa yang telah Dia ambil dan [milik Allah juga] apa yang Dia telah kurniakan dan setiap perkara di sisiNya ada ajal yang telah ditentukan. Maka bersabarlah dan harapkanlah ganjaran (daripada Allah)}.”[6]

(Sambung asy-Syeikh:) Lafaz ta‘ziyah ini, walaupun ia disebutkan oleh baginda untuk orang yang di ambang maut, namun berta‘ziyah dengannya (lafaz ini), untuk orang yang telah meninggal dunia, adalah lebih utama dengan berpandukan maksud nas/hadis ini. Sebab itulah al-Imam an-Nawawi  menyatakan di dalam al-Adzkar dan kitab lain:
“Hadis ini adalah lafaz ta‘ziyah yang terbaik dalam mengucapkan ta‘ziyah.”

Kedua: Ucapan Nabi  yang diucapkan kepada seorang wanita golongan Ansar, yang kematian anaknya:
     أما إنه بلغني أنك جزعت على ابنك    ، فأمرها بتقوى الله و بالصبر  ،
فقالت : يا رسول الله [ ما لي لا أجزع و ] إني امرأة رقوب لا ألد ، و لم يكن لي غيره ؟ فقال رسول الله  :
   الرقوب : الذي يبقى ولدها  
ثم قال :  ما من امرئ أو امرأة مسلمة يموت لها ثلاثة أولاد [ يحتسبهم ] ، إلا أدخله الله بهم الجنة  
فقال عمر [و هو عن يمين النبي  ]: بأبي أنت و أمي و اثنين ؟
قال:  و اثنين 
“{Saya diberitahu bahawa anda terlalu sedih di atas kematian anak lelaki mu}, maka baginda menasihatkan beliau agar bertaqwa kepada Allah dan bersabar.

Kata beliau: Ya Rasulallah! [Bagaimana mungkin saya tidak terlalu sedih padahal] saya ini adalah seorang wanita yang ruqub (sudah tidak mampu beranak lagi) dan saya tidak punya anak selain dia? Maka baginda bersabda kepadanya: {ar-Ruqub adalah orang yang masih ada anak}. Kemudian baginda bersabda lagi: {Tiada seorang lelaki atau wanita yang kematian 3 orang anak [ia bersabar dengan mengharapkan ganjaran] pasti akan Allah masukkannya ke dalam Syurga dengan sebab mereka}. Kata ‘Umar  [sedang beliau berada di kanan Nabi ] Demi bapaku dan ibuku yang aku jadikan tebusan untukmu (kalau cuma) dua orang anak? Jawab baginda: {Dan dua orang anak (juga)}.” [7]

Ketiga: Sabda baginda  ketika baginda masuk ke rumah Ummu Salamah  sejurus selepas kewafatan Abu Salamah:
 اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِأَبي سلمة ،  وَ ارْفَعْ دَرَجَتَهُ فِي الْمَهْدِيِين ،  وَ اخْلُفْهُ في عَقِبِهِ فِي الْغَابِرِيْن وَ اغْفِرْ لَنَا وَ لَهُ يَا رَبَّ الْعَالَمِين ، وَ افْسَحْ لَهُ فِي قَبْرِهِ ، وَ َنوِّرْ لَهُ فِيِه 
“Ya Allah ampunkanlah Abu Salamah, tinggikanlah derajatnya di kalangan mereka yang diberi petunjuk, dan peliharalah (sebagai penggantinya) zuriat-zuriatnya dari mereka yang ditinggalkan, ampunilah kami dan dirinya wahai Tuhan Pentadbir seluruh alam, luaskanlah kuburnya baginya dan terangilah beliau dengan cahaya di dalamnya.” [8]
Sebagaimana yang telah disebutkan dengan sepenuhnya di dalam perkara (17).

Keempat: Sabda baginda  ketika berta’ziyah kepada ‘Abdullah bin Ja‘far  atas kewafatan bapanya [9]:
 اَللَّـهُمَّ اخْـلُفْ جَعْفَراً فِي أَهْـلـِهِ ، وَ بَـارِكْ لِـعَبْدِ اللهِ فِي صَـفْـقَـةِ يَـمِـيْـنِـهِ 
(قـالها ثلاث مرات) 
“Ya Allah peliharalah sebagai pengganti Ja‘far akan ahli keluarganya dan berkatilah buat ‘Abdullah apa yang di dalam genggaman tangan kanannya (yakni segala tanggungan dan usahanya).” (Baginda mengulanginya 3 kali).” [10]

Akan disebutkan dengan sepenuhnya di dalam perkara selanjutnya.

111. Tidak dihadkan tempoh ta‘ziyah selama 3 hari sahaja atau tidak boleh lebih dari itu [11], malah bila masa sahaja yang dipandang ada faedahnya untuk mengucapkan takziah, maka ia diucapkan. Telah tsabit dari perbuatan baginda  bahawa baginda mengucapkan ta‘ziyah selepas 3 hari di dalam hadis ‘Abdillah bin Ja’far  katanya meriwayatkan: “Rasulullah  telah mengutuskan satu bala tentera dengan melantik Zaid bin al-Haritsah sebagai ketua mereka dan Rasulullah  bersabda: (maksudnya:) {Jika Zaid terbunuh atau gugur syahied, maka panglima kamu setelah itu adalah Ja‘far dan jika Ja‘far terbunuh atau gugur syahied, maka ‘Abdullah bin Rawahah akan menggantikannya}. Maka mereka pun bertempur dengan musuh dan Zaid yang memegang panji-panji, sambil beliau berperang sehinggalah beliau gugur syahied. Kemudian Ja‘far pula yang mengambil alih panji-panji dan beliau berperang sampai akhirnya beliau juga gugur syahied. Lalu ‘Abdullah pula yang mengambilnya dan beliau juga berperang sehingga akhirnya beliau gugur syahied. Akhirnya panji-panji diambil oleh Khalid bin al-Walied, maka Allah membukakan pintu kemenangan untuknya.

Peristiwa tersebut disampaikan kepada Nabi , maka baginda pun keluar mendapatkan para Sahabat, memuji Allah dan mengagungkanNya lalu bersabda:
(maksudnya:) {Sesungguhnya saudara-saudara kalian bertempur menghadap musuh, maka Zaid yang memegang panji-panji dan berperang sehinggalah beliau gugur syahied, kemudian…kemudian…kemudian yang mengambil panji-panji itu Saif (pedang) dari Suyuf Allah (pedang-pedang Allah) Khalid bin al-Walied, lalu Allah mengurniakan kemenangan kepadanya}.

Setelah itu baginda menangguhkan, kemudian baginda tangguhkan lagi ziarah baginda ke keluarga Ja‘far sampai tiga hari dan akhirnya menziarahi mereka, lantas bersabda:
{Jangan kalian tangisi saudara ku (Ja‘far adalah sepupu baginda – penterjemah) lagi selepas hari ini, panggilkanlah kedua anak saudaraku untukku}. Maka kami pun didatangkan menemui baginda dan kami ketika itu amat sedih. Sabda baginda lagi: {Panggilkanlah tukang gunting untukku}. Lalu si tukang gunting pun datang dan rambut kami dicukur lalu baginda bersabda: Adapun Muhammad, maka ia mirip pakcik kami Abu Talib, manakala ‘Abdullah pula, maka ia mirip perawakan dan perwatakan ku}.
Kemudian baginda memegang kedua tanganku dan mengangkatnya lalu bersabda:
 اَللَّهُمَّ اخْلُفْ جَعْفَراً فِي أَهْلِهِ ، وَ بَارِكْ لِعَبْدِ اللهِ فِي صَفْقَةِ يَمِيْنِهِ (قالها ثلاث مرات) 
“Ya Allah peliharalah sebagai pengganti Ja‘far akan ahli keluarganya dan berkatilah buat ‘Abdullah apa yang di dalam genggaman tangan kanannya (yakni segala tanggungan dan usahanya).” (Baginda mengulanginya 3 kali).”
Kemudian ibu kami datang, lalu menyebutkan keadaan kami yang telah menjadi yatim, lantas beliau menjadi terlalu sedih kerananya, maka sabda baginda:
{Anak-anak (yang hilang tempat bergantung) yang anda khuatiri, padahal aku adalah wali (pembela) mereka di dunia dan Akhirat?}.”[12]

112. Hendaklah dijauhi 2 perkara walaupun manusia melakukannya, sebahagian mereka menuruti sebahagian yang lain:

a) Berkumpul untuk mengucapkan ta‘ziyah di tempat yang tertentu, seperti di rumah atau di perkuburan ataupun di masjid.
b) Keluarga si mati menyiapkan makan kepada para tetamu yang datang untuk berta‘ziyah.

Yang demikian itu adalah berpandukan kepada hadis Jarier bin ‘Abdillah al-Bajaliy katanya:
“Kami dahulu (pada zaman Nabi  lagi) menganggap (dalam riwayat lain: melihat/berpendapat) berkumpul ke rumah keluarga si mati, menyediakan makan selepas pengebumiannya adalah dari perbuatan an-Niyahah [13]

Kata Imam an-Nawawi di dalam al-Majmu‘ (5/306): “Adapun perbuatan duduk-duduk (dalam satu majlis) untuk berta‘ziyah, maka al-Imam asy-Syafi‘ie dan juga penulis (asy-Syierazi) serta para pengikut (Imam-imam mazhab asy-Syafi‘iyah) telah naskan (menyatakan) bahawa ia dibenci.
Kata mereka: maksud duduk untuk tujuan itu ialah berkumpulnya kerabat si mati di rumah tertentu maka setiap orang yang ingin berta‘ziyah akan pergi ke rumah tersebut.
Kata mereka lagi: Bahkan yang selayaknya ialah mereka pergi menunaikan keperluan (harian) masing-masing dan meninggalkan duduk berkumpul seperti itu, maka sesiapa yang kebetulan bertemu dengan mereka, mengucapkan ta‘ziyah kepada mereka. Tiada bezanya dibenci di dalam hal duduk berkumpul untuk ini, samada bagi kaum lelaki atau wanita.”

Manakala nas al-Imam asy-Syafi‘ie yang dimaksudkan oleh Imam an-Nawawi ialah yang terdapat dalam Kitab al-Umm (1/248):
 "و أكرهُ المآتَم ، و هي الجماعةُ ، و إن لم يكن لهم بكاءٌ ، فإنَّ ذلك يُجَدِّدُ الْحزن ، 
و يُكَلِّفُ الْمُؤْنَة ، مَعَ مَا مَضَى فِيْهِ مِن الأَثَرِ "
“Dan aku benci/tidak suka al-Ma-atam, iaitu berkumpul/beramai-ramai, walaupun tidak ada pada mereka tangisan, sebab, itu akan hanya memperbaharui kesedihan mereka, memberatkan urusan (membebankan), ditambah (dikuatkan lagi) dengan apa yang telah disebutkan dari atsar (riwayat) yang ada berkenaan hal ini.”

Kemungkinan besar yang beliau maksudkan adalah hadis Jarier tadi dan kata Imam an-Nawawi:
“Dan penulis beristidlal (menggunakan sebagai dalil dalam berhujjah/menghukum) mahupun (para imam) lainnya dengan bukti yang lain juga iaitu ia adalah suatu perkara rekaan baru”

Demikian juga yang dinaskan oleh Imam Ibnul Humam di dalam Syarh al-Hidayah (1/473) mengenai perkara, dibencinya perbuatan para tetamu disajikan makan oleh keluarga si mati dan kata beliau: “Ia adalah bid‘ah yang sangat buruk”.
Inilah juga pendapat mazhab al-Hanabilah sebagaimana di dalam kitab “al-Insaf” (2/565).

113. Sebaliknya yang menurut as-Sunnah ialah kerabat keluarga si mati dan jiran tetangganya menyediakan makan buat keluarga si mati [14], kadar yang dapat mengenyangkan mereka. Ini berdasarkan hadits ‘Abdillah bin Ja’far  yang meriwayatkan:
“Sewaktu berita kewafatan Ja’far yang terbunuh (gugur syahied), sampai kepada Nabi , baginda bersabda:
 اصْنَعُوا لآل جَعْفر طَعاما ، فقد أَتاهم أمرٌ يَشْغَلهم ، أو أتاهم ما يشغلهم  
“Buatkanlah/sediakanlah makanan untuk ahli keluarga Ja’far, sebab mereka telah didatangi suatu perkara yang menjadi tumpuan mereka (yakni kesedihan) atau mereka telah didatangi sesuatu yang memenuhi masa mereka (dari urusan lainnya)[15].”

Kata al-Imam asy-Syafi‘ie di dalam al-Umm (1/247):
"و أحب لجيران  الميت أو ذي القرابة أن يعملوا لأهل الميت في يوم يموت  و ليلته طعاما يشبعهم ،
فإن ذلك سنة ، و ذكر كريم ، و هو من فعل أهل الخير قبلنا و بعدنا "
“Dan aku suka bagi jiran kepada si mati atau kerabatnya, menyediakan makan untuk keluarga si mati pada siang hari kematiannya dan malamnya, kadar yang mengenyangkan mereka, sebab itu adalah Sunnah dan ingatan orang yang mulia dan pemurah dan ia adalah perbuatan orang-orang yang baik sejak zaman sebelum zaman kita mahupun selepas zaman kita.”
Kemudian beliau menyebutkan hadits tersebut dari periwayatan ‘Abdillah bin Ja‘far.

114. Disunnatkan juga perbuatan mengusap kepala anak yatim dan perbuatan memuliakannya (berlaku baik dan menyenangkannya), menurut panduan hadits ‘Abdillah bin Ja ‘far katanya:
“Seandainya anda melihat diriku, Qutsam[16] dan ‘Ubaidillah bin ‘Abbas sewaktu kami masih kanak-kanak sedang kami bermain, jika Nabi  berjalan lalu dengan mengenderai haiwan tunggangan baginda, baginda akan bersabda: {Angkatkan anak ini untuk ku}, lalu baginda meletakkan aku di hadapan baginda, kemudian baginda katakan untuk Qutsam pula, {angkatkan anak ini untuk ku} lantas baginda meletakkannya di belakang baginda dan adalah ‘Ubaidillah itu lebih disayangi oleh ‘Abbas dari Qutsam, namun tiadalah baginda merasa segan dengan pakciknya (‘Abbas) dengan perbuatan baginda membawa Qutsam dan meninggalkan ‘Ubaidillah. Kemudian baginda mengusap kepalaku tiga kali dan pada setiap usapan baginda bersabda (berdoa):
، اَللَّهُمَّ اخْلُفْ جَعْفَراً فِي وَلَدِهِ 
{Ya Allah peliharalah sebagai pengganti Ja‘far akan anaknya}.
(Tanya perawi kepada ‘Abdullah:) Apa yang dilakukan oleh Qutsam? Jawab Abdullah: Beliau gugur syahied. (Kata perawi: Allah yang Maha Mengetahui dan rasulNya lebih mengetahui tentang yang baik) jawab beliau: Benar.”















[1] Maksud at-Ta‘ziyah (Ucapan Takziah) di sisi Syara‘ adalah mengingatkan agar bersabar dalam menanggung ujian dengan janji Allah bahawa ia akan mendapat ganjaran kesabarannya; serta mendoakan buat si mati dan mereka yang ditimpa ujian, kematian orang yang disayanginya itu ataupun orang yang mendapat ujian lainnya. Adapun maksud disyari‘atkan ialah ia ada diperintahkan oleh Allah dan ar-Rasul dengan dalil yang dapat diterima untuk diamalkan – penterjemah.
[2] Riwayat an-Nasa-i (1/296) dan lafaz ini menurut periwayatan beliau, Ibn Hibban di kitab Sahih beliau, al-Hakim (1/384) dan Ahmad (5/35). Kata al-Hakim: Isnadnya Sahih dan dipersetujui oleh adz-Dzahabi. Kata asy-Syeikh: Demikian kedudukannya yakni sebagaimana yang mereka berdua hukumkan. Diriwayatkan juga oleh an-Nasa-i (1/264) dan al-Baihaqiy (as-Sunan: 4/59 dan 60) dan di dalam (al-Adab: hlm. 438-439 salinan manuscript). Ada riwayat sokongan (syahid) bagi hadis ini di dalam (al-Majma‘: 3/10)
[3] Riwayat al-Khatieb (Tariekh Baghdad: 7/397), Ibn ‘Asakir (Tariekh Dimasyqi: 15/91/1) dan Ibn ‘Adiy (al-Kamil: 4/1572). Ada riwayat sokongan baginya (syahid) daripada periwayatan Talhah bin ‘Ubaydillah bin Kurayz secara Maqtu – riwayat Ibn Abie Syaibah (al-Musannaf: 4/164) dan ia adalah sebuah hadis yang berderajat Hasan dengan kedua-dua jalan periwayatannya sebagaimana yang asy-Syeikh jelaskan (al-Irwa’: no: 764. Kata asy-Syeikh: Ketahuilah bahawa menjadikan hadis ini, terutamanya dengan jalan periwayatannya yang pertama adalah lebih utama dalam mengamalkan at-Ta‘ziyah daripada bersandarkan kepada hadis: (ertinya) Barangsiapa yang mengucapkan ta‘ziyah kepada orang yang ditimpa musibah, maka baginya pahala (kesabaran) setimpal dengan orang yang dilanda musibah tersebut,  sebab hadis tersebut lemah dengan segala jalan periwayatannya seperti yang ditegaskan oleh an-Nawawi (al-Majmu‘: 5/305) dan Ibn Hajar (at-Talkhies: 5/251) – al-Irwa’: no: 765.     
[4] Kata asy-Syeikh al-Albaniy: Umiemah (dikenali juga sebagai Umamah – cucu Rasulullah) ini dipanjangkan umurnya selepas peristiwa ini sehingga akhirnya beliau dinikahi oleh ‘Aliy, selepas kewafatan Fatimah binti Rasulillah – semoga Allah meredhai mereka kesemuanya.   
[5] Mengucapkan kalimah syahadah untuknya.
[6] Riwayat al-Bukhariy (3/120-122), Muslim (3/39), Abu Dawud (2/58), an-Nasa-i (1/263), Ibn Majah (481), al-Bayhaqiy (4/65, 68, 69) dan Ahmad (5/204, 206, 207)   
[7] Riwayat al-Bazzar (857), al-Hakim: 1/384) dan kata beliau: “Isnadnya Sahih dan ia dipersetujui oleh adz-Dzahabi. Kata asy-Syeikh: Bahkan sebenarnya ia menurut syarat Imam Muslim sebab kesemua perawinya adalah perawi periwayatan Muslim, tetapi ada seorang perawi yang lemah daripada sudut hafazannya namun kedudukan periwayatan beliau masih sekurang-kurangnya berderajat Hasan. Hadis ini dikeluarkan juga oleh al-Haitsamiy dalam al-Majma‘ (3/8) dan kata beliau: “Para perawinya para perawi periwayatan yang Sahih”      
[8] Sila rujuk perkara ke-17.     
[9] Pada lafaz bergarisbawah terputus yang pertama, sebut nama si mati sebagai gantinya dan yang kedua pula, ditukarkan dengan nama anak/warisnya.
[10] Riwayat Ahmad yang akan disebutkan lafaznya dengan sempurna di dalam hadis berikutnya. Selain ini, ada hadis-hadis yang menyebutkan lafaz ta‘ziyah sekian-sekian dan saya telah menyebutkan sepanjang satu halaman untuk diketahui hadis-hadis tersebut adalah hadis-hadis lemah (yang tidak selayaknya diamalkan - penterjemah) dan saya telah menjelaskannya dalam (kitab) at-Ta‘lieqat al-Jiyad dan di antaranya adalah hadis surat kiriman Nabi kepada Mu‘adz bin Jabal yang kononnya mengandungi lafaz ta‘ziyah sempena kematian anak Mu‘adz. Padahal ia adalah sebuah riwayat/hadis maudu‘/palsu sebagaimana yang telah dijelaskan oleh adz-Dzahabi, al-‘Asqalaniy dan lainnya, sementara asy-Syaukani telah tersilap, begitu juga Siddieq Khan yang menghukumkannya Hasan kerana mengikuti hukum al-Hakim. Justeru itu, usah anda jadi keliru. (Cukuplah beramal dengan yang jelas benar daripada Nabi kerana itulah yang pasti terbaik -penterjemah)    
[11] Adapun hadis: “لا عزاء فوق ثلاث” ertinya: “Tiada ta‘ziyah lebih daripada 3 hari” yang menjadi buah mulut orang kebanyakan, maka ia tiada asalnya (hadis palsu). Sebahagian ‘ulama yang merupakan para murid setia kepada Imam Ahmad berpendapat sama seperti yang kami jelaskan iaitu tidak dihadkan 3 hari untuk ucapkan Ta‘ziyah sebagaimana dalam “al-Insaf”: 2/564 dan ia adalah salah satu wajhun dalam Madzhab asy-Syafi‘iyah (al-Majmu‘: 5/306) – daripada kitab asal hlm. 209-210 dengan ringkasan – penterjemah.
[12] Riwayat Ahmad (no: 1750), dengan Isnad Sahih menurut syarat Muslim dan daripada jalan periwayatan beliau ini, al-Hakim meriwayatkan (3/297) sebahagian daripadanya dan ia turut diriwayatkan oleh Abu Dawud dan an-Nasa-i bahagian kisah baginda melewatkan ziarah dan juga mencukur rambut anak-anak Ja‘far dan sebahagiannya telah disebutkan pada perkara ke-18. Kata al-Hakim: “Isnadnya Sahih” dan ini dipersetujui oleh adz-Dzahabi.     
[13] An-Niyahah adalah perbuatan meratapi kematian seperti adat Jahiliyah yang dilarang keras oleh Nabi. Hadits Jarier ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad (no:6905), Imam Ibn Majah (1/490) dan ada riwayat lain di sisi beliau dengan sanad yang sahih menurut syarat kedua asy-Syeikhain (al-Bukhariy dan Muslim), dihukumkan sahih oleh Imam an-Nawawi (5/320) dan al-Busoiriy di dalam (az-Zawaa-id). Diriwayatkan juga oleh Aslam Al-Wasiti dalam (Tariekh Wasit: hlm. 187) daripada kata-kata ‘Umar bin al-Khattab. (Daripada kitab asal hlm. 211 - penterjemah) 
[14] Tetapi bukannya menyiapkan makanan itu di rumah si mati, sebab mereka sedang dilanda kesedihan. Tetapi mereka bawakan makanan yang telah sedia dimasak ke rumah keluarga si mati demi meringankan beban mereka, yang tentunya kurang selera makan kerana kematian orang yang dikasihi. Adapun perbuatan sebaliknya, iaitu para tetamu datang untuk disajikan oleh pihak keluarga si mati, maka itulah yang dibenci oleh Imam Asy-Syaafi’ee kerana menambah beban mereka. Apatah lagi jika yang ditinggalkan oleh si mati adalah balu yang kesempitan dan anak-anak yatim, maka para tetamu berdosa memakan harta anak yatim, biarpun dikatakan mereka (keluarga si mati) yang sudi menghidang, kerana mereka tertekan dengan suatu adat yang diadunkan ke dalam agama suci ini, padahal tidak diajarkan oleh baginda. Bagi yang berfikiran waras dan mencari kebenaran, cukuplah kata-kata Imam Asy-Syaafi’ee dan Imam An-Nawawi tadi menjelaskan buruknya adat ini biarpun yang mempertahankan adat ini masih bermaksud baik. Wallahul Musta’an. (penterjemah) 
[15] Yakni berita kematian ketua keluarga mereka (Ja‘far) yang dengannya mereka terlalu dipenuhi dengan duka dan kesedihan sehingga tiada masa untuk urusan lain termasuk menyiapkan makanan. Tentunya jelas bagi kita, bukannya diadakan masak-memasak di rumah si mati yang dengannya tentu jadi sibuk dengan hiruk-pikuk yang melibatkan sekali ahli keluarga si mati.(penterjemah)
[16] Kitab asal dalam Bahasa Arab menandakan sebutan namanya menjadi “Qats-mun” namun setelah dirujukkan, didapati sebagaimana yang disebutkan di atas di dalam kitab Tahdzieb as-Siyar (no: 316) - penterjemah.

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts