Wednesday, July 29, 2015

Adab-adab dan Hukum memulai dan membalas ucapan Salam pada muslim dan kafir

إن الحمد لله نحمده و  نستعينه و نستغفره ، و نعوذ بالله من شرور أنفسنا ، و من سيئات أعمالنا ، من يهده الله فلا مضل له ، و من يضلل فلا هادي له
و أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له.
و أشهد أن محمدا عبده و رسوله.
أما بعد:

Sesungguhnya segala pujian adalah untuk Allah, kita memujiNya, meminta pertolonganNya dan memohon ampunanNya dan kita berlindung kepada Allah daripada keburukan diri kita dan kejelekan amalan-amalan kita. Barangsiapa yang dikurnia petunjuk oleh Allah, maka tiada sesiapa yang dapat menyesatkannya dan sesiapa yang disesatkanNya maka tiada yang mampu memberi petunjuk kepadanya.

Aku bersaksi bahawasanya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, tiada sekutu bagiNya dan aku juga bersaksi bahawasanya Muhammad adalah hambaNya dan utusanNya.

Adapun selanjutnya:

Berikut adalah nukilan daripada penjelasan seorang ‘alim terunggul pada zamannya, al-Imam al-Qurtubiy (rahimahullaah – wafat 671H) di dalam kitab Tafsirnya, yang menjadi rujukan ‘ulama sehingga kini, yang memperjelaskan Adab-adab dalam memulai dan membalas ucapan Salam. Apa yang beliau (rahimahullaah) perincikan, amat bermanfaat bagi kita semua kaum muslimin, yang hidup pada zaman ini, dalam pada kita berusaha menuruti ajaran Islam sebenar, warisan ‘ulama’ terdahulu, biarpun dalam perkara sekecil ini iaitu berkenaan adab-adab ucapan Salam.
Daripada Kitab: “al-Jaami‘ li Ahkaam al-Qur’aan” atau lebih masyhur dikenali sebagai: “Tafsir al-Qurtubiy”: Jil. 3 hlm. 260-262 pada Tafsiran Surah an-Nisaa’: ayat 86 edisi Bahasa Arab: Cetakan Daar al-Fikri: 1414H/1994M.


[Faedah Ketujuh]
Adapun ucapan Salam kepada kaum wanita (bagi kaum lelaki), maka hukumnya adalah diperbolehkan kecuali kepada yang muda (belia/remaja) di kalangan mereka, demi memelihara diri daripada fitnah, yang dikhuatiri terbit disebabkan perbualan dengan mereka dengan tarikan panahan Syaitan atau pandangan yang mengandung khianat. Berbeza dengan kaum wanita yang telah berumur dan tua kerana dikira sesuatu yang baik kerana aman dan terpelihara daripada fitnah yang kami nyatakan tadi.[1]
Ini merupakan pendapat ‘Atha’ dan Qataadah dan menjadi pendapat pilihan Imam Malik dan segolongan ‘ulamaa’ lainnya.
Adapun ‘ulamaa’ Kufiyuun (Kufah, Iraq), ia terlarang (tidak kira wanita muda atau tua – seseorang lelaki muslim atau sekumpulan mereka, dilarang daripada mengucapkan Salam kepada wanita secara mutlaq) sekiranya Mahram mereka, tiada bersama mereka. Alasan mereka: Bilamana digugurkan kewajipan bagi kaum wanita melaungkan Azan dan Iqamah serta tilawah dengan suara lantang di dalam Solat, maka gugur juga kewajipan mereka untuk menjawan Salam, justeru, tidak diucapkan Salam kepada mereka (oleh kaum lelaki)
Namun yang benar adalah (kesimpulan pendapat) yang pertama (diperbolehkan ucapan Salam kepada wanita yang berumur dan terlarang kepada yang muda) berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhaariy daripada Sahl bin Sa‘ad katanya meriwayatkan: Kami dahulu berasa gembira pada Hari Jumaat. Tanya saya (perawi): Kenapa? Jawabnya: Dulu ada seorang wanita tua yang memasak campuran barli yang dikisar halus di dalam periuk dan sebaik sahaja kami selesai Solat Jumaat, kami mengucapkan Salam pada beliau dan beliau pun memberikan kepada kami makanan tersebut, yang dengannya kami gembira. Kami dulu tidak tidur sejenak (qailuulah, bahasa Inggerisnya: nap) atau makan kecuali setelah Solat Jumaat.

[Faedah Kelapan]
Menurut (ajaran dan pengamalan) as-Sunnah dalam mengucapkan Salam (Assalaamu ‘alaikum…) dan menjawab/membalas Salam (Wa ‘alaikumussalaam…) dijaharkan atau diucap dengan ucapan yang jelas kedengaran kepada pihak yang diucapkan. Tidak cukup dengan sekadar isyarat dengan jari atau telapak tangan di sisi asy-Syafi‘ie. Namun di sisi kami, yang demikian itu (isyarat dengan tangan) memadai, jika dari jauh…(diringkaskan)

[Faedah Kesembilan]
Adapun kepada seorang Kafir, maka hukum membalas Salamnya adalah dengan mengucapkan kepadanya: “wa ‘alaikum – و عليكم”.
Kata Ibn ‘Abbaas (radhiyalLaah ‘anhumaa) dan selain beliau: Yang dimaksudkan di dalam ayat: “وَ إِذَا حُيِّيْتُمْ بِتَحِيَّةٍ – ertinya: Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam),” iaitu bilamana ia (ucapan Salam itu) dari seorang mukmin, “فَحَيُّواْ بِأَحْسَنَ مِنْهَا – ertinya: maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya...” maka jika ia (ucapan Salam yang dimulakan) oleh seorang Kafir, maka kalian balaslah menurut apa yang diucapkan oleh Rasulullaah (sollaalLaahu ‘alaihi wa sallam) iaitu agar dibalas mereka dengan ucapan: “wa ‘alaikum – و عليكم”. Kata ‘Atha’: Ayat ini berkenaan kaum Mukminin secara khusus, adapun selain orang yang beriman, maka dibalas dengan ucapan: “wa ‘alaika – و عليك”, sebagaimana yang ada di dalam hadis tersebut.
[al-Imam al-Qurtubiy ada menjelaskan bahawa huruf “و” dalam ucapan “wa ‘alaika – و عليك” ada di dalam riwayat sebagaimana riwayat tanpa huruf “و”, kedua-duanya ada di dalam Sahih Muslim, walaupun adanya huruf “و” lebih kuat riwayatnya dan lebih masyhur. Sebahagian ‘ulama’ memandang bahawa tidak sepatutnya ada huruf “و” dalam jawapan Salam kepada ucapan orang Kafir dari sudut maknanya, seolah-olah maknanya buruk. Namun al-Imam al-Qurtubiy mendatangkan beberapa hujjah dan kesimpulannya, tiada terkaitnya makna buruk pada jawapan seorang Muslim dengan “wa ‘alaika – و عليك” atau “wa ‘alaikum – و عليكم” kepada seseorang Kafir yang memberi Salam kepadanya biarpun orang Kafir itu doakan yang buruk atau bermaksud yang buruk dengan ucapan Salamnya, kerana kita semata-mata membalas apa yang dikatakan kepada kita. Demikian secara kesimpulannya untuk meringkaskan apa yang boleh dikatakan rumit dari sudut “teknikal – tatabahasa Arab” dalam penjelasan beliau].

[Faedah Kesepuluh]
‘Ulama’ telah berselisihan pendapat dalam permasalahan “menjawab ucapan Salam seorang Dzimmi[2] (orang Kafir Dzimmi – Ahli Dzimmah)”, apakah hukumnya Wajib sepertimana hukum menjawab Salam di kalangan sesama kaum Muslimin. Di sisi Ibn ‘Abbaas, asy-Sya‘biy dan Qataadah, hukumnya sama Wajib dan mereka berpegang dengan umum maksud ayat ini dan apa yang ada di dalam Sunnah yang Sahih, yang memerintahkan agar menjawab Salam mereka.
Imam Maalik pula, menurut riwayat Asy-hab dan Ibn Wahbin daripada beliau, berpendapat bahawa ia tidak Wajib dan jika anda membalas Salamnya, ucapkan sebagai jawapannya dengan: “‘alaika –عليك”.
Ibn Thowuus pula memilih agar diucapkan sebagai membalas Salam mereka dengan: “‘alaaka as-Salaam – علاك السلام ertinya: “Kesejahteraan/Salam terangkat tinggi dari diri mu (maknanya anda tidak akan dapat kesejahteraan)”.
Sebahagian ‘ulama’ kami (Madzhab Maalikiyah/Cordova): (mengajarkan ucapan balasnya dengan) as-Silaam ‘alaika –السِلام عليك ertinya: “Limpahan batu-batu ke atas mu”. Namun pendapat Imam Maalik cukup memadai dan sempurna sebagai ucapan balasnya, sebagaimana yang ada di dalam hadis.
[berakhir nukilan daripada penjelasan Imam al-Qurtubiy rahimahulLaah]. Wallahu a‘lam.



[1] Sayugianya golongan pemuda-pemudi, belia dan beliawanis Masjid terutamanya dan berbagai persatuan keagamaan dan kebajikan, meneliti apa yang diajarkan ‘ulama’ dalam  perkara ini dan semoga dengannya, mereka diberi PetunjukNya dan diberkati.
[2] Seorang Dzimmi atau Kafir Dzimmi adalah orang bukan Islam yang tinggal menetap di satu daerah/negeri yang dikuasai dan ditadbir sebagai sebuah Negara Islam, yang diberi jaminan oleh Pemerintah Islam pemeliharaan nyawa, harta dan agamanya. Mu‘jam Lughat al-Fuqaha’: hlm. 214. Inilah maksud “tiada paksaan dalam Islam, dalam menganut agama Islam”. “Tiada paksaan” ini hanya pada orang bukan Islam untuk memeluk agama Islam, bukannya untuk orang Islam. Sesiapa sahaja yang telah menganut Islam, wajib melaksanakan hukum-hukum Islam, sehingga Khalifah Islam akan menghukumnya dengan denda dan sebagainya jika tidak Solat, tidak Puasa dan sebagainya. Ringkasnya, Ahlu Dzimmah adalah penduduk yang bukan Islam, menetap tinggal selaku rakyat di Negara Islam. Adapun yang bukan di bawah Pemerintahan Islam adalah Kafir Mu‘aahad iaitu yang ada perjanjian damai dengan kaum muslimin – ibid. hlm 438. Penyelewengan terhadap istilah-istilah terkait hukum-hukum ini, mengakibatkan penyelewengan dalam hukum-hukum Allah.
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts