Wednesday, September 2, 2015

Hukum Foto dan Gambar untuk dipamerkan


الحمد لله وحده و الصلاة و السلام على من لا نبي بعده و على آله و صحبه و من تبع هداه

أما بعد



Sidang pembaca yang budiman, semoga Allah mengurniakan Taufiq dan HidayahNya kepada kita sentiasa, dengan RahmatNya yang Maha Luas,

Berikut ini saya kongsikan "Surat" yang pernah saya tulis kepada beberapa pihak, antaranya pihak Masjid yang mengundang saya menyampaikan Syarahan, pihak Agensi yang mengamanahkan saya membimbing jemaah Haji dan Umrah dan lainnya, bilamana mereka meminta saya mengirimkan kepada mereka Foto atau Gambar saya, untuk tujuan IKLAN. Selamat membaca dan semoga dengannya setiap pihak yang bertanya kenapa di weblog saya tiada gambar saya, tidak pula di mana-mana "profile" atau "avatar" juga tiada gambar saya. Bukan seperti dakwaan seorang Ustaz, yang mengaku diri "cute" (comel) atau "forever cute", walaupun sudah hampir separuh abad umurnya sekarang, yang mempamerkan gambarnya, dipamerkan kerana "cute", malah yang menjadi ukuran ialah pemeliharaan batas-batas hukum Allah, bukan soal orang cute layak pamerkan gambarnya dan yang tidak mempamerkan gambarnya kerana dirinya tidak cute. 



Berhubung permintaan pihak tuan/puan agar saya mengirimkan foto bagi tujuan pengiklanan dan hebahan, saya memohon berbanyak maaf kerana saya berpegang dengan pendapat sebahagian 'ulama yang tidak mengizinkan foto dipamerkan kecuali untuk keperluan darurat seperti keselamatan (paspot) dan menjejaki penjenayah dan yang sepertinya. Saya sedia maklum bahawa menjadi "trend" atau kebiasaan masa kini, pihak penganjur acara keagamaan mempamerkan gambar penceramah/pembimbing dan sebagainya dan kemungkinan mereka cenderung kepada pendapat 'ulama yang mengizinkan pameran gambar dalam pada mereka melakukan demikian. Namun, secara peribadi, menurut hemat saya dan apa yang saya sebutkan adalah semata-mata untuk menjelaskan kedudukan peribadi saya dalam hal ini, tiada kaitannya dengan mana-mana pihak dan saya terlebih dahulu memohon maaf, bilamana kita membincangkan hal keagamaan;
  • Ini adalah perkara yang diperselisihkan, namun dalil-dalil dan pendapat ramai 'ulama ada yang tidak mengizinkannya, bahkan dalam salah satu riwayat, Rasulllah menamakan orang yang membuat dan mempamerkan gambar manusia dan apa-apa yang bernyawa, sebagai seburuk-buruk makhluq Allah. Segolongan 'ulama mengizinkannya, namun dengan bersyarat, seperti darurat atau keperluan yang amat sangat 
  • Jika kita kaji sejarah Islam dan para ilmuannya, kita akan sedar betapa kita tidak ada gambar Nabi, Khulafa Rasyidien, mahupun gambar para Imam 4 Madzhab. Tidak pula gambar Imam Nawawi, al-Hafiz Ibn Hajar atau lainnya. Yang saya pernah lihat, gambar Imam Ghazzali, itupun gambaran pelukisnya yang melihat rupa (imej/image) beliau dalam mimpi. Namun yang menjadikan umat mengenali mereka adalah warisan keluasan ilmu mereka dan jasa mereka serta sejarah hidup mereka.
  • Dalam hal ini, tujuan pengiklanan, menurut penilaian saya, tidak sampai pada tahap darurat ataupun keperluan yang amat sangat. Wallahu a'lam.

Adapun jika ia adalah semata-mata untuk fail simpanan pihak tuan, maka saya berikan berikut ini: (jika ada pihak yang menyiarkan gambar saya di akhbar atau mana-mana yang dipamerkan, yang demikian bukan dengan restu dan izin saya dan tanpa pengetahuan saya. Seandainya saya tahu, saya pasti meminta mereka menghentikannya sedaya upaya mereka)

Sikap memahami pihak tuan/puan amat saya hargai dan saya doakan agar tuan/puan dirahmati Allah dan diganjari dengan sebaik-baik ganjaran dunia dan akhirat.

Untuk penjelasan mengenai dalil-dalilnya dan penjelasan 'ulama', sila baca berikut ini:





Wallaahu a'lam.


 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts