Friday, November 13, 2015

19. Ziarah Kubur (Adab-adab Ziarah Kubur dan Tatacara Ziarah Kubur)









116. Ziarah kubur adalah disyari‘atkan untuk menjadi suatu pengajaran dan mengingati Akhirat, dengan syarat tidak diucapkan sesuatu yang dimurkai Allah  ketika menziarahinya, seperti doa meminta kepada si mati, mengharap dan memohon bantuannya agar diselamatkan dari bencana atau azab akhirat, padahal itu hanya layak dipinta kepada Allah , atau perbuatan memuja si mati serta i‘tiqad yang pasti bahawa ia dimasukkan ke syurga dan yang sepertinya. Mengenainya terdapat banyak hadis yang sedia diketahui, tidak perlu disebutkan di sini, maka sesiapa yang ingin mengetahuinya, sila rujuk ke kitab asal.

Dari kitab asal untuk faedah pembaca :
Pertama: Daripada Buraydah bin al-Husayb  katanya meriwayatkan: Rasulullah  telah bersabda:
  إني كنتُ نهيتكم عن زيارة القبور ، فَزُورُوها [ فإنها تُذكِّرْكُم الآخرة ] ،
[ وَلْتَزِدْكم زيارتُها خَيرا ]، [ فمن أراد أن يزور فَلْيَزُرْ ، و لا تقولوا هُجْراً 
“Sesungguhnya aku sebelum ini melarang kamu dari menziarahi kubur, maka kini ziarahilah ia [sebab ia mengingatkan kamu akan Akhirat], [dan hendaknya penziarahannya menambahkan kebaikan kamu], [maka barangsiapa yang ingin menziarahinya, maka pergilah ia ziarahinya dan jangan kamu mengatakan sesuatu (hujran) yang buruk dan bathil”


Kata al-Imam an-Nawawi  di dalam al-Majmu‘: (5/310):
“al-Hujru: Kata-kata yang batil, adapun larangan asal Nabi (dari ziarah kubur) adalah kerana hampirnya mereka dengan zaman Jahiliyah mereka, dikhuatiri mereka akan berkata dengan ucapan adat Jahiliyah yang batil. Maka apabila dasar-dasar Islam telah kukuh pada diri mereka, telah terlaksana hukum-hukumnya, telah diketahui umum akan petunjuk-petunjuknya, diizinkan mereka untuk menziarahinya dan baginda masih bersikap waspada dengan pesanan baginda: {Jangan kamu katakan sesuatu yang buruk dan batil}”
Kesimpulanku: Jelas bahawasanya apa yang dilakukan orang kebanyakan dan lainnya ketika menziarahi kubur dari perbuatan berdoa kepada si mati, memohon pertolongan dan kesejahteraan darinya, meminta kepada Allah dengan kedudukannya (Tawassul – sebagai perantaraan), adalah dari perkara-perkara yang terbesar kebatilannya dan keburukannya, maka menjadi tugas ‘ulama’  untuk menjelaskan hukum Allah di dalam perkara-perkara tersebut, memahamkan mereka cara dan tatatertib ziarah kubur sebagaimana yang disyari‘atkan dan matlamat atau tujuan di sebalik ziarah kubur.

al-Imam as-San‘aniy  telah menyatakan di dalam Subul as-Salam (2/162):
" الكل دال على مشروعية زيارة القبور و بيان الحكمة فيها ، و أنها للإعتبار . .
فإذا خلت من هذه لم تكن مرادة شرعا "
“Segala (dalil-dalil) tersebut menunjukkan kepada kesimpulan bahawa ziarah kubur adalah disyari‘atkan berserta penerangan mengenai hikmah/tujuannya di sebaliknya dan ia adalah untuk i‘tibar/pengajaran, maka jika tidak terdapat padanya sesuatu dari perkara-perkara ini, ia (ziarah kubur) tidak dikehendaki/dimaksudkan (tidak dituntut) di sisi Syara‘.”

Kedua: Daripada Abi Sa‘ied al-Khudriy  katanya meriwayatkan: Rasulullah  telah bersabda:
  إني كنتُ نهيتكم عن زيارة القبور ، فَزُورُوها ،  فإن فيها عبرة [، و لا تقولوا مايسخط الرب ] 
“Sesungguhnya aku sebelum ini melarang kamu dari menziarahi kubur, maka kini ziarahilah ia, sebab padanya terkandung pengajaran dan janganlah kamu mengatakan sesuatu yang menyebabkan kemurkaan Allah.”

117. Kaum wanita sama hukumnya seperti kaum lelaki, di dalam hal digalakkan menziarahi kubur kerana beberapa sudut:
Pertama: Maksud sabda baginda  yang berbentuk umum:
  ...فَزُورُوها 
“… maka kini ziarahilah ia..”
Maka ia merangkumi kaum wanita dan penjelasannya: Bahawasanya apabila Nabi  melarang dari ziarah kubur pada awalnya, maka sesuatu yang tiada keraguan lagi padanya bahawa larangan itu menyeluruh baik atas kaum lelaki mahupun wanita, maka apabila baginda  katakan: “Aku dahulunya/sebelum ini melarang kamu dari ziarah kubur” difahami bahawa semestinya baginda  maksudkan kedua jenis jantina dan baginda memberitahu akan keadaan sebelumnya yang dilarang adalah kedua-dua pihak. Maka jika duduk perkaranya demikian, maka secara semestinya izin baginda  selepas itu “maka kini ziarahilah ia,” di dalam hadis tersebut dimaksudkan kepada kedua pihak juga.

Dikuatkan lagi dengan apa yang terdapat pada hadis tersebut dari larangan terhadap perkara-perkara lainnya yang disebutkan selepasnya: “...dan aku juga sebelum ini melarang kamu dari memakan daging korban selepas 3 hari, maka tetap berpeganglah dengan apa yang nyata pada kalian, serta aku juga telah menghalang kamu dari air korma yang diperam kecuali air korma yang disimpan di dalam qirbah  maka minumlah segala yang ada dalam qirbah dan jangan minum sesuatu yang memabukkan”
Maka ucapan tersebut mengenai semua perkara-perkara lain itu, pastinya ditujukan kepada kedua pihak dengan yakinnya sebagaimana halnya ungkapan pada bahagian pertama hadis tersebut. Jika dikatakan bahawa ungkapan: “maka kini ziarahilah ia” ditujukan khas bagi kaum lelaki, cacatlah tuturkata dalam ucapan tersebut dan hilanglah kesinambungannya, suatu perkara yang tidak selayaknya berlaku kepada manusia yang telah dikurniakan “jawami‘ al-kalim”  dan yang paling fasih dalam menyebut huruf “ض”    , malah dikuatkan lagi dengan sudut-sudut berikut:

Kedua: Terangkumnya mereka (kaum wanita) di dalam hikmah di sebalik disyari‘atkan ziarah kubur:
  فإنهاترق القلب و تدمع العين و  تُذكِّرُ الآخرة  
“…sebab ia melembutkan hati, menyebabkan mata menitiskan airmata dan mengingatkan Akhirat”

Ketiga: Bahawasanya Nabi  telah memberi kelonggaran kepada mereka (kaum wanita) untuk menziarahi kubur, di dalam dua hadis yang dihafal kedua-duanya oleh Ummul Mukminien ‘A-isyah :
1. Dari ‘Abdillah bin Abi Mulaikah: bahawasanya ‘A-isyah pulang dari perkuburan pada suatu hari, maka saya tanya beliau: Wahai Ummul Mukminien dari mana anda? Jawab beliau: Dari kubur ‘Abdur Rahman bin Abi Bakar. Maka saya pun katakan kepada beliau: Bukankah Rasulullah  telah melarang dari menziarahi kubur? Jawab beliau: Ya, kemudian baginda menyuruh ziarahinya pula.
Begitu juga di dalam riwayat lain daripada beliau:
“Bahawasanya Rasulullah  telah memberi kelonggaran dalam hal ziarah kubur”

2. Dari Muhammad bin Qais bin Makhramah bin al-Muttallib bahawasanya beliau pada suatu hari mengatakan:
“Mahukah kamu aku sampaikan sesuatu dari diriku dan dari ibuku?” Maka kami sangka yang beliau maksudkan adalah ibunya yang melahirkannya.
“Kata ‘A-isyah : Mahukah kamu aku sampaikan sesuatu dari diriku dan dari Rasulullah ? Jawab kami, tentunya. Kata beliau selanjutnya:
Pada malam giliran ku yang pada masa itu Nabi  berada di rumah ku, baginda pulang dan meletakkan selendang baginda, menanggalkan kedua alas kaki baginda, lalu meletakkannya di sisi kedua kaki baginda, menghamparkan hujung kainnya di atas tempat pembaringan ku, lantas berbaring.
Tidak lama setelah baginda lihat aku telah berbaring, baginda mengambil selendang baginda perlahan-lahan, memakai kedua alas kakinya juga senyap-senyap dan membuka pintu [pun perlahan-lahan], lalu keluar kemudian menutupnya perlahan-lahan. Lantas aku pun bertudung, mengenakan kainku dan aku mengekori baginda sampailah baginda ke Perkuburan al-Baqie‘.
Baginda berdiri begitu lama, kemudian baginda mengangkat kedua tangan baginda 3 kali, kemudian baginda kembali pulang maka aku pun segera kembali pulang. Baginda berjalan pantas maka aku pun berjalan pantas dan aku mendahuluinya masuk ke rumah dan baru sahaja aku baring, baginda pun masuk sambil bersabda: Apa halmu ‘A-isy, pernafasanmu turun naik pantas? Jawab ku: Tiada apa-apa [wahai Rasulullah]. Sabda baginda: Awak mesti beritahu saya atau saya pasti diberitahu oleh Yang Maha Halus lagi Maha Memerhati. Jawabku: Wahai Rasulullah, aku jadikan ibu dan bapaku sebagai tebusanmu, maka aku pun ceritakan kisahnya. Sabda baginda: Awaklah benda hitam yang saya lihat tadi di hadapan saya? Jawabku: Ya. Maka baginda menumbuk (tumbukan manja/gurauan) di dadaku dan terasa sedikit sakitnya, lalu bersabda: Apakah awak sangka yang Allah dan RasulNya tidak berlaku adil terhadap mu?! Jawab ku: Biar bagaimanapun manusia berselindung Allah Maha Mengetahui. [Jawab baginda]: Ya.
Sabda baginda seterusnya: Sebabnya, sungguh Jibril datang kepada saya sewaktu saya melihatnya dan memanggil saya – maka saya rahsiakannya dari awak dan saya sahut panggilannya dan itupun saya rahsiakan dari awak, beliau tidak mahu masuk sebab awak telah meletakkan (menanggalkan) pakaian (luar) awak. Bilamana saya sangka awak telah tidur, saya tidak mahu menggugah awak dan khuatir akan mengejutkan awak – kata Jibriel: sesungguhnya Tuhanmu memerintahkanmu supaya engkau pergi ke Al-Baqie’ untuk memintakan ampunan buat mereka.
Tanya saya: Bagaimanakah saya ucapkan kepada mereka (ahli kubur) wahai Rasulullah? Ucapkanlah:
  السَّـلامُ عَلىَ أَهْـلِ الدِّيـَارِ مِـنَ الْـمُـؤْمِنِـيْن وَ الْـمُسْـلِـمـِيْن ، وَ يَـرْحَـمُ الله ُالْـمُسْـتَـقْـدِمِـيْنَ مِـنَّـا وَ الْـمُسـْـتَـأْخِـرِيْن ،
وَ إِنَّـا إِنْ شَـاءَ الله ُبِكُـمْ لَـلاَحِـقُـوْن 
{Kesejahteraan (dari Allah dipohonkan) ke atas Ahli Ad-Diyar (penghuni-penghuni kubur) dari kalangan Mukminin dan Muslimin dan semoga Allah merahmati kita, baik yang terdahulu mahupun yang terkemudian dan sesungguhnya kami Insya’ Allah, pasti akan menyusuli kalian.}”

Keempat: Taqrier  Nabi terhadap seorang wanita yang menziarahi kubur, yang mana Nabi  telah menegurnya agar bertaqwa dan bersabar, tetapi beliau tidak hiraukan, sehinggalah ada orang memberitahu beliau bahawa yang menegurnya adalah Rasulullah . Sebagaimana yang terdapat pada perkara (no: 19– bahagian pertama di bawah tajuk ke 5 – hadisnya diriwayatkan oleh al-Bukhariy dan lainnya) .

Pendapat ini, yakni diharuskan bagi wanita untuk menziarahi kubur adalah pendapat ramai ulama, sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam an-Nawawi di dalam Syarh Sahih Muslim: (7/32) dan lainnya. Antaranya al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalaniy (Fath al-Bari) dan yang zahir dari pendapat Imam al-Bukhariy (yang menamakan bab tersebut: Bab Ziarah Kubur, dengan menyebutkan hadis ini), al-‘Aini di dalam ‘Umdatul Qari (3/76).

118. Akan tetapi tidak boleh bagi kaum wanita untuk kerap pergi ziarah kubur atau berulang-alik ke kubur, sebab itu akan menyebabkan beliau melakukan perkara yang bercanggah dengan Syari‘ah, dengan teriakan (ratapan) dan bertabarruj , menjadikan kuburan seperti tempat diadakan perkelahan, membuang masa dengan bual kosong, sebagaimana yang dapat disaksikan berlaku di beberapa negeri Islam dan inilah sebenarnya yang dimaksudkan di dalam hadis yang masyhur:
  لعن رسول الله ( و في لفظ : لعن الله ) زوّارات القبور 
 “Rasulullah telah melaknat (di dalam riwayat lain: Allah melaknati) wanita-wanita yang menziarahi kubur.”
[Kata Imam at-Tirmidzi: Hadis Hasan Sahih dan sebahagian ‘ulama’ berpendapat yang demikian adalah sewaktu Nabi belum beri kelonggaran menziarahi kubur, apabila baginda memberi kelonggaran, terangkum sekali kaum lelaki dan wanita. Sebahagian yang lain mengatakan: Dilarangnya kaum wanita menziarahi perkuburan kerana kurangnya kesabaran mereka dan mudahnya mereka terikut-ikutkan perasaan sedih.]

Kata Imam al-Qurtubiy :
“Laknat yang disebutkan di dalam hadis ini sebenarnya dimaksudkan adalah bagi wanita yang banyak dan kerap menziarahi kubur, dengan apa yang ditunujukkan dengan lafaz mubalaghah (melampau/banyak “zauwarat”). Mungkin sebabnya ialah ia akan menjadi punca perbuatan mengabaikan hak suami, bertabarruj, teriakan (ratapan) dan yang sepertinya. Boleh disimpulkan juga: Jika terpelihara segala perkara tersebut, maka tiada halangan bagi mengizinkan wanita menziarahi kubur, sebab peringatan terhadap Hari Akhirat diperlukan oleh orang lelaki dan wanita.

Kata Imam asy-Syaukaniy  di dalam Nail al-Autar (4/95):
“Kata-kata ini adalah yang sepatutnya dipegang di dalam memadankan maksud hadis-hadis di dalam bab (permasalahan) ini, yang jika dilihat secara zahirnya (seolah-olah) bercanggahan.”

119. Dibolehkan untuk menziarahi kubur orang bukan Islam, semata-mata untuk menjadi pengajaran, berdasarkan hadis Abi Hurairah  dan Sahabat lainnya:
“Nabi  telah pergi menziarahi kubur ibu baginda, lalu baginda  menangis menjadikan mereka yang berada di sekeliling baginda turut menangis dan baginda  bersabda:
  استأذنت ربي في أن أستغفر لها ، فلم يؤذن لي ، و استأذنته في أن أزور قبرها فأذن لي ،
 فزوروا القبور فإنها تذكر الموت 
“Aku telah meminta izin kepada Tuhan ku untuk memohonkan ampunan buatnya, namun aku tidak diizinkan dan aku meminta izinNya untuk menziarahi kuburnya maka aku diizinkan. Oleh itu ziarahilah kuburan sebab ia mengingatkan maut.”

Tujuan di sebalik perbuatan menziarahi kubur adalah dua perkara:
1. Penziarahnya mendapat manfaat berupa peringatan tentang maut dan orang yang telah meninggal dunia dan samada tempat mereka kembali adalah syurga ataupun neraka dan inilah maksud utamanya, sebagaimana yang ditunjukkan di dalam hadis-hadis yang lalu.
2. Orang yang telah meninggal dunia (ahli kubur) mendapat manfaat dengan perlakuan ihsannya dari ucapan salam, berdoa dan permohonan ampunannya dan yang ini adalah khusus bagi orang Islam (yang telah meninggal dunia itu). Untuk ini ada beberapa hadis dan saya sebutkan sebahagian darinya:
i.
  السَّـلامُ عَلَيـْكُمْ [ أَهْـلَ ] دَارِ قََـوْمٍ مُـؤْمِـنـِيْنَ ، وَ إِنَّـا وَ إِيَّـاكُمْ وَ مَـا تُـوْعَـدُوْنَ غَـداً مُـؤَجَّـلُوْن ، وَ إِنَّـا إِنْ شَـاءَ الله ُبِكُمْ لاَحِـقُوْن ، اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِأَهْلِ بَقِيْعِ الْغَرْقَد 
“Kesejahteraan ke atas kalian [ahli] penghuni kubur kaum mukminin dan kami sesungguhnya dan juga kalian dengan apa yang telah dijanjikan pada kalian hari esok pasti akan tetap berlaku bagi kita yang ditangguhkan dan telah ditetapkan waktunya dan sesungguhnya kami, dengan izin Allah akan menyusuli kalian, ya Allah ampunkanlah buat ahli Baqie’ al-Gharqad.”
ii.
  السَّـلامُ عَلَى أَهْلِ الدِّيَـارِ مِـنَ الْمُـؤْمِـنِـيْن وَ الْمُـسْلِـمِيْن ، وَ يَـرْحَـمُ اللهُ الْمُـسْـتَـقْـدِمِـيْنَ مِـنَّـا وَالْمُسْـتَـأْخِرِيْن ، وَ إِنَّـا إِنْ شَـاءَ الله ُبِكُمْ لَلاَحِـقُوْن 
“Kesejahteraan (dari Allah dipohonkan) ke atas Ahli ad-Diyar (penghuni-penghuni kubur) dari kalangan Mukminin dan Muslimin dan semoga Allah merahmati kita, baik yang terdahulu mahupun yang terkemudian dan sesungguhnya kami Insya’ Allah, pasti akan menyusuli kalian”.

iii.
  السَّـلامُ عَلَى أَهْلِ الدِّيَـارِ مِـنَ الْمُـؤْمِـنِـيْـن وَ الْمُـسْلِـمِيْن  وَ إِنَّـا إِنْ شَـاءَ الله ُ      [ بِـكُمْ ] لَلاَحِـقُـوْن ، [ أَنْـتُمْ لَـنَا فَرَطُ ، وَ نَـحْنُ لَـكُمْ تَـبَعٌ ] ، أَسْـأَلُ اللهَ لَـنَـا وَ لَـكُمْ الْعَـافِـيَة 
“Kesejahteraan (dari Allah dipohonkan) ke atas Ahli ad-Diyar (penghuni-penghuni kubur) dari kalangan Mukminin dan Muslimin dan sesungguhnya kami Insya’ Allah, pasti akan menyusuli [kalian], [kalian telah mendahului kami dan kami akan mengikut kalian], aku memohon kepada Allah semoga diri kami dan juga kalian dikurnia kesejahteraan”.

120. Adapun perbuatan membaca al-Qur’an ketika menziarahi kubur, maka ia dari suatu perbuatan yang tiada asalnya di dalam as-Sunnah, malah hadis-hadis yang telah disebutkan tadi di dalam perkara tadi, memberikan kesedaran bahawa ia tidak disyari‘atkan, sebab seandainya ia disyari‘atkan, tentunya Rasulullah  sendiri telah mengamalkannya dan mengajarkannya kepada para Sahabat, apatah lagi baginda  telah ditanya oleh ‘A-isyah  – dan beliau adalah di antara orang yang paling dicintai oleh baginda  – yakni tentang apa yang diucapkan oleh beliau jika beliau menziarahi kubur? Maka baginda  mengajarkan beliau agar mengucapkan salam dan berdoa dan tidak pula mengajarkan beliau  agar membaca al-Fatihah atau selainnya dari ayat-ayat al-Qur’an. Sekiranya pembacaan al-Qur’an adalah sesuatu yang disyari‘atkan (ketika ziarah kubur) tidak mungkin baginda  menyembunyikan perkara tersebut daripadanya, bagaimana mungkin berlakunya “Ta’khier al-Bayan ‘an Waqti al-Hajah”  (menangguhkan penjelasan sesuatu, pada ketika yang mana hajat amat mendesak agar penjelasan itu diberikan/diterangkan) dan ini (perbuatan ini, tidak menjelaskan hukum dan sesuatu bila diperlukan umat apatah lagi insan tercinta - penterjemah) tidak diharuskan buat baginda , sebagaimana yang menjadi ketetapan di dalam bidang Ilmu Usul, bahkan bagaimana pula dengan perbuatan menyembunyikannya (tidak menerangkannya)?  Kalaulah ada baginda  ajarkan kepada mereka (para Sahabat) sesuatu darinya (yakni membaca al-Qur’an ketika ziarah kubur), pastinya ia telah disampaikan kepada umat selepasnya. Maka apabila tiada satu tukilan pun dari mereka dengan sanad yang tsabit (tulen), justeru itu, jelaslah menunjukkan bahawa ia tidak pernah berlaku (tidak dilakukan oleh mereka dan tidak diajarkan oleh Nabi ).

Di antara perkara yang menguatkan lagi kesimpulan bahawa ia tidak disyari‘atkan adalah sabda baginda :
  لا تَجْعَلوا بُيُوتَكُم مَقَابِرَ ، فَإِنَّ الشَّيْطَان يَفِرُّ مِن البَيتِ الذي يُقْرأُ فِيه سُورَةُ البقرة 
“Janganlah kalian jadikan rumah-rumah kalian perkuburan, sebab Syaitan melarikan diri dari rumah yang dibaca di dalamnya Surah al-Baqarah.”
Maka baginda  memberi petunjuk bahawa kubur bukanlah tempat yang layak di sisi Syara‘ untuk bacaan al-Qur’an, sebab itulah baginda  menggalakkan pembacaan al-Qur’an di rumah-rumah dan melarang dari menjadikannya seperti perkuburan yang tidak ada apa-apa pembacaan al-Qur’an padanya, sebagaimana baginda  juga memberi isyarat yang sama di dalam hadits yang lain bahawa ia bukanlah tempat yang layak didirikan solat padanya, iaitu sabda baginda :
  صلوا في بُيُوتَكُم و لا تتخذوها قبورا 
“Solatlah di rumah-rumah kalian dan janganlah kalian jadikan rumah-rumah kalian perkuburan.”
Lantaran itulah, al-Imam al-Bukhariy  memberikan judul bab tersebut dengan: “Dibenci perbuatan mendirikan solat di perkuburan” maka beliau memberi isyarat bahawa hadis Ibn ‘Umar  menunjukkan bahawa solat di perkuburan adalah dibenci maka demikian juga hadis Abi Hurairah  menunjukkan dibencinya pembacaan al-Qur’an di perkuburan dan tiada bezanya. Oleh kerana itulah, mazhab Jumhur (kebanyakan) ‘ulama’ Salaf seperti Imam-imam Abu Haniefah, Malik, dan lainnya membenci perbuatan membaca al-Qur’an di sisi kubur dan itulah juga pendapat Imam Ahmad, kata Imam Abu Dawud  di dalam (Masa-il – pertanyaan beliau kepada al-Imam Ahmad: hlm: 158):
“Aku telah mendengar (Imam) Ahmad ditanya tentang al-Qur’an di sisi kubur? Maka jawab beliau : Tidak/Jangan (dilakukan).”

Kata Syeikul Islam Ibn Taimiyah  di dalam Iqtida’ as-Sirat al-Mustaqiem: hlm. 182:
“Tiada diterima dari diri peribadi al-Imam asy-Syafi’ee  sendiri tentang masalah ini satu riwayat pun dari kata-kata beliau, sebabnya di sisi beliau ia adalah suatu bid‘ah dan kata al-Imam Malik: Aku tidak pernah mengetahui  adanya seseorang yang melakukannya”

121. Diharuskan untuk mengangkat kedua belah tangan ketika berdoa untuk ahli kubur, berdasarkan hadis ‘A-isyah   yang meriwayatkan:
“Rasulullah telah keluar rumah pada suatu malam, maka saya mengutuskan Barierah untuk mengekori ke mana baginda pergi! Ternyata baginda pergi ke Baqie‘ al-Gharqad, berdiri di hujung al- Baqie‘ kemudian mengangkat kedua tangan, lalu beredar. Barierah pun kembali kepada ku dan mengkhabarkan kepada ku. Maka pada paginya aku bertanya, maka kataku: Wahai Rasulullah ke manakah anda pergi semalam malam? Jawab baginda :
  بعثت إلى أهل البقيع لأصلي عليهم 
“Saya telah diperintahkan supaya ke al-Baqie‘ untuk mendoakan mereka.”

122. Akan tetapi, ia tidak menghadap kubur ketika berdoa, bahkan hendaklah ia menghadap al-Ka‘bah, kerana larangan baginda  dari melakukan solat menghadap kubur sebagaimana yang akan disebutkan dan doa adalah otaknya solat dan intipatinya, sepertimana yang sedia diketahui maka ia berkongsi hukum yang sama dan baginda  telah bersabda:
  الدعاء هو العبادة   
“Doa itu adalah ibadah.”
Kemudian baginda membaca:

“Dan Tuhan kamu telah berfirman: Berdoalah kepada Ku pasti Aku perkenankan untuk kamu”

123. Apabila ia menziarahi kubur orang kafir, maka janganlah ia beri salam kepadanya, tidak pula mendoakannya, bahkan sebaliknya sampaikanlah berita bahawa ia (orang kafir penghuni kubur tersebut) akan ke neraka, sebab demikianlah yang diperintahkan oleh Rasulullah  di dalam hadis Sa‘ad bin Abi Waqqas  yang meriwayatkan:
“Seorang Arab badwi telah datang menemui Nabi  dan berkata: Sesungguhnya bapaku dahulu sentiasa menyambung silaturrahim, melakukan begitu dan begini, maka di manakah ia sekarang (di Alam Akhirat)? Jawab baginda {Di dalam nereka}. Maka si Arab badwi itu kelihatannya gusar dengan jawapan baginda itu. Lalu ia bertanya pula: Wahai Rasulullah! Di manakah bapa mu? Jawab baginda : {Setiap kali anda lalu di sisi kubur seorang kafir maka  khabarkanlah kepadanya bahawa tempatnya di neraka}.
Kemudian orang Badwi tersebut memeluk Islam selepas itu dan ia berkata: Sungguh Rasulullah  telah mengamanahkan kepada ku suatu tanggungan yang memenatkan! Tiada satu kubur orang kafir yang aku lalui kecuali pasti aku khabarkan kepadanya bahawa tempatnya adalah neraka.”

124. Tidak boleh berjalan di antara kubur kaum muslimin dengan beralas kaki, berpandukan hadis Basyier bin al-Khasasiyah  yang telah disebutkan sebelum ini:
“Sewaktu saya berjalan menemani Rasulullah  …kemudian baginda  sampai pula ke perkuburan Muslimin…Tatkala baginda  berjalan itu, baginda ternampak sesuatu, iaitu seorang lelaki yang berjalan di antara kuburan dengan beralas kaki. Maka teriak baginda : {Wahai Si pemakai selipar! Tanggalkanlah kedua alas kaki mu}. Orang itu pun menoleh dan apabila ia mengenalpasti Rasulullah , ia menanggalkan kedua seliparnya dan membuangnya.”

125. Tidak disyari‘atkan perbuatan meletakkan atau menanam sejenis pokok kecil seperti pokok bunga melor dan pokok lainnya serta bunga-bunga di atas kubur, sebab ia bukan dari perbuatan Salaf. Seandainya ia baik tentunya mereka telah melakukannya lebih dahulu dari kita. Sungguh Ibn ‘Umar  telah menegaskan:
" كُلُّ بِدْعَةٍ ضَلالَة ، وَ ِإنْ رَآهَا النَّاسُ حَسَنَة "
“Setiap bid‘ah adalah kesesatan, walaupun manusia memandangnya hasanah(baik)”

Dari kitab asal (Ahkam al-Jana-iz): Tiada percanggahannya apa yang kami sebutkan (tidak beralas kaki sebagai tanda menghormati kubur) dengan apa yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas , yang mana Nabi  meletakkan dua belahan dahan korma, masing-masing di atas dua kubur dan sabda baginda: (maksudnya) semoga mereka berdua diberikan keringanan selama ia masih belum kering (riwayat al-Bukhariy dan Muslim)… sebab ia khusus bagi Nabi , dengan dalil bukti yang mana, perkara ini tidak dilakukan oleh yang lain dari kalangan Salaf terutamanya para Sahabat  dan juga kerana perkara-perkara lainnya yang akan dijelaskan.

Kata al-Imam al-Khattabi  semoga Allah merahmatinya di dalam Ma‘alim as-Sunan (1/27) sebagai ulasan terhadap hadis ini:
“Ia adalah dari bab mengambil keberkahan daripada kesan peninggalan Nabi , beserta doa baginda  agar mereka berdua dikurniakan keringanan dan seolah-olah baginda  menjadikan tempoh kekalnya dahan, sebelum menjadi kering, sebagai batas waktu dilaksanakan permohonan baginda  meminta keringanan buat mereka. Itu tidak bermakna bahawa disebabkan adanya kelembapan (sebelum kering) pada kedua dahan, berkesan dalam meringankan azab, berbeza dengan dahan kering. Orang awam/kebanyakan di banyak negeri mencacakkan pelepah/dahan pokok di kubur-kubur mereka, menurut pandangan ku, mereka lakukan demikian dengan bersandarkan kepada riwayat ini, padahal tiada tepatnya apa yang mereka terjerumus di dalamnya (perbuatan tersebut) walau dari satu sudut pun”

Kata asy-Syeikh Ahmad Syakir  di dalam ulasan beliau terhadap kitab Imam at-Tirmidzi (1/103) selepas riwayat dan ulasan ini:
“Benarlah apa yang dikatakan oleh al-Imam al-Khattabi . Bahkan orang awam semakin bertambah teruk di dalam amalan ini, yang tiada asalnya (dari Syari‘at), melampaui batas dan berlebih-lebihan di dalamnya, terutamanya di negeri Mesir, bertaqlid (mengikut secara membuta) kepada kaum Nasraniy, sehingga menjadikan mereka meletakkan bunga-bunga di atas kubur, hadiah-menghadiahkannya di antara mereka dan orang kebanyakan meletakkannya di atas kubur kerabat mereka dan kenalan mereka, sebagai suatu penghormatan kepada mereka dan budi bicara kepada yang hidup. Malah sehingga menjadi seiras dengan suatu adat yang rasmi menurut protokol/tatasusila adat kenegaraan, maka anda dapati orang kenamaan dari kalangan muslimin, apabila mereka tiba di sebuah negeri dari negeri-negeri Eropah, mereka pergi ke perkuburan pembesar-pembesar mereka atau tugu peringatan askar-askar yang gugur/hilang dan meletakkan jambangan bunga atau menaburkan bunga-bunga, bahkan ada yang meletakkan bunga palsu, yang tentunya tiada kelembapan padanya kerana membuta tuli menuruti orang-orang Eropah/Perancis, menuruti adat tatacara mereka yang sebelum umat Islam  dan mereka tidak ditegur atau ditegah oleh ‘ulama’ yang seumpama orang kebanyakan, malah kamu boleh melihat mereka sendiri pun melakukannya, meletakkan itu semua di atas kuburan. Sungguh telah sampai kepada pengetahuan saya bahawa kebanyakan persatuan waqaf yang digelarkan waqaf khairiyah, tumpuan utamanya tertumpu pada penanaman dan pemeliharaan pokok-pokok kecil dan pokok-pokok bunga yang diletakkan di kuburan. Semuanya ini adalah bid‘ah dan kemungkaran yang tiada asalnya di dalam agama, tiada sandarannya kepada al-Kitab dan as-Sunnah, maka menjadi kewajipan ahli ilmu agar mengingkarinya serta melenyapkan adat-adat ini sedaya upaya mereka.”

Sambung asy-Syeikh al-Albaniy : Kesimpulan bahawa diletakkannya dahan di atas kubur itu adalah sesuatu yang khusus bagi Nabi  sahaja dan begitu pula keringanan dari azab itu berlaku bukan kerana lembap atau basahnya dahan tersebut, disokong oleh perkara-perkara berikut:
a. Hadis Jabir  yang panjang di dalam Sahih Muslim (8/231-236) yang terdapat padanya sabda baginda :
  إني مررت بقبرين يعذبان ، فأحببت بِشَفَاعَتِي أن يرد عنهما ما دام الغصنان رطبين   
“Sesungguhnya aku lalu di sisi kubur 2 orang yang sedang diazab, maka aku suka dengan syafa‘atku untuk mengelakkan azab dari mereka berdua selama kedua dahan ini masih basah/lembap (belum kering).”
b. Hadis Ibn ‘Abbas  sendiri (yang menjadi sebab timbulnya andaian yang membolehkan dilakukan oleh selain baginda ) menjelaskan: “Kemudian baginda membelah dahan itu menjadi 2 belahan…” yang mana sedia diketahui bahawa jika kekalnya keadaan dahan itu dalam keadaan tidak kering adalah maksud di sebalik perbuatan baginda , tentunya baginda  tidak akan membelah dahan tersebut, kerana membelahnya menjadikannya cepat kering. Maka telitilah ulasan ini, sebab ia suatu kesimpulan dari diri saya sendiri, belum saya temui nas atau Qiyas ini dari ‘ulama’. Jika ia ternyata benar dan tepat, maka ia dari Allah dan jika ia silap, maka ia dari kesilapan diri saya dan saya memohon ampunan atas setiap yang tidak diredhaiNya.
c. Sekiranya kelembapan/belum keringnya kedua dahan itu adalah suatu hikmah di sebalik perbuatan baginda , pastinya as-Salaf as-Salih telah menurutinya dan melakukannya. Seandainya mereka ada lakukan, tentunya itu telah sedia diketahui dari mereka dan telah diriwayatkan oleh para perawi terjamin kepada umat yang datang selepas mereka, sebab ia suatu perkara yang semestinya telah diriwayatkan dan dituntut untuk disampaikan. Maka apabila tiada suatu periwayatan pun, maka itu menunjukkan ia tidak berlaku dan mendekatkan diri kepada Allah dengannya adalah suatu bid‘ah dan telah jelaslah maksudnya.



 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts