Thursday, November 26, 2015

Mimpi bukan sandaran hujjah, bukan sumber aqidah, hukum atau amalan

Assalaamualaikum Ustaz,

Mohon Ustaz terangkan perkara-perkara berikut:  
" some are one of the forty six parts of prophecy" – sebahagiannya adalah satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian
Daripada riwayat ini:

Diriwayatkan oleh ‘Auf bin Maalik, semoga Allah meredhainya, bahawa Nabi sallallaahu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:
 “Mimpi ada tiga jenis, sebahagian daripada Syaitan untuk mengganggu anak Adam, sebahagiannya yang lain adalah hasil dari apa yang menjadi tumpuan fikirannya ketika ia sedar sehingga ia jadi mimpi dalam tidurnya dan sebahagian yang lain adalah satu bahagian/cabang daripada 46 bahagian kenabian.”
HR Ibn Maajah


Jazakallah khair.
Iskandar SDT


Wa 'alaykumussalaam wa rahmatulLaah,
Bismillaah walhamdulillaah was solaatu was salaam ‘alaa Rasuulillaah wa ‘alaa aalihi wa sohbihi wa man waalaah.

Amma ba‘du

Mengenai mimpi adalah 1 daripada 46 cabang atau bahagian kenabian,,,jawapannya telah diberikan melalui huraian yang baik oleh Imam al-Mubarakfuri dalam Tuhfat al-Ahwadzi ketika menjelaskan erti hadis ini yang ada juga diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi. – “Mimpi adalah satu cabang daripada kenabian”
Maksud 1 bahagian ialah kiraan masa. Nabi telah diutuskan selaku seorang Nabi selama 23 tahun. Yang mana jika dikalikan dengan 2 (multiply/darab) jadinya; 23X2=46. 
Sebelum mendapat wahyu, Nabi telah mendapat mimpi, mimpi seperti yg ada dalam riwayat al-Bukhariy...sinaran cahaya terang seterang mentari waktu pagi ketika baru timbul....dan itu berlaku selama 6 bulan. 

Jadi yang Nabi maksudkan dengan hadis ini adalah "wahyu". Mukmin sudah tidak boleh dapat bahagian yang itu sebab wahyu terputus dengan kewafatan Nabi. Yang tinggal bagi mukmin untuk mendapat khabar gembira daripada Allah adalah mimpi yang baik bagi orang mukmin yang akan menjadi "isyarat" baik daripada Allah...di samping ada juga mimpi yg buruk daripada Syaitan. Nabi sebelum menjadi Nabi, belum mendapat wahyu ketika dapat mimpi baik itu, iaitu sebelum mendapat perutusan perlantikan kenabian. Jadi Nabi misalkan yang itu mukmin masih boleh dapat sepertimana Nabi mendapatkannya ketika belum menjadi Nabi. Bila telah menjadi Nabi, baginda mendapat wahyu (yang tidak boleh diperolehi manusia selain nabi)
Anggaran 6 bulan itu Nabi jadikan sebagai "1" unit daripada "46" bahagian, yang mana 23 tahun kalau dikira dengan "6 bulan" =1 unit, jadinya ada 46 unit/bahagian. 

Maka batil lah dakwaan orang seperti Maulana Imran Hossein yang mengatakan "mimpi" boleh jadi penentu amalan dan kebaikan bagi mukmin secara mutlak kerana Imam Nawawi ada menegaskan bahawa 'ulama Ahli Sunnah menghukumkan bahawa mimpi tidak boleh dijadikan sandaran/sumber Syari'at...walaupun ia boleh jadi basysyaarah (khabar gembira daripada Allah) dan adakalanya boleh jadi mimpi buruk daripada Syaitan.

  وحدثنا سويد بن سعيد حدثنا علي بن مسهر قال سمعت أنا وحمزة الزيات من أبان بن أبي عياش نحوا من ألف حديث قال علي فلقيت حمزة فأخبرني أنه رأى النبي  صلى الله عليه وسلم في المنام فعرض عليه ما سمع من أبان فما عرف منها إلا شيئا يسيرا   خمسة  أو ستة.
 قال النووي رحمه الله في شرحه لذلك ما نصه : قوله إن حمزة الزيات رأى النبى صلى الله عليه وسلم  فى المنام فعرض عليه ما سمعه من أبان فما عرف منه الا شيئا يسيراً ,
  قال القاضى عياض رحمه الله: " هذا ومثله استئناس واستظهار على ما تقرر من ضعف أبان لا أنه يقطع بأمر المنام ولا أنه تَبطُل بسببه سنةٌ ثبتَت ولا تثبت به سنة لم تَثبُت. وهذا باجماع العلماء." هذا كلام القاضى, وكذا قاله غيره من أصحابنا وغيرهم فنقلوا الاتفاق على أنه لا يغير بسبب ما يراه النائم ما تقرر فى الشرع, وليس هذا الذى ذكرناه مخالفاً لقوله صلى الله عليه وسلم : (( من رآنى فى المنام فقد رآنى)) فإن معنى الحديث : أن رؤيته صحيحة وليست من  أضغاث  الاحلام وتلبيس الشيطان, ولكن لا يجوز إثبات حكم شرعى به; لأن حالة النوم ليست حالة ضبط وتحقيق لما يسمعه الرائى, وقد اتفقوا على أن من شرط مَن تُقبل روايتُه وشهادته أن يكون متيقِّظاً لا مُغفَّلاً ولا سيءَ الحفظ ولا كثير الخطأ ولا مختل الضبط, والنائم ليس بهذه الصفة فلم تقبل روايته لاختلال ضبطه.  هذا كله فى منام يتعلق بإثبات حكم على خلاف ما يَحكم به الولاة.
 أما إذا رأى النبى  صلى الله عليه وسلم يأمره بفعل ما هو مندوب إليه أو ينهاه عن منهيٍّ عنه أو يرشده إلى فعل مصلحة, فلا خلاف فى استحباب العمل على وفقه, لأن ذلك ليس حكماً بمجرد المنام, بل تقرر من أصل ذلك الشيء.  والله أعلم.

Di dalam (Kitab) Syarh Sahih Muslim (Sahih Muslim dengan ulasan atau komentar Imam  an-Nawawi): Juz.1 halaman 104: Bahagian Muqaddimah Bab 5. 

Kata Imam an-Nawawi: kata al-Qadi: “…Bukannya bererti ditentukan dengan perkara yang diperolehi daripada mimpi dan tidak pula dapat dibatalkan dengannya suatu sunnah yang telah tsabit dan tidak pula diisbatkan/disahkan dengannya satu sunnah yang tidak pernah sabit dan ini adalah dengan kesepakatan (Ijma‘) ‘ulama’.”

Inilah kesimpulan al-Qadi. Begitu jugalah yang dinyatakan oleh ‘ulama’ Madzhab asy-Syafi‘iyah dan selain mereka, yang telah menukilkan kesepakatan bahawasanya tidak berubah apa yang telah ditetapkan Syara‘ disebabkan sesuatu yang dilihat seseorang yang sedang tidur di dalam mimpinya dan apa yang kami sebutkan ini, tiada percanggahannya terhadap apa yang disabdakan oleh Rasulullah :
(( من رآنى فى المنام فقد رآنى))

“Barangsiapa yang melihat ku dalam mimpi maka ia telah melihat ku (seperti keadaan sedar/jaganya)” 
Sebab makna hadis ini adalah: penglihatan diri baginda adalah benar dan bukannya daripada mimpi-mimpi yang tiada ertinya atau permainan syaitan. Akan tetapi tidak diperbolehkan untuk mengisbatkan hukum Syara‘ dengannya, kerana keadaan tidurnya seseorang itu bukannya keadaan mantap (ingatan dan tumpuan) dan pengesahan etrhadap apa yang didengarnya dalam mimpinya. Sungguh mereka (‘ulama’) telah bersepakat bahawa di antara syarat penerimaan riwayat dan persaksian seseorang adalah bilamana ia sedar dan tidak leka, tidak lemah ingatan, tidak banyak kesilapannya (dalam periwayatan) dan tidak pula lemah kemantapan ingatan dan tumpuan.

Orang yang sedang tidur tidak bersifat demikian, maka tidak diterima periwayatannya kerana tidak mantap (ingatan dan tumpuan).…

Adapun jika ia melihat Nabi  menyuruhnya dengan sesuatu yang hukumnya mandub/sunnat atau menegahnya daripada sesuatu yang terlarang atau memberinya suatu panduan yang mengandung kemaslahatan, maka tiada perselisihan pendapat dalam galakan untuk melakukan apa yang sesuai dengannya, sebab yang demikian, bukannya satu hukum yang didapatkan semata-mata daripada mimpi, bahkan telah tetap ada asalnya. Wallahu a‘lam. [1]   

Demikianlah penjelasan al-Imam an-Nawawi  (631-676H) bahawa ‘ulama’ telah bersepakat mimpi tidak boleh dijadikan satu sandaran atau sumber dalam Syari‘at Islam. Adapun perkara yang telah ada dalam Syari‘at, maka jika Nabi  menegah daripada sesuatu yang terlarang dalam Syara‘ ataupun menggalakkan sesuatu yang telah sedia ada dalam perintah Syara‘, maka tiada salahnya untuk menuruti mimpi tersebut. Namun, daripada awalnya, seseorang itu perlu mengenali ciri-ciri Nabi  kerana Syaitan tidak boleh menyerupai Nabi , tetapi ia boleh menyerupai seseorang Arab misalnya selain Nabi  lalu mendakwa diri sebagai Muhammad  dan orang yang melihatnya, tidak mengetahui perawakan baginda  boleh terpedaya, menyangka yang dilihatnya adalah Nabi , semata-mata dengan dakwaan Syaitan tersebut. Oleh itu, perlu untuk seseorang itu memastikan yang dilihatnya di dalam mimpinya adalah sebenarnya Rasulullah , dengan ciri-ciri perawakan Nabi  yang ada diriwayatkan oleh para Imam Ahli Hadis dalam Kitab-kitab Hadis dan khususnya kitab-kitab Syama-il Muhammadiyah dan Dala-il an-Nubuwwah dengan periwayatan yang sahih. Demikian yang diberikan panduannya oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalaniy  (w: 852H), dengan dalil-dalil daripada ajaran Sahabat seperti Ibn ‘Abbas dan Tabi‘ien seperti Ibn Sierien iaitu perlu mengenali sifat Nabi[2].  
Apapun, tiada yang baru daripada zikir atau amalan ataupun hukum yang boleh diperolehi daripada mimpi kerana jika demikian, Syari‘at ini belum sempurna dan ini bercanggah dengan keterangan nas-nas Syari‘at antaranya, Firman Allah:
  
Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku redha Islam itu menjadi agama untuk kamu.”[3] 
Allah telah sempurnakan agama ini. Dakwaan adanya pertambahan melalui mimpi, ilham, kasyaf atau yaqazah adalah bertentangan dengan sifat sempurna agama yang disempurnakan Allah ini dan tidak menuruti ajaran para Sahabat. Malah boleh jadi hingga ke tahap menjadikan guru-guru yang didakwakan telah sampai ke peringkat wali atau memperolehi kasyaf atau dianugerahi ilham sebagai tuhan-tuhan selain Allah. Allah telah berfirman:

Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan - mana-mana bahagian dari agama mereka - sebarang ketetapan Syari‘at yang tidak diizinkan oleh Allah?…”[4]

Al-Imam asy-Syatibi  (wafat: 790H) menyebutkan:
Selemah-lemah hujah mereka (ahli bid‘ah) ialah puak yang dalam mengambil amalan agama bersandarkan mimpi-mimpi. Mereka ini berpegang atau meninggalkan sesuatu amalan berdasarkan mimpi-mimpi tersebut. 
Mereka berkata: “Kami bermimpi lelaki solih tertentu berkata kepada kami: Tinggalkan ini! buat ini”. Ini banyak berlaku kepada mereka yang mengamalkan panduan tasawwuf. Di kalangan mereka ada yang berkata: “Aku melihat Nabi   dalam mimpi, baginda berkata kepada ku begini..dan memerintah aku begini”. Lantas dia pun mengamalkannya dan meninggalkan apa yang ditetapkan oleh syari‘at. Ini adalah salah, kerana mimpi selain para nabi tidak boleh menghukum ketetapan syarak, dalam apa keadaan sekalipun. Melainkan setelah dibentangkan kepada hukum-hakam syariat yang ada. Jika dibolehkan, maka ianya diamalkan, jika tidak ianya ditinggalkan[5] 

Kata Imam Ibnul Qaiyim  (wafat: 751H) pula:
Barangsiapa yang menyangka bahawa ia tidak memerlukan apa yang dibawa (diajarkan) oleh Ar-Rasul dengan apa yang (kononya) diilhamkan kepada hatinya dari bisikan maka ia adalah di antara manusia yang terbesar kekufurannya. Yang demikian itu adalah kerana ia menyangka bahawa cukup baginya untuk adakalanya mengambil yang ini atau yang itu pada ketika lainnya. Padahal apa yang berupa bisikan di dalam hati tiada nilainya dan tidak perlu dinilai jika ia tidak dikembalikan (didasarkan) kepada apa yang diajarkan oleh Ar-Rasul dan yang pernah diterima atau disetujui oleh Ar-Rasul, jika tidak (disetujui atau diajarkan) maka ia adalah dari hawa nafsu dan dari syaithan[6] 
   



[1] Sahīh Muslim bi Syarhi al-Imām an-Nawawi.  Beirut: Dār al-Kutub al-cIlmiyah1415H/1995.
[2] Fath al-Bari: 12/400 – (K) 91: at-Ta‘bier (B)10: Man Ra-a an-Nabiy; hadis no: 6993-6997
[3] Al-Qur’an: Surah al-Ma-idah: 5:3
[4] Al-Qur’an: Surah asy-Syura: 42:21
[5] Al-I‘tisam karya al-Imam asy-Syatibi: 1/231-232 – bi tahqieq Saliem al-Hilaly - Dar Ibn ‘Affan, Arab Saudi, 1995/1416H
[6] Igha-tsat al-Lahafan: 1/123
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts