Wednesday, December 23, 2015

Yaqadzoh - jumpa Nabi secara sedar, jaga (bukan Mimpi), bukan hujjah Syar'iyah

Assalaamualaikum Ustaz,
Walhamdulillah, kini saya telah faham kedudukan mimpi dalam Syari'at Islam, agama kita, yang mana Mimpi itu tidak boleh dijadikan dasar kepada amalan, hukum apatah lagi i'tikad. Tetapi bagaimana pula berkenaan Yaqadzah yang pernah dijadikan sandaran pihak al-Arqam pada masa lalu dan masih disebut-sebut sebahagian Habib-Habib dan Asatizah? Bolehkah ini berlaku dan benarkah ia dapat dijadikan sandaran amalan?

Baarakallaah feek.
Iskandar SDT

Wa 'alaykumussalaam wa rahmatulLaah,
Bismillaah walhamdulillaah was solaatu was salaam ‘alaa Rasuulillaah wa ‘alaa aalihi wa sohbihi wa man waalaah.

Amma ba‘du

Walhamdulillaah kerana Allaah telah mengurniakan PetunjukNya kepada saudara sehingga saudara memahami dengan baik urusan agama ini dengan keterangan dan dalil-dalil daripada Syara' dan penjelasan 'Ulama' yang sebenar. Berbeza dengan sebahagian golongan Asatizah sekalipun, bukan hanya orang awam, yang masih keliru dalam hal seperti ini, malah seperti yang saya contohkan, yang bergelar "Maulana".

Untuk menjawab soalan saudara ini, saya paparkan sedutan fatwa pihak Jakim, yang menjelaskan penyelewengan pihak al-Arqam dan sesiapa sahaja yang berhujjah dengan Yaqadzah. Di samping itu, saya paparkan juga apa yang dinyatakan pihak al-Arqam sendiri, supaya jelas bahawa ia bukan sesuatu yang diada-adakan oleh pihak lain, malah memang sebenarnya kepercayaan al-Arqam sendiri::



Berikut ini, paparan sedutan daripada Buku “Aurad (wirid-wirid) Muhammadiyah (Muhammad as-Suhaimi)” - pegangan golongan al-Arqam karangan Pengasas dan Ketua Jemaah al-Arqam sendiri. Bukan tujuannya dipaparkan di sini untuk dikaitkan dengan peribadi "Syeikh Suhaimi". Ini semua adalah yang dikatakan dan didakwakan oleh pihak pengarang mengenai susuk peribadi Syeikh Suhaimi. Sebagaimana halnya berbagai dakwaan batil yang dikaitkan dengan peribadi mulia Syeikh Abdul Qaadir al-Jielaaniy (al-Jailani) yang Imam adz-Dzahabi (wafat: 748H) tegaskan kebanyakannya DUSTA, seperti kisah Syeikh boleh terbang seperti "superman", boleh dengar suara anak murid minta tolong beribu batu jauhnya dan lain-lain lagi:





   

Perhatikan wahai Saudara yang bertanya dan juga sidang pembaca yang budiman, yang mencari keredhaan Allah dengan berusaha sentiasa mengikuti kebenaran. Pada halaman 31 ini, menurut dakwaan pengarang, dengan 40 hari berkurung di dalam bilik, tidak menghadiri Solat Fardhu di Masjid, malah tidak pula tunaikan Fardhu Jumaat, "kemudian ia singgah di sebuah masjid yang ada TIDAK BERAPA JAUH dari rumah guru itu...orang-orang yang sedang berwudhuk atau sedang bersembahyang...kepalanya berupa kera...kambing...anjing...babi,". 

Ilmu Kasyaf apa yang didapatkan dengan percanggahan terhadap hukum Syari'at ajaran Rasulullaah, yang mewajibkan Solat Jumaat???  Malah tiada satu orang alim pun kecuali ia menyatakan berdasarkan keseluruhan dalil-dalil yang ada, bahawa Solat Fardhu berjemaah dituntut atas kaum lelaki, samada dengan tuntutan wajib atau sunnat muakkadah. Bahkan orang yang mengikuti Syari'at, yang ke Masjid berwudhuk dan bersembahyang, dicelanya. Itulah sebabnya golongan seperti ini, yang berhujjah dengan Mimpi, Kasyaf, Ilham dan Yaqadzoh, amat memusuhi 'Ulama' Syari'at dan menganggap Ilmu Syari'at dan berhujjah dengan al-Quran dan as-Sunnah serta ajaran para Sahabat dan 'Ulama yang mengikuti ajaran Sahabat (yang dikenali sebagai 'Ulama Syari'at - antaranya keempat-empat Imam Madzhab yang termasyhur; Abu Hanifah, Maalik, asy-Syaafi'ie dan Ahmad bin Hambal rahimahumullaah) sebagai Ilmu Kulit. tetapi mereka selalu menjadikan alasan, kita hormati 'ulama' yang hebat-hebat...padahal yang mereka maksudkan golongan seperti ini...hebat dengan Kasyaf, Mimpi, Yaqadzoh dan Ilham, yang sebenarnya bukan 'ulama pada hakikatnya.

Misal yang ada pada zaman ini, orang seperti ini mendakwa Rasulullah yang telah wafat, yang kini hidup di Alam Barzakh, mendatangi Majlisnya. Nilaikanlah dengan sandaran Syara', dengan akal yang waras yang Allah kurniakan kepada kita, siapakah orang ini, sehingga Rasulullah datang kepadanya? Apakah kedudukannya, Ilmunya, Amalnya, Akhlaqnya, pemeliharaannya pada Hukum-hukum Allah, sehingga Maqamnya lebih tinggi daripada Abu Bakar dan 'Umar atau khulafa' lainnya? Lebih hebat daripada semua para Sahabat yang Agung dan para Imam Mulia seperti Imam 4 Madzhab dan lainnya. Kenapa? Sebab mereka itu semua tidak "didatangi atau dikunjungi Rasulullaah" setelah wafatnya baginda. Mereka terpaksa mengkaji segala ajaran peninggalan Rasulullah untuk mendapatkan hukum-hukum sehingga merantau mencari Ilmu. Tiada yang mendakwa, Rasulullah datang kepadanya sehingga mudah sahaja ia dapatkan hukum yang berbagai dengan bertanya kepada baginda. Para Sahabat juga tidak perlu berselisihan seperti riwayat perselisihan 'Umar dan Abu Bakar ketika Pemerintahan Abu Bakar dalam memerangi Golongan yang enggan membayar Zakat, pengumpulan catatan al-Quran dalam satu Mushaf dan lain-lain. Sudah tentu mereka akan hanya perlu tunggu saat Rasulullah kunjungi mereka dan bertanya itu dan ini kepada Rasulullah (sollaallaah 'alaihi wa sallam)  
Lihat 0:40 hingga 0:50 kemudian 6:45 ke atas:

Percanggahan terhadap Syara':
Lihat 0:20:

Mereka juga akan "berkempen" mencela golongan 'Ulama yang memahami nas-nas secara Zahir sebagai "batu loncatan" untuk mereka menegakkan pegangan mereka yang sentiasa pula meninggalkan yang Zahir dengan mengambil yang Batin. Sesiapa yang mempelajari Ilmu Usul Fiqh akan mengetahui bahawa yang Zahir didahulukan daripada yang "ditakwilkan" atau yang tersirat. Itu secara Dasarnya, sedangkan mereka ini, bukan menurut Usul Fiqh, tetapi "Hakikat" dan Batin yang sebenarnya Batil, seperti Kasyaf yang dipaparkan tadi. 

Di antara tandanya dikenali mereka ini, yang berpegang dengan Hakikat dan Batin, dalam ceramah atau penyampaian mereka, kurang sekali mereka membawakan dalil-dalil al-Quran dan as-Sunnah dan penjelasan 'Ulama' terhadapnya, malah lebih banyak mendatangkan kisah-kisah ajaib golongan wali-wali. Begitu juga dengan pencarian Ilmu sebenar. Mereka lebih menjadikan jemaah sibuk dengan Zikir-zikir dan wirid-wirid yang sepatutnya adalah amalan peribadi, seperti yang dicontohkan Rasulullah dan para Sahabat serta ditegaskan oleh para Imam, berbanding pengajian Ilmu-ilmu Syari'at dan memperdalaminya dengan menjadikan "amalan" itu seperti jaminan ke Syurga dan jalan pintas kepadanya, walhal Allah telah mensyaratkan bahawa kecintaanNya dan AmpunanNya hanyalah dengan mengikuti Rasulullaah (sila rujuk ayat 31 Surah Ali-'Imraan). Lalu bagaimana pula dapat diikuti ajaran Rasulullah jika tidak disibukkan diri dengan Sunnah iaitu hadis-hadis Rasulullaa? Lanjutan dari itu, bagaimana mungkin diketahui yang benar daripada hadis-hadis, sehingga yakin benar ia adalah ajaran Rasulullah bukan dusta rekaan orang yang mengaitkannya dengan peribadi mulia dan agung Rasulullaah, kalau tidak dipelajari Ilmu berkenaan hadis dan cara-cara memastikan yang benar daripada yang batil/dusta? Itulah yang diperjuangkan 'Ulama Syari'at seperti para Imam Ahli Hadis, antaranya Imam-imam Maalik, Ahmad, asy-Syaafi'ie, al-Bukhaariy, Muslim dan ramai lagi.         



Akhir paparan sedutan daripada buku Aurad Muhammadiyah.

Jelas bagaimana kepercayaan kepada MIMPI, YAQAZOH, ILHAM atau KASYAF sebagai satu sumber Syari‘at dan pergantungan kepadanya sebagai penentu hukum, i‘tiqad dan amalan secara bebas adalah kesesatan dan penyelewengan yang nyata.

Golongan yang berpandukan dan berpegang dengan MIMPI, YAQAZOH, ILHAM atau KASYAF, seringkali menggunakan hadis berikut ini sebagai hujjah bahawa kononnya Agama Islam terbahagi kepada 2, Syari'at dan Hakikat atau Zahir dan Batin atau Kulit dan Isi, yang diketahui orang kebanyakan dan yang diketahui Ahli Khawaas, Ahli Suluuk dan yang sepertinya. Padahal pembahagian agama kepada 2 bahagian sedemikian adalah penyelewengan semata-mata. Begitu pula kepercayaan pada orang-orang "istimewa" yang kononnya telah sampai derajat atau maqam, sehingga boleh lihat Nabi secara sedar jaga atau Nabi datang kepadanya pada zaman ini adalah pintu penyelewengan ini. Berikut penjelasan al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalaaniy:   

Ketika menjelaskan hadis ini (Hadis no: 120 Sahih al-Bukhaariy- Fathul Baari: 1/216):

عن أبي هريرة قال: حَفِظتُ مِن رسولِ الله وِعَاءَيْن: فأما أَحَدُهما فبَثَثْتُه و أما الآخر فلو بثثتُه قُطِع هذا البُلْعوم

“Daripada Abu Hurairah katanya: Aku telah menghafaz daripada Rasulullah  2 bekas simpanan: salah satu daripadanya telah aku sebarkannya manakala yang satu lagi, jika aku sebarkannya, akan dipenggal leher ku ini”

Al- Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalaniy  menukilkan kata-kata Ibn al-Munier: 
Golongan al-Batiniyah menjadikan hadis ini suatu pengantara untuk menegakkan kebatilan mereka, bilamana mereka mengi‘tiqadkan bahawa Syarie‘ah (ajaran agama Islam) ini ada yang zahir dan ada yang batin, padahal yang batin itu sebenarnya adalah penyelewengan dari agama ini semata-mata. (Maksud “bekas yang satu” lagi adalah hadis-hadis berkenaan Pemerintahan zalim bermula tahun 60 Hijriyah dan perlantikan ketua-ketua yang masih anak muda –seumpama pemerintahan boneka yang diterajui oleh golongan zalim – ringkasan daripada penjelasan Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalaniy)  

Semoga dengan penjelasan ini semua, kita menjadi golongan yang menuruti ajaran Ahli Sunnah wal Jama‘ah yang sebenarnya, yang sejati, bukan dengan dakwaan palsu, dengan kita menghindari diri dari berhujjah dengan MIMPI, YAQAZOH, ILHAM atau KASYAF atau mengikutinya.

Wallahu  a‘lam. 
Wallahu Waliyut Taufieq.
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts