Friday, May 6, 2016

Nikah Sirri (Rahsia) dan Nikah tidak berdaftar apakah sah dalam Islam?

Persoalan:
Apakah Nikah secara rahsia dinilai Nikah yang bersesuaian hukum Syara'?
Bagaimana pula dengan Nikah yang tidak didaftarkan di Singapura, tanpa pengetahuan ROMM, samada pernikahannya dilakukan di luar negeri atau di dalam negeri? Ada pihak yang mendakwa bahawa "pendaftaran pernikahan" tidak termasuk syarat atau rukun Nikah yang sah atau Syar'i, malah ada yang mendakwa bahawa "pendaftaran pernikahan" adalah bid'ah yang tiada pada zaman Nabi dan bukan pula ajaran para Imam Madzhab.

[Persoalan yang digabungkan daripada pertanyaan dan cerita Abang AB dan para peserta Kelas Mingguan MKS serta pengalaman peribadi berhadapan pihak-pihak yang bernikah sedemikian]

Penjelasan:
Bismillaah. Walhamdulillaah was solaatu was salaamu 'alaa Rasulillaah wa 'alaa aalihi wa sohbihi wa man waalaah,
Amma ba'd,

Pertama: Nikah Sirri yakni Nilah yang dirahsiakan.
Sedia dimaklumi oleh kaum muslimin, seluruh pelusuk Dunia Islam bahawa pernikahan hendaklah disusuli dengan walimah jamuan makan yang bertujuan meraikan pernikahan tersebut dan sekaligus sebagai pengisytiharaan kepada masyarakat bahawa kedua mempelai, pengantin lelaki dan perempuan, telah diijabkabulkan sebagai pasangan suami isteri yang sah. Malah, secara naluri, bila disatukan 2 insan, pasangan lelaki dan wanita melalui pernikahan atau perkahwinan, pastinya ia saat yang menggembirakan bagi manusia, khususnya keluarga dan kaum kerabat kedua-dua pengantin serta terbitnya harapan, kebahagiaan hingga ke akhir hayat bagi kedua-dua pasangan serta kelahiran zuriat, yang tentunya diraikan. Malah ada yang sanggup berbelanja besar untuk meraikannya. Ini bukan sahaja ada dalam Islam, ia amat bersesuaian dengan naluri manusia secara fitrah, sehinggakan masyarakat manusia sedunia, tidak kira apa bangsa dan agama, umumnya meraikan dan memeriahkan suasana sempena penyatuan pasangan pengantin lelaki dan wanita.

Adapun daripada sudut hukum, menganjurkan walimah adalah wajib.

Antara dalilnya; perintah Rasulullah (sollalLaahu 'alaihi wa sallam) kepada 'Abdur Rahmaan bin 'Auf (radhiyalLaah 'anhu):
"Buatlah Walimah jamuan makan walaupun dengan seekor kambing (hidangan jamuan itu dibuat)" [Hadis riwayat al-Bukhariy]
maksudnya walaupun tidak dapat buat jamuan besar-besaran, jangan sampai tidak dibuat walimah. Namun bukan pula maksudnya asal sahaja buat walimah, misalnya dengan hanya hidangan seekor ayam dan dihadiri hanya 2 atau 3 orang tetamu jemputan kerana itu tentunya tidak mencapaikan tujuan di sebalik walimah iaitu "mengiklankan pernikahan".




Maka bukan soal hidangannya hebat tetapi soal "mengiklankan" pernikahan dan mengelakkan fitnah "tuduhan khalwat", "bersekedudukan", "bergaul tanpa batas dengan bukan mahram", yang timbul bilamana masyarakat tidak dimaklumkan kedua pasangan itu suami isteri yang sah. Islam amat memelihara batas-batas pergaulan lelaki dan wanita dan segala fitnah yang berkenaan dengannya, sehingga tidak layak dikatakan bahawa Nikah layak atau boleh dirahsiakan. Sebagaimana dasarnya dalam jual beli yang diajarkan Islam, adalah dielakkan apa jua pertelingkahan dalam urusan muamaalat sesama manusia apatah lagi sesama masyarakat Islam agar masyarakat rukun damai dan tidak bermusuhan yang berpunca dari urusan jualbeli mereka. Begitu jugalah dasarnya dalam hal hubungan lelaki dan wanita yang bukan mahram adalah Haram dan wujudnya Fitnah, maka bilamana ia menjadi halal dengan pernikahan, semestinya diiklankan dan dimaklumkan kepada umum masyarakat.

Hikmah ini amat jelas difahami daripada hadis berikut:
"Pemisah antara yang halal dengan yang haram adalah bunyi duf (sejenis alat paluan seperti rebana)"  [HR an-Nasa-i dan lainnya. Hadis berderajat Hasan - sila lihat Aaab az-Zifaaf: 167 cetakan Media Hidayah - terjemahan]
maksudnya, asal hubungan lelaki dan wanita adalah haram dan bila telah bernikah menjadi halal serta di antara petanda nyata telah halalnya hubungan di antara mereka berdua adalah dengan diadakan majlis keramaian yang diisikan dengan paluan duf dan syair-syair kegembiraan yang mewujudkan suasana meriah ketika walimah.

Justeru itu, layakkah dikatakan bahawa Nikah yang dirahsiakan bertepatan hukum Syara'? Tentunya ia mencanggahi Syara'. Nikah Sirri (yang dirahsiakan senyap-senyap bukan Nikah Syar'i (bersesuaian hukum Syara'). Adapun "Nikah gantung" tetap digalakkan diadakan walimah walau kecil-kecilan, malah tujuan utama daripada "Nikah Gantung" adalah mengelakkan Fitnah dan sebenarnya lebih merupakan perjanjian antara pengantin lelaki dan Wali pengantin perempuan.
Malah yang diketahui, golongan yang merahsiakan pernikahan adalah golongan-golongan yang batil, seperti pihak yang menghukumkan sah Nikah Batin, Nikah Mut'ah dan yang sepertinya. Golongan yang memelihara kebaikan masyarakat dan agamanya tidak akan melakukan perkara seperti ini dan tidak pula untuk terlibat dengannya.

Kedua: Nikah yang tidak didaftarkan.
Benar, dari satu sudut, selama Nikah itu cukup rukun-rukun serta syarat-syaratnya, itulah Nikah yang sah sama seperti yang diajarkan oleh Rasulullah dan 'Ulama terdahulu.
Namun dari sudut yang lain, adalah daripada tuntutan Maslahah Mursalah, diwajibkan dan dipatuhi tuntutan pernikahan itu didaftarkan, bilamana masyarakat umat Islam negeri tersebut dan pihak berwenangnya menguatkuasakannya.
Maslahah Mursalah adalah:
al-Istislah adalah:
"ترتيب الحكم الشرعي في واقعة لا نص فيها و لا إجماع ، بناء على مراعاة مصلحة مرسلة "
Ertinya: “Mengenakan/aplikasi hukum Syara‘ pada suatu kejadian/perkara semasa, berdasarkan kemaslahatannya (مصلحة مرسلة) yang diambil kira (sebagai penentu), yang mana, tiada nas dan tidak pula Ijma‘ berkenaan dengan (hukum) perkara itu”

Maslahah pula adalah:
Manfaat yang  menjadi matlamat asy-Syari‘ al-Hakiem (Allah Yang Maha Bijaksana selaku Penentu Syari‘at) bagi para hambaNya adalah manfaat dari sudut Pemeliharaan Agama, Nyawa, Akal, Keturunan/Maruah dan Harta mereka. Justeru itu, apa yang menjamin dan mencapaikan 5 perkara pokok/utama ini maka ia adalah Maslahah dan apa sahaja yang menghilangkan atau menyelisihi 5 perkara ini dinilai sebagai mafsadah (keburukan dan lawan kepada Maslahah) serta penghindaran daripadanya, yakni mafsadah itu, adalah satu Maslahah juga. Kelima-lima ini adalah daripada tingkatan “ad-Daruriyat”.

Dalam hal Nikah yang didaftarkan, maka Pendaftaran Pernikahan adalah sesuatu yang dituntut Syara' kerana ia mencapaikan matlamat Syara' dalam Memelihara Maruah seorang wanita terutamanya. Oleh itu, di sisi 'Ulama', ia adalah perkara yang wajib lagi dituntut Agama Islam dan tidak mendaftarkan pernikahan adalah Mafsadah atau keburukan yang Agama Islam memerintahkan agar dihindari daripada berlaku.

Kita ambil beberapa contoh untuk memahami pernyataan tadi mengenai "Pendaftaran Pernikahan adalah wajib dengan penilaian prinsip Maslahah Mursalah (sila rujuk kajian mengenai masolih).

Contoh 1:
Seorang wanita bernikah dengan seorang lelaki, dinikahkan oleh bapa wanita itu, disaksikan sebahagian jemaah Umrah (2 orang selaku saksi utama), dengan pembimbing jemaah (iaitu si Ustaz) menjadi "naib kadinya" dan dilakukan di sisi Ka'bah, tetapi tidak didaftarkan secara rasmi di Mekkah. Tiada pendaftaran langsung, hanya persetujuan bersama kesemua pihak. Sejurus selepas Nikah, semasa di Mekkah, mereka duduk sebilik, bergaul dan tidur sebagai suami isteri. Sekembalinya daripada Umrah, kembali ke Tanah air Singapura, "pengantin lelaki" menafikan ada apa-apa hubungan suami isteri dengan wanita "pengantin perempuan". Tiada apa bukti yang dapat mensabitkan lelaki itu adalah "suami"nya. Maruah seorang wanita dalam kes ini, tidak dapat dipelihara atas perbuatan durjana lelaki tersebut yang mengambil kesempatan. Maka apakah ada "berkahnya" Nikah di sisi Ka'bah seperti ini? Wanita "pengantin perempuan" itu tidak jadi hamil daripada hubungan jenisnya dengan "suami"nya, namun kehormatan dirinya, maruahnya, telah tergadai dinodai.

Contoh 2:
Seorang lelaki menikahi seorang wanita sebagai isteri kedua dengan pernikahan yang dijalankan dengan adanya wali wanita tersebut, dua orang saksi malah kaum kerabat turut hadir seperti Nikah yang biasa, namun "Tok Kadi"nya adalah Tok Kadi yang diistilahkan "Tok Kadi bawah meja" tidak berdaftar, tidak mewakili pihak berwenang iaitu ROMM dan bukan yang terlantik, yang tidak di'iktiraf. Ini dilakukan di Singapura, bukan luar negeri. Setelah beberapa bulan mereka bernikah dengan cara tidak berdaftar, mereka berdua, si suami isteri, memutuskan untuk tidak meneruskan kehidupan mereka sebagai suami isteri. Mereka bercerai dengan tanpa diketahui pihak lain, hanya mereka berdua. Bukankah ini akan menyebarkan satu keburukan besar dalam masyarakat, mengenai siapa suami atau isteri seseorang, sedangkan hukum Islam amat menitikberatkan penjagaan keturunan, agar terpelihara nasab. Bilamana pendaftaran pernikahan bagi masyarakat Islam diwartakan, dijadikan undang-undang dan peraturan, maka daripada Maslahah Mursalah, pernikahan wajib didaftarkan.

Contoh 3:
Seorang lelaki miskin lagi tidak berkemampuan untuk berpoligami kerana keluarga (anak-anak dan isteri) pertamanya lagi sudah cukup menjadi beban tanggungan yang ia terkial-kial untuk penuhi keperluan mereka. Mendapat pelawaan "durian runtuh" seorang wanita kaya raya yang berhasrat bercerai dengan suaminya, kerana wanita itu mengidamkan apa yang diistilahkan orang barat sebagai "cougar" (wanita berumur mencari pasangan lelaki yang muda) bergabung rencana dan berjanji untuk menikahinya sebaik selesai tempoh iddah perceraiannya dengan suaminya. Si wanita mahukan suami baru yang muda dan si lelaki memang bercita-cita kuat untuk berpoligami lagi mahukan harta dan ini "pucuk dicita, ulam mendatang" lagi "tidak bertepuk sebelah tangan".

Ini jelas mencanggahi Firman Allah: "Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam idah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan mereka). Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau mengingati) mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka di dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis idah yang ditetapkan itu. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaanNya, dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar." Surah al-Baqarah: 235

Malah ada pula yang saya dengar berhujjah, baik pihak lelaki mahupun wanita: "Seperti Nabi dan Khadijah...suami muda isteri tua", "Nabi kata: Wanita dinikahi atas 4 sebab atau perkara; kecantikan dan antaranya HARTA" dan lain-lain lagi.
Akhirnya, mereka bernikah di "Golok" atau di "Batam" (kerana mungkin tidak tahu adanya "servis"/khidmat "Kadi bawah Meja" di Singapura).
Segala harta milik wanita kaya itu bertukar tangan dengan pemilikan yang sah kepada lelaki itu sebagai "pemberian sukarela -out of goodwill", kemudian "habis manis hampas dibuang", wanita itu diceraikan, tanpa ada pendaftaran pernikahan dibuat di Singapura. Ini tidak tercapainya pemeliharaan Harta selain pemeliharaan maruah wanita tersebut. Mungkin bagi isteri pertama lelaki itu, mungkinkah ini "kemanisan madu" - dimadukan sebentar untuk mendapatkan kekayaan melalui perencanaan licik si suami?

Saya secara peribadi, pernah didatangi bukan seorang anak muda (lelaki), meminta saya menjadi "Kadi atas meja" jika bukan "bawah meja", namun saya jelaskan kepada mereka, Pendaftaran Pernikahan adalah wajib dan tuntutan Syara' dan saya tidak berkelayakan menikahkan sesiapa pun kerana bukan "Naib Kadi" yang mewakili ROMM. Saya dituduh anak muda yang sudah tidak dapat menbendung keinginan bernikah tetapi berhalangan daripada pihak keluarganya atau keluarga gadis idamannya sebagai "Ahli Bid'ah".

Malah saya juga pernah mendapat undangan walimah, yang mana si bapa pengantin perempuan yang mengundang saya menyatakan bahawa pernikahan anaknya tidak didaftarkan kerana "bukan ajaran Nabi atau bukan ajaran Islam". Saya perjelaskan kepadanya, namun ia tetap menganggapnya batil sedang beliau bukan dari kalangan golongan yang dikenali sebagai "Salafi" atau "Wahhabi"....anggota jemaah yang menitikberatkan "Sunnah India, Pakistan dan Bangladesh". Saya tidak menghadiri walimah tersebut kerana dari sudut pandangan ilmu saya yang cetek, ia adalah Walimah Pernikahan Batil...melainkan kalau saya tidak diberitahu dan tidak tahu menahu mengenainya.

Semoga Allah memelihara masyarakat kita, apatah lagi golongan Asatizahnya daripada gejala merosak Maruah, mafsadah besar ini. Allaahumma Ameen.
Wallahu a'lam bissowaab.
Selawat dan salam atas Junjungan Nabi Muhammad dan atas keluarga baginda, para Sahabat dan para pengikut setia baginda dengan sebaik-baik ikutan hingga Hari Kiamat.
Walhamdulillaah Rabbil 'Aalameen.

Perhatian:
Apa yang saya maksudkan dalam tulisan ini adalah lebih berkenaan mereka yang mencari jalan yang tidak lurus dalam hal pernikahan iaitu nikahnya yang dirahsiakan maka tidak diadakan walimah seperti yang dituntut Syara' malah lebih kepada ikutan hawa nafsu. Bukannya dimaksudkan pada golongan yang nikahnya rasmi dan sah, berdaftar di negeri lain, cuma tidak didaftarkan di Singapura kerana pasangan tersebut tidak bercadang tinggal di Singapura lagi. Biasanya, mereka ini tidak merahsiakan pernikahan mereka dan diadakan walimah dan bukan dirahsiakan. 
Semua contoh yang saya berikan adalah Nikah yang tidak rasmi, tidak berdaftar di negeri mana pun dan ada pula yang tidak cukup rukunnya, seperti ketiadaan Wali sebenar bagi pihak pengantin perempuannya.
Keadaannya lebih untuk semata-mata si kedua "mempelai", pasangan bercinta, "menghalakan" apa yang terlarang. 
Pernah ada seorang teman berikan permisalan ini bagi orang yang bernikah ke Golok sempadan Thailand atau lainnya, agar Wali Hakim yang menikahkan, iaitu dengan menjadikan wali sebenar pihak wanita itu "tiada"...katanya: "macam orang yang hendak sangat makan babi, maka diseret babi tu sampai ke suatu tempat yang tiada makanan lain, lalu dia sembelih dan makan BABI itu.

Wallaahu a'lam.
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts