Thursday, May 26, 2016

Nikah Sirri (Rahsia) dan Nikah tidak berdaftar...Soal & Jawab

Sambungan...ternyata ada pihak yang mungkin terlibat dengan Nikah secara rahsia dan tidak didaftarkan, membuat sanggahan melalui beberapa soalan:

Soalan 1:
Zaman Nabi Muhammad, mana ada pendaftaran ini semua? Malah zaman nenek moyang kita pun tiada pendaftaran pernikahan. Bagaimana mungkin dikatakan pendaftaran itu wajib? Apakah jika demikian, nikah mereka pada zaman Nabi dan datuk nenek moyang kita tidak sah?

Jawapan:
Pertama sekali, kenapa persoalannya tentang zaman Nabi Muhammad dan zaman nenek moyang kita sebab soalan ini, mirip soalan pengikut ajaran nikah batin yang akan berhujjah Nabi Adam nikah tiada saksi dan Hawa tiada wali, nikahnya sah?
Samalah hujjah orang yang merahsiakan perkahwinan lalu berhujjah zaman Nabi dan datuk nenek moyang kita tiada pendaftaran, untuk menghalalkan nikah sirri. Nanti ada yang berhujjah bahawa kita ini semua anak Adam ke anak haram, bila Nabi Adam nikah tanpa wali dan saksi?

Tentunya kita tahu, pada zaman Nabi Adam, tiada sesiapa manusia lain yang dapat dijadikan saksi dan Hawa pula ciptaan Allah yang tidak berbapa. Selaku umat Islam, umat Nabi Muhammad, kita berhukum dengan Syari'at Nabi Muhammad dan bukannya Syari'at Nabi Adam. Pada zaman Nabi Adam, pernikahan Nabi Adam dan Hawa, Allah yang halalkan dan begitu pula perkahwinan antara adik beradik.
Syari'at Nabi Muhammad menetapkan Nikah dengan "لا نكاح إلا بولي و شاهدي عدل" ertinya: "Tiada nikah (yang sah, kecuali dengan adanya wali (bagi wanita) dan 2 orang saksi yang dipercayai" (Sahih al-Jaami' as-Saghier: 7557).


Dalam hal mendaftarkan pernikahan pula, maka ia adalah daripada Masolih Mursalah yang diajarkan Syari'at. Sebagaimana pada zaman Nabi hidup, alQuran tidak dijadikan dalam 1 mushaf, namun pada zaman Abu Bakar dijadikan dalam 1 mushaf kerana adanya keperluan memelihara agama ini, sumber hukumnya dan ajarannya yang terutama, yakni pemeliharaan al-Quran.
Dalam hal pendaftaran, pemeliharaan nasab dan maruah melaluinya akan tercapai, maka ia dituntut agama dan tidak boleh dibalikkan pada zaman dahulu yang belum memerlukannya atau disebabkan sarana yang tiada ketika itu. Lagipun masyarakat terdahulu, cukup dengan diadakan walimah sehingga 1 kampung kenali pasangan pengantin baru tersebut. Maka apa pula hujjah orang yang rahsiakan nikahnya dan tiada walimah untuk mengiklankan nikahnya? Dari awal, apa masalahnya sehingga nikah itu hendak dirahsiakan?

Seumpama orang ramai dan pentadbir negara binakan jembatan untuk memudahkan orang ramai seberang sungai untuk ke Masjid. Tapi ada orang tidak senang dengan pembinaannya lalu berusaha untuk merobohkan jembatan, dengan alasan atau hujjahnya, Nabi tidak pernah bina jembatan dan nenek moyang kita dulu guna perahu dan sampan untuk ke Masjid itu. Orang yang bina jembatan dan menggunakannya lebih betul atau orang yang berkeras naik perahu dan tidak suka adanya jembatan dan cuba merobohkannya di pihak yang benar? Pendaftaran pernikahan ini untuk mencapaikan maksud Syara' dalam pemeliharaan nasab dan maruah masyarakat, mengapa pula tidak disukai dan dicanggahi?

Soalan 2:
Pendaftaran ini perkara baru yang diperkenalkan pihak Pemerintah, tiada kena mengena dengan agama, lebih pada urusan pentadbiran. Patutkah yang diperkenalkan Pemerintah dikaitkan dengan agama?

Jawapan:
Pihak yang mempertahankan "tidak perlu mendaftarkan pernikahan" atau membela diri dalam pada ia "merahsiakan" perkahwinannya, akan memandang kononnya hanya pihak Pemerintah yang menetapkan pendaftaran. Namun, kita dapati, dalam pada pihak seperti ini tidak menyetujui malah menentang ketetapan Pemerintah, kita katakan padanya: apabila Pemerintah mewajibkan ambil IC, anda pun patuh ambil IC. Bila Pemerintah mewajibkan ambil lesen memandu, awak ambil lesen memandu dan sanggup lalui ujian untuk mendapatkan lesen. Secara zat, itu semua tidak disuruh agama, hanya urusan pentadbiran dan Pemerintah yang perintahkan. Tapi peliknya, bila hal nikah, Pemerintah suruh awak "ambil lesen" dan "daftarkannya", awak kata: "itu suruhan Pemerintah tidak usah patuh". Padahal yang ini ada suruhan agama padanya kerana terkait hal nasab dan maruah. 

Perbuatan awak adalah seumpama orang yang merobohkan tiang lampu trafik atau mematikannya dengan hujjah, zaman Nabi tiada lampu trafik. Benar zaman Nabi tiada lampu trafik dan unta pun kalau tidak pernah, mungkin jarang sekali "accident". Orang yang menolak wajibnya pendaftaran kerana mahu nikah secara sembunyi-sembunyi dan rahsia, sama perumpamaannya dengan orang yang tidak mahu adanya "traffic light" pada zaman sekarang.

Soalan 3:
Pendaftaran pernikahan ini bukanlah suatu perkara yang disetujui semua 'ulama'? Selagi ada perselisihan bukan, sepakat semua 'ulama', kita ada ruang ikut pendapat lain.

Jawapan: 
Sebenarnya, pihak yang merahsiakan pernikahan dan tidak mendaftarkannya, hanya beralasan bahawa perkara ini "perselisihan pendapat 'Ulama', perkara "khilafiyah" kerana yang menjadi ikutannya, sebenarnya, bukannya pendapat 'ulama' tetapi hawa nafsu. Sikap ini memang wujud di kalangan mereka yang ingin ikut asal ada pendapat, meskipun pendapat itu batil, tiada dalil malah mencanggahi dalil. Mengatasnamakan ikutan hawa nafsunya sebagai "mengikut 'ulama'" padahal tiada seorang alim ahli taqwa yang izinkan sesiapa pun untuk  mengikuti pendapat yang mencanggahi dalil.

Jika kita meneliti dengan sebaiknya, kita tentu menyedari bahawa pasangan yang bernikah secara nikah sirri dan tidak berdaftar, tidak dapat sama sekali pergi Haji atau Umrah sebagai pasangan suami isteri sebab pihak Saudi, Kementerian Hajinya yang dinasihati 'Ulama, mensyaratkan adanya sijil nikah untuk mensabitkan pasangan suami isteri yang sah. Bermakna syarat ini dikenakan pada semua umat Islam sedunia.

Selain itu, negara jiran, seperti Malaysia, Indonesia dan lain-lain, semuanya ada pendaftaran ini. Sehinggakan, seseorang yang perlu bernikah di negara jiran, ia langsungkan pernikahannya, berdaftar secara rasmi kemudian dengan sijil nikah rasmi negara jiran, ia akan membuat permohonan dan akan memperolehi sijil nikah di Singapura, sebagai pasangan suami isteri yang sah.

Ini berbeza dengan pihak yang bernikah di luar negeri tetapi tanpa pendaftaran rasmi dan bukan dijalankan dengan pernikahan yang rasmi disahkan Pihak berkuasa negeri, malah dengan mengambil khidmat "Tok Kadi bawah meja" semata-mata. Mereka melakukan demikian lumrahnya atas alasan untuk "menghalalkan" segera hubungan mereka daripada jatuh ke kancah zina. Perbuatan seperti ini, seumpama orang yang "mengidam" hendak makan ayam yang enak pada citarasanya tetapi ia tahu ayam itu tidak halal, lalu ia tanya penjualnya, samada ada sijil halal, lalu penjual itu pun buat satu sijil siap dengan logo halal di hadapannya ketika itu juga dan ia pun jadi berpuashati dan memakannya. Yang penting "ditanggung halal", walaupun entah siapa yang menanggungnya.

Ada di antara mereka ini yang kemudiannya nikah secara rasmi "sekali lagi" agar pernikahannya didaftarkan dan mendapatkan sijil nikah rasmi di sini. Nikah pertama di Batam misalnya dengan Kadi bawah meja dikira "nikah syarat" buat sijil halal dan kali kedua "nikah betul-betul". Pihak yang melakukan seperti ini mungkin tidak tahu adanya hadis Nabi:
"ثلاث جدهن جد و هزلهن جد؛ النكاح، و الطلاق... - Tiga perkara, sungguh-sungguhnya dikira betul berlaku dan main-mainnya pun dikira betul berlaku; Nikah, Talaq... " (hadis sahih; Sahih al-Jami': no: 3027). Maka tiada nikah main-main atau "syarat" untuk halalkan sementara. Tidak pula mengulangi nikah yang dianggap sebagai nikah ulangan hanya untuk mendapatkan sijil dan berdaftar, bukan nikah betul. Biarpun, contohnya, mereka bernikah di Mekkah, di sisi Ka'bah, tetapi bukan pernikahan rasmi yang berdaftar di Mekkah, malah pernikahan sama setuju pihak lelaki dan wanita dengan adanya wali dan saksi serta diadakan jamuan walimah selepasnya, di hotel di Mekkah, apabila kembali ke Tanahair dilakukan Nikah sekali lagi. Maka Nikah yang mana satu yang betul-betul dan yang mana pula yang "main-main" atau "pura-pura"? Sedangkan perkara Nikah ini tiada main-main atau pura-pura.  

Sungguh, perumpamaan "makan ayam tidak halal" dengan logo dan sijil halal tiruan adalah tidak seberat perkara nikah ini sebab Rasulullah bersabda: 
"إن أحق الشروط أن توفوا به، ما استحللتم به الفروج - Sesungguhnya syarat yang paling utama untuk kalian penuhi adalah syarat-syarat yang dengannya kalian jadikan halal (hubungan) kelamin" (hadis sahih; Sahih al-Jami': no: 1547).

Wallaahua'lam.

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts