Wednesday, July 6, 2016

Bolehkah Puasa Sunnat seperti Puasa 6 sebelum Qadha' dan bolehkah digandingkan?

Soalan:
Apa boleh puasa qada’ dan puasa sunnat dilakukan sekaligus? Maksudnya 2 dalam 1.

Jawapan:
بسم الله و الحمد لله و الصلاة و السلام على نبينا محمد بن عبد الله و على آله و صحابته و من تبع هداه 
و بعد

Amalan yang boleh dilakukan “al-Indiraj” atau “al-Idraj”, yakni 2 dalam 1, bahkan 3 atau lebih dalam 1 adalah yang sama jenis dan hai-ahnya. Sebahagian ‘ulama UsulFiqh membicarakan perkara ini dengan bersandarkan pada beberapa dalil yang menunjukkan ianya diperbolehkan. Antaranya mandi hadas yang digabungkan dengan niat mandi hari Jumaat. Solat Tahiyatul Masjid yang digabungkan niatnya dengan Solat Rawatib Qabliyah. Puasa Sunnat yang kebetulan berlaku pada hari yang sama 2 bentuk sunnat, misalnya 14hb bulan Islam (Aiyam al-Baid) dan Hari Isnin (Isnin-Khamis – amalan segera diangkat dan pintu syurga terbuka).



Segalanya itu adalah untuk amalan yang sifatnya dan hai-ahnya (cara perlaksanaannya, misalnya bilangan rakaatnya dan tatacaranya sama) serta “jenis”nya juga sama. Maksudnya, Fardu/Wajib atau Sunnat. Maka jika kedua-duanya adalah wajib atau kedua-duanya adalah sunnat barulah diperbolehkan “al-Idraj” ini.

Oleh itu, yang ditanyakan, samada diperbolehkan puasa qada’, yang wajib, disertakan niat puasa 6 hari bulan Syawwal atau puasa sunnat lainnya adalah tidak diperbolehkan, kerana perbezaan “jenis” iaitu wajib dan sunnat.

Namun demikian, masih diperbolehkan untuk seseorang mendapatkan kelebihan waktu tertentu, dalam pada ia menunaikan qada’ puasanya. Misalnya ia qada’ pada Hari Isnin dan Khamis, bukan dengan niat mendapatkan “wajib” dan “sunnat”, secara serentak (2 dalam 1) dengan puasa 1 hari sahaja, tetapi kerana kelebihan yang ada pada hari Isnin dan hari Khamis. Wallahu a‘lam.

Demikian yang difahami daripada penjelasan asy-Syeikh ‘Abdul Muhsin al-'Abbad, ketika saya sendiri bertanya kepada beliau (hafizhohulLaah wa ra'aah) tentang permasalahan ini. Beliau menjelaskan bahawa walaupun diperbolehkan, namun yang paling afdal puasa tanpa “al-Idraj” bagi 2 puasa Sunnat, misalnya Puasa 6 pada Hari Isnin dan Khamis, kerana masing-masing ada kelebihannya tersendiri, yakni Puasa 6 juga dilakukan dan Puasa Hari Isnin Khamis pun dilakukan pada bulan Syawwal, tanpa menghitungnya sebahagian daripada Puasa 6. Dalam hal yang wajib, hal ini tidak berlaku, yakni masih dapat fadilat hari Isnin atau Khamis, bukan dengan niat puasa Sunnat tetapi dengan niat puasa Wajib, berbanding puasa pada hari lain. Wallahu a‘lam. 

Adapun apa yang menggusarkan sebahagian kaum wanita kerana lumrahnya terlepas peluang melakukan “Puasa 6” bulan Syawwal kerana masih ada hutang, sebenarnya mereka masih dapat melakukan “Puasa 6” meskipun masih ada hutang puasa, iaitu dengan menangguhkan atau menundakan puasa qada’ mereka.

Berikut dalil-dalilnya:
Mengqada’ apa yang terlepas perlaksanaannya secara tunai dari hari-hari puasa Ramadan, tidaklah diwajibkan untuk dilaksanakan qada’nya dengan segera atau secepat mungkin. Malah kewajipan untuk mengqada’nya adalah kewajipan yang boleh ditangguhkan dan ini berdasarkan hadis ‘A-isyah semoga Allah meredhai beliau:
" كان يكون علي الصوم من رمضان فما أستطيع أن أقضيه إلا في شعبان "
“Adakalanya aku hutang puasa Ramadan dan aku tidak mampu untuk mengqada’nya kecuali pada bulan Sya’ban.” [1]

Kata al-Hafiz, semoga Allah merahmati beliau, di dalam al-Fath (4/191):
  و في الحديث دلالة على جواز تأخير قضاء رمضان مطلقا سواء كان لعذر أو لغير عذر
“Dan di dalam hadits ini terdapat petunjuk/dalil akan keharusan/dibolehkan menundakan qadha (puasa) Ramadhan secara umumnya (hukum asalnya) samada disebabkan keuzuran atau tanpa uzur.”

Selain itu, al-Imam Ibn Qudaamah (rahimahulLaah - wafat 620Hijriyah) menjelaskan permasalahan melaksanakan puasa sunnat sedang seseorang itu masih ada hutang puasa wajib yang belum dilunaskannya. Menurut beliau (rahimahulLaah) ada 2 pendapat daripada al-Imam Ahmad. Salah satu riwayat pendapat beliau: Tidak boleh puasa sunnat dan satu pendapat lagi menyatakan: boleh. Alasan dikatakan tidak boleh adalah berdasarkan kepada hadis:
"من صام تطوعا ، و عليه من رمضان شيء لم يقضه فإنه لا يتقبل منه حتى يصومه"
“Barangsiapa yang berpuasa sunnat, sedang ia ada hutang puasa Ramadan yang belum dilunaskan Qada’nya, maka tidak akan diterima daripadanya (puasa sunnat itu) sehingga ia melunaskan hutang (puasa Ramadan) nya itu”
Di dalam riwayat lain, al-Imam Ahmad menyatakan: Boleh (berpuasa sunnat meskipun ada hutang puasa Ramadan), sebab ia (Qada’ puasa) merupakan suatu ibadah yang kewajipannya diberikan tempoh masa yang luas…

Walaubagaimanapun, akhirnya al-Imam Ibn Qudaamah (rahimahulLaah) mentarjihkan (menilai dan menyimpulkan sebagai lebih tepat) riwayat pendapat al-Imam Ahmad yang mengharuskan kerana dalil pihak yang melarang (puasa sunnat dilakukan ketika masih ada hutang puasa Ramadhan) adalah sebuah hadis yang lemah dan riwayat yang seiras dengannya juga daripada rumpun hadis matruk (hadis lemah yang tidak layak dijadikan sandaran hukum).[2]

Kata asy-Syeikh al-Albaniy (rahimahulLaah) di dalam Silsilat al-Ahadiets ad-Do‘iefah no: 838:          
"من أدرك رمضان ، و عليه من رمضان شيء لم يقضه لم يتقبل منه ، و من صام تطوعا ، و عليه من رمضان شيء لم يقضه فإنه لا يتقبل منه حتى يصومه"
“Barangsiapa yang menyambut tibanya Ramadan (tahun baru) sedang ia masih ada hutang puasa Ramadan yang lalu yang belum dilunaskannya, puasa (Ramadan tahun baru) nya tidak akan diterima. Barangsiapa yang berpuasa sunnat, sedang ia ada hutang puasa Ramadan yang belum dilunaskan Qada’nya, maka tidak akan diterima daripadanya (puasa sunnat itu) sehingga ia melunaskan hutang (puasa Ramadan)nya itu”

Hadis ini sebuah hadis Do‘ief (lemah; yang disangsikan ketulenannya daripada Nabi). Diriwayatkan oleh Imam Ahmad (2/352)…dan at-Tabarani meriwayatkan bahagian awal hadis ini di dalam al-Ausat: 2/99Kedudukan hadis ini yang lemah, disokong dengan riwayat yang mencanggahinya yang diterma daripada Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh al-Bayhaqiy: “Ia berpuasa Ramadan tahun yang baru itu, kemudian melunaskan Qada’nya dan memberi makan kepada 1 orang miskin untuk setiap hari hutangnya” dan Isnadnya Sahih.

Begitu juga adalah jelas bahawa tidak perlu dan tidak wajib berurutan dalam melakukan qada’ (berturut-turut, hari demi hari) semata-mata kerana kononnya bermaksud untuk menyamakan cara qada’ dengan cara ada’ (tunai) [3]. Padahal Allah telah berfirman:
{ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَر }
“Maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu pada hari-hari yang lain.”                                                                                                       [Al-Baqarah : 185]

Wallahu a‘lam.



[1] Riwayat Imam al-Bukhariy (4/166) dan Imam Muslim (1146).
[2] Al-Mughnie: 4/401-402
[3] Maksudnya cara ada’ (tunai) pada bulan Ramadan ialah berurutan/berturut-turut hari demi hari. Maka ditetapkan qada’ pun mesti cara berurutan, hari demi hari.
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts