Friday, July 1, 2016

Hutang Puasa Ramadhan si Mati - Bagaimana melunaskannya?

Soalan:
Ibu saya telah tinggalkan puasa selama 20 tahun, bagaimana nak bayarkan? Ibu saya sudah lama meninggal dunia.

Jawapan:

الحمد لله رب العالمين ، و الصلاة و السلام على سيد المرسلين ، و على آله و صحبه أجمعين
أما بعد:

Puasa seseorang yang telah meninggal dunia yang boleh dibayar oleh warisnya dengan “puasa” adalah puasa nazdar. Adapun puasa fardu Ramadhan, maka yang tepat adalah dibayarkan sebagai ganti “hutang puasa” itu dengan bayaran fidyah (asal maknanya adalah "gantian" yakni gantian kepada puasa), iaitu memberi makan seorang miskin dengan "1 mudd" (sebagaimana pendapat Imam Malik dan asy-Syaafi'ie, berbeza dengan Abu Hanifah yang menetapkannya 2 mudd = separuh Shoa' - sila lihat Tafsir al-Qurtubiy ayat 184 Surah al-Baqarah)  beras yang biasa kita makan atau gandum atau makanan asas lainnya,  sebagai ganti setiap hari hutang puasanya. Adalah lebih baik jika diberikan dalam bentuk makanan yang telah disiapkan dan dihidangkan. 1 mudd = 654gram menurut kebanyakan 'Ulama' (bergantung kepada jenis makanan yang ditimbang) dan di sisi Lajnah Fatwa Daa-imah 750g. Memberikan lebih adalah lebih utama.Wallahu a‘lam.


Berikut perinciannya:
‘Ulama’ telah Ijma‘ (bersepakat): sesiapa yang meninggal dunia ataupun masih hidup, sedang ia ada hutang solat, maka walinya (ahli warisnya) atau orang lain, tidak boleh mengqada’kan untuknya sebagai penebus hutang solatnya.

Demikian juga sesiapa yang tidak larat untuk berpuasa, tiada seorang pun boleh qada’kan puasa untuknya sebagai ganti dirinya, semasa ia masih hidup. Sebaliknya, ia memberi makan seorang miskin untuk setiap hari ia tidak berpuasa, sebagaimana yang dilakukan oleh Anas (radhiyalLaah 'anhu) di dalam atsar ini:
Beliau lemah dan tidak larat untuk berpuasa pada suatu tahun (kerana terlalu tua - beliau wafat pada tahun 91H pada usia 100 tahun), maka beliau pun menghidangkan hidangan Tsaried (sejenis lauk berdaging dan berkuah) lalu beliau memanggil 30 orang miskin, memberi mereka makan sampai kenyang”  [1]

Akan tetapi, orang yang meninggal dunia, sedang ia ada hutang puasa nadzar, maka walinya hendaklah mengqada’kan hutang puasa nadzar itu untuknya. Ini berdasarkan sabda baginda (sollalLaahu 'alaihi wa sallam):
   من مات و عليه صوم ، صام عنه وليه
Sesiapa yang meninggal dunia sedang ia ada (hutang) puasa, maka (sebagai gantinya) walinya yang berpuasa untuknya.”

Daripada Ibn ‘Abbas (radhiyalLaah 'anhuma) katanya:
“Seorang lelaki telah datang menghadap Nabi (sollalLaahu 'alaihi wa sallam) bertanya: Wahai Rasulallah, sesungguhnya ibuku meninggal dunia sedang ia ada hutang puasa sebulan, apa aku boleh qadhakan untuknya? Jawab baginda (sollalLaahu 'alaihi wa sallam): {Ya. Hutang dengan Allah adalah lebih utama untuk dilunaskan}.” [2]

Hadis-hadis tersebut, yang jelas umumnya bermaksud dibolehkan untuk wali (waris; antaranya anak) orang yang telah meninggal dunia, mengqada’kan, yakni berpuasa, untuk menggantikan puasanya baginya. Ini merangkumi semua jenis puasa. Ini merupakan pendapat sebahagian ‘ulama’ asy-Syafi‘iyah dan begitu juga pendapat Ibn Hazm (7/2 dan 8) (rahimahumulLaah).

Walaubagaimanapun, hadis-hadis tersebut bersifat umum, yang perlu difahami dengan perkara yang mengkhususkannya. Oleh itu, walinya tidak boleh berpuasa untuknya kecuali puasa nadzar sahaja. Ini pula adalah pendapat Imam Ahmad (rahimahulLaah) seperti apa yang tertera di dalam (Masaa-il Imam Ahmad) yang diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud (mks: 96) katanya:
 " سمعت أحمد بن حنبل قال : لا يُصام عن الميت إلا في النذر ، قال أبو داود : قلت لأحمد : فشهر رمضان ؟ قال : يطعم عنه "
Aku telah mendengar Ahmad bin Hambal berkata: Hutang puasa orang yang telah meninggal dunia tidak diqadhakan, kecuali puasa nadzar. Kata Abu Daud: Tanya ku kepada Ahmad: Puasa bulan Ramadan? Jawab beliau: Ia memberi makan sebagai gantinya.”

Inilah pendapat yang dirasakan lebih tenteram di hati, terasa lapang dan sejuk dada untuk menerimanya. Pendapat ini dikuatkan dengan pemahaman yang mendalam terhadap dalil-dalil, sebab pendapat ini menjadikan kita mampu untuk beramal dengan semua dalil yang berkaitan dengan masalah ini, tanpa menolak satu pun darinya disertai pemahaman yang lurus terhadapnya, terutamanya (dalil) yang pertama. Demikianlah yang difahami oleh ‘Aa-isyah (radhiyalLaah 'anha)  yang tidak mentafsirkannya[3]  bersifat umum untuk semua jenis puasa termasuk puasa Ramadan, malah untuk Ramadan beliau berpesan agar hanya digantikan dengan memberi makan bukan dengan qada’. Demikianlah pendapat beliau dan berikut adalah dalilnya, apa yang diriwayatkan oleh ‘Amrah:
" أن أمها ماتت و عليها من رمضان ، فقالت لعائشة: أقضيه عنها ؟ قالت: لا، بل تصدقي عنها مكان كل يوم نصف صاع على كل مسكين "
Bahawasanya ibunya meninggal dunia sedang beliau ada hutang Ramadan, maka beliau pun tanyakan kepada ‘Aa-isyah: Apakah saya mengqada’kan untuknya? Jawab ‘Aa-isyah: Jangan, sebaliknya bersedeqahlah untuknya, untuk setiap hari separuh sa‘ untuk satu orang miskin.
Ia diriwayatkan oleh Imam-imam at-Tahawiy (Musykil al-Atsar: 3/142), Ibn Hazm (al-Muhalla: 7/4) dan lafaz ini di sisi Ibn Hazm dengan sanad yang sahih.

Tambahan pula, telah menjadi di antara kaedah tetap lagi penting ialah: perawi hadis lebih memahami akan makna atau maksud hadis yang diriwayatkannya. Sungguh, ‘alim besar umat ini, Ibn ‘Abbas (radhiyalLaah 'anhu), telah menjelaskannya dengan terperinci:
" إذا مرض الرجل في رمضان ، ثم مات و لم يصم، أطعم عنه و لم يكن عليه قضاء ، و إن كان عليه نذر قضى عنه وليه "
Jika seseorang lelaki itu sakit pada bulan Ramadan, kemudian ia meninggal dunia dan tidak sempat berpuasa, hendaknya digantikan dengan memberi makan dan ia tidak wajib qada’. Sekiranya ia ada hutang puasa nadzar itulah yang walinya qada’kan untuknya.

Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dengan sanad yang sahih dan Ibn Hazm di dalam (al-Muhalla: 7/7) dan beliau sendiri hukumkan isnadnya sahih.
Sedia diketahui bahawa Ibn ‘Abbas (radhiyalLaah 'anhuma) sendiri yang telah meriwayatkan hadis yang kedua tadi, apatah lagi beliau juga yang meriwayatkan hadis berupa nas bahawa wali mengqada’kan puasa ahli keluarganya yang telah meninggal, iaitu puasa nadzar:
" أن سعد بن عبادة   استفتى رسول الله   فقال : إن أمي ماتت و عليها نذر؟ فقال : اقضه عنها "
Bahawasanya Sa‘ad bin ‘Ubadah   telah meminta fatwa (bertanya kepada) Rasulullah  katanya: Sesungguhnya ibuku meninggal dunia sedang beliau ada nadzar. Jawab baginda: Qada’kanlah untuknya.”
Diriwayatkan oleh kedua asy-Syeikhan – al-Bukhariy dan Muslim.

Pembentangan yang terperinci ini adalah bersesuaian dengan Qawaa’id Asy-Syarie’ah dan dasar-dasarnya sebagaimana yang diterangkan Al-’Allaamah Ibnul Qayyim di dalam I’laamul Muwaqqi’ien dan penjelasan yang lebih di dalam Tahdzieb Sunan Abi Daud (279-282) maka hendaknya anda membuat rujukan kerana ia penting.

Adapun mengenai satu mudd[4], tanpa perlu menggandakan “denda fidyah” (sebenarnya istilahnya adalah kaffaarah) maka berikut ini penjelasannya:

Kata al-Ustadz Sayyid Sabiq di dalam “Fiqh as-Sunnah” “Perihal Qada’ Ramadhan”: Sekiranya seseorang itu menangguhkan Qada’ Ramadhan sehingga masuk bulan Ramadhan tahun yang baru, hendaknya ia melaksanakan puasa Ramadhan tahun yang baru itu, kemudian ia melunaskan hutang puasanya (dengan Puasa Qada') setelah itu dan ia tidak dikenakan apa-apa Fidyah, tidak kira samada perbuatannya menangguhkan Qada’ puasanya itu kerana keuzuran tertentu atau tanpa keuzuran sekalipun.

Inilah Madzhab (pendapat) al-Ahnaf (Hanafi) dan al-Hasan al-Basriy.

Manakala (Imam-imam) Maalik, asy-Syaafi‘ie, Ahmad, Ishaq (bin Rahaweih) menyetujui pendapat al-Ahnaf, bahawa ia tidak dikenakan Fidyah, jika penangguhannya itu bersebabkan keuzuran tertentu. Namun… jika tanpa apa-apa keuzuran…hendaklah ia mengeluarkan Fidyah bagi puasanya yang tertunggak itu, 1 mudd makanan untuk setiap hari hutangnya.

Akan tetapi, tiada dalil yang layak dijadikan hujjah untuk menyokong pendapat mereka ini (yang mewajibkan denda Fidyah - kaffaarah).
Yang nyata lebih tepat dan benar adalah pendapat al-Ahnaf, sebab tiada penentuan Syara‘ kecuali dengan adanya nas yang sahih. (akhir nukilan dari Fiqh Sunnah)[5]

Kata Imam Ibn Qudamah (w: 620H):
Fasal: Jika ia menangguhkan (Qada’) nya tanpa keuzuran (yang dii‘tiraf Syara‘) sehingga berlalunya 2 Ramadan (2 tahun berturut-turut) atau lebih, maka tidak dikenakan ke atasnya kecuali 1 Fidyah (tidak bertambah/tidak berganda) di samping kewajipan melunaskan Qada’ puasanya. (akhir nukilan) [6]

Penjelasan al-Imam an-Nawawi  mengenai permasalahan ini.
Kata beliau :
Adapun al-Atsar (riwayat-riwayat daripada para Sahabat) yang disebutkan oleh pengarang kitab[7]  daripada Ibn ‘Abbas, Ibn ‘Umar dan Abu Hurairah mengenai memberi makan (Fidyah), maka ia telah diriwayatkan oleh ad-Daraqutniy dan beliau katakan mengenai Isnad (rangkaian perawi yang meriwayatkannya) daripada Abu Hurairah tersebut: Isnad ini Sahih. Beliau juga meriwayatkannya daripada Abu Hurairah secara Marfu‘ (disandarkan sebagai daripada kata-kata Nabi) dan Isnadnya teramat lemah (ضعيف جدا). Isnad Ibn ‘Abbas juga Sahih. Lafaz riwayat-riwayat daripada Abu Hurairah:
"من مرض ثم صح و لم يصم حتى أدركه رمضان آخر قال: يصوم الذي أدركه ثم يصوم الشهر الذي أفطر فيه ، و يطعم مكان كل يوم مسكينا..."
Barangsiapa yang sakit (pada bulan Ramadan dan tidak berpuasa kerananya) kemudian ia sembuh (selepas berlalunya Ramadan) tetapi ia masih tidak berpuasa (melunaskan Qada’nya) sehingga masuk Ramadan lainnya, ujarnya (Abu Hurairah): Ia berpuasa Ramadan yang baru masuk (secara tunai walaupun masih berhutang), kemudian ia lunaskan qada’ puasa bulan Ramadan yang lalu dan ia juga memberi makan 1 orang miskin untuk setiap hari hutangnya (yang tertunggak itu)"

Dengan penjelasan beliau itu tadi, dapat difahami bahawa tiada riwayat yang benar daripada Nabi  untuk dijadikan sandaran hujjah menghukumkan orang yang ada puasa tertunggak sehingga masuk Ramadhan tahun yang baru, untuk dikenakan denda Fidyah (Kaffaarah berganda) dan hukum tersebut diterima daripada penjelasan pendapat Abu Hurairah dan Ibn ‘Abbas semata-mata. Demikian kesimpulan yang dapat difahami daripada penjelasan al-Imam an-Nawawi (rahimahulLaah).

Wallahu a'lam.

Kesimpulannya, secara ringkas, cara bayarannya ialah dengan beras 750g x 30 hari x 20 (tahun) dan anda boleh berikan kepada beberapa keluarga miskin sekaligus atau anda lakukan secara ansuran bulanan atau tahunan sehingga terlunas seluruhnya. Namun bersegera melunaskannya adalah lebih utama dan adalah baik jika anda dapat libatkan ahli waris (adik beradik anda) yang lain.

Adapun menggantikannya dalam bentuk bayaran wang menurut nilainya, maka ia tidak diperbolehkan menurut pendapat yang kuat dan berdasarkan taqwa, tidak merubah ayat-ayat Allah, sebagaimana diperjelaskan di sini.



[1] Diriwayatkan oleh Imam ad-Daraqutniy (2/207) dan sanadnya sahih.
[2]  Riwayat Imam al-Bukhariy (4/169) dan Imam Muslim (1148)
[3]  Hadis Ibn ‘Abbas mengenai lelaki yang bertanya kepada Nabi tentang qada’ puasa ibunya.
[4] 1 mudd: 543 gram gandum/beras dan sebagainya di sisi al-Jumhur (majoriti ulama). Di sisi Madzhab Hanafi: 815.39 gram.
[5] Fiqh as-Sunnah: 1/536-537
[6] Al-Mughnie: 4/400-401
[7] Maksudnya: pengarang kitab al-Muhadzdzab iaitu al-Imam asy-Syierazi (393-476H), Abu Is-haq Ibrahiem bin ‘Aliy bin Yusuf al-Fairuz Abadi asy-Syierazi. Kitab al-Muhadzdzab ini disyarah oleh al-Imam an-Nawawi dan beliau namakan kitab syarahnya “al-Majmu‘”.  

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts