Thursday, April 27, 2017

Dzikir & Doa selepas Solat menurut Madzhab asy-Syafi'ie





إن الحمد لله نحمده و  نستعينه و نستغفره ، و نعوذ بالله من شرور أنفسنا ، و من سيئات أعمالنا ، من يهده الله فلا مضل له ، و من يضلل فلا هادي له
و أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له.
و أشهد أن محمدا عبده و رسوله.
أما بعد:
Banyak yang diperkatakan oleh orang kebanyakan mengenai perkara ini. Yang amat mengecewakan ialah adanya segolongan yang sampai saling tuduh menuduh sesat, bukan Ahli Sunnah wal Jamaah dan tuduhan-tuduhan lain yang tidak selayaknya dilemparkan seorang Muslim terhadap saudara Islamnya. Berpecah-belah dan saling membenci, bercanggah dengan asal ajaran Islam yang menggalakkan kesatuan dan ukhuwah di kalangan Muslimin. Apatah lagi kalau tuduhan seperti itu dimulakan atau digalakkan oleh seorang yang bergelar ahli agama, kiyai, ustaz, mufti atau pak imam, semata-mata kerana perselisihan yang berpunca dari perkara ini. Persengketaan seperti ini amat disenangi oleh musuh-musuh Islam, kerana tanpa kesatuan, umat Islam mudah ditewaskan dan diperkotak-katikkan. Padahal, ada banyak lagi perkara yang belum kita huraikan dengan ilmu yang diyakini atas dasar taqwa.          

Pendapat para imam ini tentunya berdasarkan dalil-dalil daripada al-Quran, as-Sunnah dan pengamalan para Sahabat. Dengan demikian, kita akan menghukumkan sesuatu berdasarkan hukum para Imam ini, yang berpandukan dalil-dalil itu tadi dan mengelakkan diri dari berkata sembarangan tanpa ilmu. Demikianlah, ada orang mengaku sebagai seorang ustadz pengikut setia Imam asy-Syafi‘ie, tetapi ia bercanggah dengan Imam asy-Syafi‘ie  di  dalam  hal  ini,  tanpa kajian, lalu tega menuduh orang yang menuruti petunjuk Imam asy-Syafi‘ie di dalam hal ini sebagai sesat, bukan pengikut ajaran Ahli Sunnah.  Seolah-olah sekaligus menuduh Imam asy-Syafi‘ie sendiri sesat, tanpa ilmu kerana turuti hawa nafsunya.

Semoga Allah beri Petunjuk kepada setiap yang ikhlas yang mencari kebenaran untuk mendapatkan keredhaanNya. Adapun pengikut hawa nafsu, semoga Allah lindungi yang lain daripada mengikutinya dan ditundukkan nafsunya agar tunduk pada keterangan yang nyata.  Berikut penjelasan para Imam terutamanya Imam-imam, 'Ulama' besar, Madzhab asy-Syafi‘ie:

1.   Imam  asy-Syafi‘ie (rahimahullaah) [1]:
Kata al-Imam asy-Syafi‘ie(rahimahullaah) :




“Aku berpendapat bahawa imam dan makmum, masing-masing berdzikir kepada Allah, selepas salam dari solat, agar berdzikir dengan senyap, kecuali jika ia seorang imam yang berkewajipan untuk orang pelajari daripada dirinya (tatacara dzikir), maka ia menjaharkannya sehinggalah ia melihat bahawa orang-orang tersebut telah mempelajarinya daripadanya, maka seterusnya selepas itu, ia berdzikir secara sir (senyap). Yang demikian, kerana Allah
berfirman:  و لا تجهر بصلاتك و لا تخافت بها (Surah al-Isra’: 110)
[Dan janganlah engkau menjaharkan dengan solat mu dan jangan pula terlalu merendahkan suara mu dengannya..] yakni, WalLahu Ta‘ala a‘lam, doa. “Wa la tajhar”, (ertinya) jangan tinggikan/lantangkan (suara), “wa la tukhafit”, (ertinya) jangan sampai diri mu sendiri tidak mampu mendengarnya...[2]
Maka kita perhatikan sendiri bahawa inilah sebenarnya pendapat al-Imam asy-Syafi‘ie (rahimahullaah) dan bagaimana beliau mengajarkan agar dzikir dan doa, selepas Solat, dibaca perlahan dan sendirian, tidak berjemaah/beramai-ramai dan beliau telah menggunakan dalil ayat al-Qur’an tersebut untuk kedua-duanya; Dzikir dan Doa.
2.   Imam  al-Baihaqiy (rahimahullaah) [3]:
Kata al-Imam al-Baihaqiy di dalam as-Sunan al-Kabir:
“Bab: (Amalan) Yang menjadi Pilihan bagi imam dan makmum ialah merendahkan suara masing-masing ketika berdzikir; kemudian beliau mengatakan: Bab: imam menjaharkan dzikir jika ia berkewajipan untuk mengajarkannya..”[4] Setelah itu beliau menyebutkan di bawah kedua-dua bab tadi tukilan kata-kata daripada Imam asy-Syafi‘ie (rahimahullaah) yang telah kita baca sebelum ini. Maka setelah itu beliau mendatangkan beberapa hadis dan kata-kata Sahabat demi membuktikan kebenaran pendapat Imam asy-Syafi‘ie yang beliau sokong.
3.   Imam an-Nawawi (rahimahullaah)[5]:
Kata al-Imam an-Nawawi:
“Sunnahnya doa selepas salaam dibaca secara sirr (perlahan), kecuali jika ia seorang imam yang bermaksud mengajarkan doa (dan dzikir) kepada mereka yang belum tahu, maka ia menjaharkan...” [6]

Daripada 'Ulama' para Imam Madzhab yang lain:

Imam Malik(rahimahullaah) [7]:
Terdapat pernyataan dari Imam Malik yang menerangkan tentang apa yang dilakukan oleh imam tetap sesebuah masjid selepas salam di dalam Kitab al-Mudawwanah, begini bunyi (terjemahan) nya:
“Kata Imam Malik mengenai imam masjid yang solat berjemaah atau masjid di dalam satu perkampungan (Masjid Jamek): Apabila ia memberi salam, hendaklah segera ia bangun dan tidak duduk lagi setiap selepas solat-solat semuanya. Kecuali jika ia seorang imam yang solat sebagai seorang musafir di dalam perjalanan, bukan imam jemaah masjid (jamek), selepas ia salam, maka terserahlah jika ia suka, ia duduk atau sebaliknya ia bangun” [8]

Imam Ibn al-Haj(rahimahullaah)[9]:
Kata beliau setelah menjelaskan mengenai dibenci/tidak disukai berbual-bual di masjid (tentunya yang mengganggu jemaah) dan segala keburukannya :
“Dan tidak selayaknya seseorang mengatakan: Sesungguhnya bacaan (al-Qur’an) dan dzikir secara jahar (lantang) dan berjemaah diharuskan di dalam masjid,” Setelah itu beliau membentangkan pendapat ‘ulama’ yang menjelaskan bahawa dzikir secara demikian (jahar dan lantang) tidak dibenarkan/tidak diharuskan dan menentangnya. Lalu beliau menyambung : “Maka jika di dalam hal dzikir secara jahar dan berjemaah ketika membacanya sedemikian sekali keburukannya, maka sekiranya satu orang atau satu golongan mampu terpelihara dari keburukannya atau sebahagian daripada keburukan itu, namun yang lain belum tentu terselamat dari keburukan tersebut [10]
Imam asy-Syatibi(rahimahullaah)[11]:
Kata beliau: Doa secara berjemaah dan melaziminya bukan daripada perbuatan (ajaran) ar-Rasul (sollalLaahu 'alaihi wa sallam).[12]
Sebaiknya dirujukkan kata-kata beliau yang ringkas ini di dalam kitab al-I‘tisam kerana boleh disimpulkan bahawa kitab tersebut asalnya dikarang oleh beliau untuk menjelaskan perkara ini yang mana beliau telah dituduh dan dicemuh kerana tidak berdzikir dan berdoa berjemaah selepas memimpin solat fardu.
Imam Majduddiin Abul Baraka(rahimahullaah)[13] :
Kata beliau:
“Digalakkan bagi imam untuk berdzikir dengan suara perlahan/rendah selepas sholat kerana zahir nas-nas berikut, (lalu beliau menyebutkannya) dan kerana Firman Allah Ta‘ala{ ادعوا ربكم تضرعا و خُفْيَةً } (Surah al-A‘raf: 55) [Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan rasa rendah diri dan mengharap serta dengan suara yang lembut ..]
dan FirmanNya Ta‘ala  lagi:  { و اذكر ربك في نفسك تضرعا و خِيْفَةً } (Surah al-A‘raf : 205) [Dan berdzikirlah mengingati Tuhan mu pada diri mu sendiri, dengan rasa rendah diri dan mengharap serta dengan suara yang lembut ..] dan sekiranya ia menjaharkannya atau sebahagiannya sekali-sekala untuk mengajarkan mereka yang mampu mendengarnya atau dengan maksud yang betul lainnya maka ia masih baik (dibolehkan)...”[14]

Demikian itu tadi, nukilan-nukilan demi membuktikan ajaran Madzhab asy-Syafi‘ie malah al-Imam asy-Syafi‘ie sendiri dan sebahagian 'ulama lainnya, berkenaan cara berdzikir dan berdoa selepas Solat fardhu Berjemaah. Segalanya bersesuaian dengan Sunnah Nabi dan ajaran para Sahabat. Sebagai penutup, sesiapa yang mendakwa bahawa ajaran Madzhab asy-Syafi‘ie di dalam hal ini, berbeza daripada apa yang dibentangkan tadi, sila berkongsi ilmu dengan bukti-bukti yang nyata dan menghentikan tuduhan melulu dan dakwaan-dakwaan tanpa bukti apatah lagi jika dijadikan modal untuk mencerca saudara seagama. 


[1] Muhammad bin Idries bin al-‘Abbas al-Qurasyi, salah seorang Imam 4 madzhab yang masyhur, wafat 204H. Di antara karangan beliau: al-Umm, ar-Risalah,, Ahkam al-Qur’an, Ikhtilaf al-Hadiets dll.
[2] Al-Umm: 1/126, al-Majmu‘: 3/450
[3] Ahmad bin al-Husayn bin ‘Aliy, Abu Bakrin al-Baihaqiy, Ahli (‘alim) hadis, fiqh dan dikira pembela yang paling kuat bagi madzhab Imam asy-Syafi‘ie pada zaman beliau, wafat 458H. Antara karangan beliau: as-Sunan al-Kabir (al-Kubro), Dala-il an-Nubuwwah, Syu‘ab al-Iman, Manaqib asy-Syafi‘ie dll..
[4] as-Sunan al-Kubro: 2/184.
[5]  Yahya bin Syaraf bin Hasan Abu Zakariya Muhyiddien an-Nawawi ad-Dimasyqi asy-Syafi‘ie. ‘Alim besar bidang hadis, fiqh, al-Hafiz, Ahli Bahasa, Ahli Sejarah, wafat 676H. Di antara karangan beliau: Raudat at-Talibien wa ‘Umdat al-Muftiyien, al-Majmu‘ Syarh al-Muhadzdzab (tidak sempat beliau sempurnakan), Riyad as-Salihien, al-Adzkar dll.
[6] Raudat at-Talibien: 1/368, al-Majmu‘: 3/487.
[7] Malik bin Anas bin ‘Amir bin ‘Amru bin al-Harits al-Asbahi, Imam Darul Hijrah, salah seorang Imam 4 madzhab yang masyhur, digelarkan pengasas Madzhab Malikiyah wafat 179H. Guru Imam asy-Syafi‘ie dan ulama’ terbilang lainnya. Antara kitab yang beliau hasilkan: al-Muwatta’.
[8] al-Mudawwanah al-Kubro: 1/44
[9] Muhammad bin Muhammad Abu ‘Abdillah al-‘Abdariy al-Fasi al-Maliki, ‘Alim besar dalam berbagai bidang, penentang bid‘ah, wafat 737H. Di antara karangannya : al-Madkhal ila Tanmiyati a‘mal…dll.
[10] al-Madkhal: 1/107
[11] Abu Is-haq Ibrahiem bin Musa bin Muhammad al-Lakhmiy al-Gharnati asy-Syatibi al-Maliki seorang Imam besar ahli ijtihad, al-Hafiz yang mulia, di antara segelintir golongan ‘ulama’ muhaqqiq yang menguasai berbagai bidang ilmu. Di antara karangan beliau “al-Muwafaqat fie Usul asy-Syarie‘ah” dan “al-I‘tisam”. Beliau wafat pada tahun 790H.
[12] al-I‘tisam: 1/219 – boleh disimpulkan bahwa kitab “al-I‘tisam” dikarang oleh beliau sebagai suatu jawapan, penerangan dan sanggahan terhadap guru beliau dan beberapa ‘ulama’ yang menuduh beliau silap kerana tidak memimpin doa selepas solat fardu berjemaah. Akhirnya kitab ini menjadi di antara kitab terbaik dalam penjelasan pengertian bid‘ah, bentuk-bentuk bid‘ah, cara mengenalinya dan keburukannya dengan pengamatan melalui dalil-dalil ‘aqli (akal) dan naqli (nas-nas al-Qur’an, as-Sunnah, penjelasan Sahabat dan para Imam)
[13] ‘Abdus Salam bin ‘Abdillah bin al-Khadar bin ‘Aliy al-Harraniy, Ibn Taimiyah al-Jadd (si datuk), Syaikh al-Hanabilah, Ahli bidang fiqh, Ahli Fiqh terkemuka zamannya (590-1 Syawwal 652H), (datuknya Syeikhul Islam) manakala cucu beliau yang terkenal dengan gelaran Syaikhul Islam, adalah Taqiyuddin Ahmad bin ‘Abdul Haliem bin ‘Abdus Salam al-Harrānī ad-Dimasyqī (w.728H). Antara hasil karangan beliau: al-Muharrar fi al-Fiqh, al-Ahkam, Syarh al-Hidayah dll.– Tahdzieb as-Siyar: 3/299 (5918).
[14] Tas-hih al-Furu‘ oleh Imam al-Mardawiy: 1/455

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts