Wednesday, June 28, 2017

Nabi ajarkan agar Tetap Tinggal di mana pun bumi Allaah?

بسم الله والحمد لله و الصلاة و السلام على نبينا و حبيبنا محمد
و بعد

Sekadar berkongsi apa yang dikatakan "orang-orang" ahli masyarakat. 
Sewaktu saya singgah di suatu tempat awam, agak lumrah seseorang datang seraya mengucapkan salam lalu bertanya (kerana mengenali saya bergelar seorang Ustaz):

Yang Bertanya:
"Baru-baru ini saya dengar ada pihak kata, kesimpulannya, Nabi ajarkan supaya kita tetap tinggal sahaja di negeri kita, asal kita solat, bayar zakat dan jauhi perkara-perkara keburukan. Cara disampaikannya itu, kiranya macam Rasulullah SURUH kita tetap tinggal sahaja di negeri kita, ikutkan apa jua keadaannya, biar apapun keadaannya. 
Soalan saya, ini yang saya musykil ni, apahalnya yang Nabi dan para Sahabat diperintahkan oleh Allah supaya berhijrah? Mengapa Nabi dan para Sahabat berhijrah kalau Nabi sendiri suruh tetap tinggal sahaja di negeri mana sahaja yang kita menetap tinggal? Mengapa tidak Nabi tetap tinggal sahaja di Mekkah dan tidak berhijrah ke Madinah? 

Jawapan saya:
Yang Tuan Haji tanyakan ni, bukan perkara kecil. Saya pun tidak layak jawab dengan jawapan pasti. Tapi betul kata Tuan Haji, macam bercanggah, seolah-olah Nabi suruh tetap tinggal duduk diam-diam dan ikutkan sahaja apa jua keadaan, sebaliknya Nabi sendiri berhijrah. 
Ada apa-apa dalil ke seperti yang Tuan Haji katakan "Nabi suruh tetap tinggal"? Kalau Hijrah, rata-rata umat Islam tahu. Untungnya orang yang ada hadiri kelas-kelas pengajian agama, tentu tahu tentang sejarah Hijrah Nabi dan para Sahabat. Namun akan jadi keliru bila dengar "ajaran" Nabi yang suruh tetap tinggal dan ikutkan sahaja keadaan.


Yang Bertanya: 
Pihak yang kata begitu ada sebutkan hadis. Saya tidak berapa ingat, tapi bukan Sahabat popular yang tanya, kemudian Nabi jawab begitu. Asal awak dapat solat, bayar zakat dan jauhi keburukan. Ada lagi satu hadis lebih kurang maknanya: "Negeri-negeri adalah negeri-negeri Allah dan semuanya hamba-hamba Allah" dan kesimpulannya sama, maksudnya tinggal sahaja di negeri awak tidak perlu hijrah.   

Jawapan saya:
Untung kita ada teknologi canggih zaman ini, boleh "google search" dengan HP cari hadis asal pandai guna keyword. Ini kena guna bahasa Arab. Asatizah sekarang senang dapatkan maklumat. Saya cuba taip: "أقم الصلاة و آت الزكاة السوء" sebab Haji kata hadisnya ada sebut "solat, zakat dan jauhi keburukan". Alhamdulillaah. Mungkin hadis ini, maknanya, Nabi ditanya oleh seorang Sahabat, apakah beliau sebaiknya berhijrah lalu Nabi menjawab: "Dirikan solat (dan tunaikan Zakat) serta jauhi keburukan dan tinggallah di negeri kaum mu mengikut sekehendak mu" riwayat Imam Ibnu Hibbaan, tapi hadis ini bermasalah di sisi Ulama' Hadis. Kebetulan hadis yang satu lagi pun ada disebutkan: "Negeri-negeri semuanya adalah bumi Allah dan umat manusia semuanya hamba-hamba Allaah, maka bermukimlah di mana sahaja engkau boleh mendapatkan kebaikan" riwayat Imam Ahmad dan dihukumkan lemah (tertolak). Maaf Haji, yang sampaikan perkara ini, orang awam ke Asatizah? Sebab kalau Asatizah berkelayakan, selayaknya sudah buat kajian kedudukan hadis sebelum menyampaikan. Hasil carian hadis kononnya Nabi ajarkan supaya tetap tinggal  Tidak dibenarkan berhujjah dengan hadis-hadis lemah dengan kesepakatan 'Ulama Hadis. 

Yang Bertanya:  
Pihak yang cakap macam ni, bukan calang-calang tapi saya tak mahu sebut-sebut nama. Yang penting saya hendak lenyapkan kekeliruan ini. Saya rasa betul hadisnya itu yang Ustaz jumpakan. Tapi kecewa saya bila dengar hadis-hadisnya lemah.

Jawapan saya:
Kalau begitu, Haji dah tak musykil lagi? Hijrah Nabi sedia dimaklumi dan perkara jelas ajaran Nabi. Malah ada hadis-hadis yang lain yang banyak Nabi perintah supaya berhijrah. Apapun ada perincian keadaan-keadaannya, itu yang saya kata 'Ulama besar Timur Tengah yang layak berikan fatwa bila keadaannya menjadi wajib berhijrah ataupun belum.
Malah saya pernah baca fatwa seorang Syaikh yang dianggap Alim besar, yang pernah diundang pihak Majlis Ugama, yang mana Syeikh itu ada fatwakan perlu hijrah kalau pendidikan anak-anak secara Islam tidak dapat diterapkan. (Link Fatwa Syeikh Undangan MUI). Mungkin maksud beliau kalau perkara asas Aqidah untuk didik anak-anak tidak dapat dilakukan, misalnya anak-anak dipaksakan melakukan perkara syirik, dipaksa ucapkan kata-kata syirik, tidak dibenarkan menutup aurat, tidak dibenarkan solat pada waktu-waktunya. Wallaahua'lam.   

Yang Bertanya:  
Kira dah jelas juga. Tapi saya betul kecewa. Ini betul-betul Mengelirukan Umat Islam! Apa orang sekarang kata, "Jenayah Ilmiyah"? Laa haulaa wa laa quwwata illaa billaah. Apa yang mereka hendak dengan mengelirukan masyarakat seperti ini? Mereka tak takut Allaah? Padahal selalu kita ini diingatkan, "Bertaqwalah kepada Allaah, Bertaqwalah kepada Allaah dengan sebenar-benar taqwa".  

Jawapan saya:
Ya, benar. Semoga Allaah jadikan kita orang-orang yang bertaqwa dan sentiasa mengusahakan ketaqwaan dan membimbing kita terpelihara daripada fitnah kesesatan dan penyelewengan akhir zaman dan keburukan fitnah Dajjaal.

Yang Bertanya:  
Ameen.
Akhir kisah.
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts