Thursday, June 29, 2017

Kaedah Fiqh - Tidak diingkari perubahan hukum-hukum dengan perubahan zaman

3.1.1     Qa‘idah: “ لاَ يُـنْـكَرُ تَـغَـيُّرُ الأَحْـكامِ بِـتَـغَـيُّرِ الأَزْمَـان– Tidak diingkari perubahan hukum-hukum dengan perubahan zaman”

۩       Pengertian perkataan-perkataan yang ada dalam Qa‘idah ini (مفردات القاعدة):
لا يـنـكرTidak diingkari: Tidak ditolak.
تـغـيرperubahan: pertukaran
الأحـكامhukum-hukum: Hukum-hukum yang diraih melalui Ijtihad yang disandarkan kepada ‘Urf dan Maslahah. Perbahasan berkenaan Qa‘idah ini akan ditumpukan secara khusus pada ‘Urf. Adapun yang berkenaan dengan Maslahah, maka sebaiknya dirujukkan kepada kitab “I‘lam al-Muwaqqi‘ien” pada Juzu’ ke-3 dan “ats-Tsabat wa asy-Syumul fie asy-Syarie‘ah al-Islamiyah” oleh as-Sufyani.
بـتـغـير الأزمـان  –  dengan perubahan zaman: dengan pertukaran ‘Urf. Disebutkan dengan “zaman” di sini kerana lumrahnya ‘Urf berubah beriringan dengan zaman.

۞  Makna Qa‘idah ini: Tidak ditolak perubahan hukum-hukum Ijtihadiyah yang didasarkan pada ‘Urf dengan berubahnya ‘Urf itu sendiri, maka hukumnya terkait dengan ‘Urf yang baru dan bukan dengan ‘Urf yang lama.

۩    Bentuk ungkapan Qa‘idah ini dan kritik terhadapnya (صياغة الفاعدة و انْتِقَادُها):
      Bentuk ungkapan Qa‘idah ini dikritik daripada 2 sudut:
1.      Disebutkan perkataan “الأحـكام” secara umum tanpa apa-apa pengkhususan sehingga boleh disangka “kesemua hukum-hukum” padahal bukan ini yang dimaksudkan. Lantaran itu, ada sebahagian penganalisa menyarankan pembetulan (ungkapan) Qa‘idah ini agar diungkapkan begini:
لا يـنـكر تـغـير الأحـكام الْمَبْنِيَّة على المَصْلَحَـة و العُرْف بتـغير الأزمـان – Tidak diingkari perubahan hukum-hukum yang didasarkan pada maslahat dan ‘Urf dengan perubahan zaman” ataupun diungkapkan:
لا يـنـكر تـغـير الأحـكام الْمَـنُـوطَـة بِمُتَـغَـيِّر، بتـغـير الأزمـان – Tidak diingkari perubahan hukum-hukum yang didasarkan pada kaitan penentu tertentu, dengan perubahan zaman

2.      Bahawasanya ‘Urf berubah-ubah dengan perbezaan tempat juga, maka sepatutnya ada penambahan perkataan “الأَمْكِنَة – tempat-tempat” juga.
Al-Muqriy telah mendatangkan ungkapan yang lebih baik bagi Qa‘idah ini, yang mana beliau telah mengatakan:
كُلُّ حُـكْمٍ مُـرَتَّـبٍ عَـلَى عَادَةٍ فَـإِنَّـهُ يَـنْـتَـقِلُ بِانْـتِـقَالِـها إِجْـمَاعاً – Setiap hukum yang ditentukan hukumnya melalui Adat, maka ia bertukar dengan perubahannya (adat) secara Ijma‘.

۩    Pembahagian ‘Urf; daripada sudut hukum yang berubah dan yang tidak berubah. (أَقْسَامُ الأَعْرَافِ مِنْ حَيْثُ تَغَيُّرُ الأَحْكامِ و عَدَمُه):
1.      Jika ‘Urf itu pada zatnya adalah suatu hukum Syara‘, misalnya penutupan aurat, menghilangkan najis, memisahkan (elak pergaulan bebas) dan melindungi kaum wanita, pemberian nafkah seorang suami kepada isterinya dan yang seperti itu. ‘Urf-‘urf seperti ini telah menjadi hukum-hukum Syar‘iyah, maka ia tidak berubah dengan perubahan ‘Urf.

2.      Bilamana ‘Urf itu adalah penentu terkait kepada hukum Syara‘. Contohnya, lafaz-lafaz yang dengannya dimeterai ‘aqad-‘aqad, kadar nafkah, apa yang dianggap sebagai suatu ‘aib yang dengannya layak dikembalikan barang yang telah dibeli, apa yang dikira sebagai suatu perbuatan yang kurang sopan lagi menjejas keperibadian mulia seseorang, cara-cara pengambilan barang yang dikira dengannya telah diterima oleh pihak pembeli, selok-belok jaminan mu‘amalat serta pemeliharaan amanah-amanah dan yang seumpamanya.
Inilah yang berubah dengan perubahan ‘Urf.

3.      Apa yang bukan hukum Syar‘ie dan bukannya penentu yang terkait kepada hukum Syar‘ie dan ia ada 2 jenis:
i.        Jika ia daripada perkara-perkara dalam batasan yang harus/mubah. Yang ini, tiada apa-apa masalah kerana setiap kaum mengetahui apa yang dimahukan diri mereka sendiri, dengan syarat ia tidak mencanggahi Syara‘ dan ‘Urf-‘urf jenis ini berubah dan mengalami pertukaran.
ii.      Adapun jika ianya daripada ‘Urf yang bertentangan dengan nas, yang ini ada 2 keadaan:
a.       Bertentangan daripada sudut makna, maka ia tertolak dan ini telah pun dijelaskan.
b.      Bertentangan daripada segi bahasa, maka jika ia adalah lafaz yang Syara‘ telah kaitkan suatu hukum dengannya (lafaz tersebut), seperti solat, haji dan seumpamanya, maka yang diutamakan adalah makna Syar‘ie (yang difahami menurut Syara‘), demi memelihara lafaz-lafaz Syar‘iyah daripada diperalat dan dipermainkan sehingga menjadi tidak keharuan.
Sekiranya sesuatu lafaz itu tidak dkaitkan Syara‘ dengan suatu hukum tertentu, maka yang diutamakan adalah maknanya dari sudut Bahasa seperti perkataan lilin, hamparan dan yang sepertinya.

۩    Pembahagian Hukum-hukum daripada sudut kesan perubahan ‘Urf. (أَقْسَامُ الأَحْكَامِ الشَّرْعِـَّية مِنْ حَيْثُ تََغَـيُّرُهَا بالأعْـرَاف):
1.      Hukum-hukum yang berubah dengan perubahan ‘Urf dan ia adalah hukum-hukum yang Syara‘ kembalikan penentuannya kepada ‘Urf:
Kata al-Qarafiy: “Setiap apa yang di dalam Syarie‘ah mengikuti adat-adat, hukumnya berubah dengan perubahan Adat menurut apa yang berakibat daripada Adat yang berubah-ubah dengan pembaharuan.”

Kata beliau lagi: “dan kesepakatan kaum Muslimin menetapkan bahawa jika berubah adat, hukum juga turut berubah dan diharamkan untuk berfatwa dengan hukum yang lama (menurut adat yang lama)”
Kata beliau lainnya: “Hukum-hukum yang bergantung pada Adat, bersekitar bersamanya dan terkesan dengannya serta terbatal dengan batalnya Adat”
2.      Hukum-hukum yang sabit dan tetap tidak akan berubah selama-lamanya dan ia adalah hukum-hukum yang Syara‘ tidak kaitkannya dengan ‘Urf atau apa jua perubahan.

۩    Di antara Furu‘ (cabang-cabang permasalahan) yang terangkum di bawah Qa‘idah ini:
1.      Jika sesuatu itu dikira sebagai suatu ‘aib di sisi ‘Urf, maka dihukumkan sebagai layak untuk dijadikan penyebab dikembalikan sesuatu itu (misalnya, membatalkan jualbeli). Namun jika kemudiannya ‘Urf berubah, menjadikannya (sesuatu itu) disukai menurut ‘Urf, ia tidak dikira sebagai penyebab yang membolehkan dipulangkan sesuatu itu tadi (kerana ia bukan ‘aib lagi).

2.      Melihat sebuah bilik, sebagai contoh (ukuran bilik-bilik lainnya dalam) seluruh satu rumah, dahulunya dikira di sisi Madzhab Hanafi sebagai penentu pilihan untuk membuat keputusan meneruskan urusniaga (Khiyar ar-Ru’yah), kerana dahulunya menurut ‘Urf, rumah-rumah dibina dengan semua bilik sama besar. Tetapi bilamana ‘Urf berubah dan bilik-bilik sesebuah rumah berbeza ukurannya, melihat sebuah bilik sahaja belum mencapai penentu pilihan untuk memutuskan urusniaga dan semestinya dilihat juga, keseluruhan bahagian lainnya sesebuah rumah itu menurut fatwa golongan terkemudian daripada ‘Ulama’ Madzhab Hanafi. Maka ‘Ulama’ Mutakhir mereka memfatwakan belum tercapai Khiyar ar-Ru’yah dengan melihat sebuah bilik sahaja.

3.      Mendedahkan kepala tanpa memakai apa-apa alas atau penutup kepala di kalangan kaum lelaki sesebuah masyarakat, jika dipandang sebagai kurang adab, maka orang lelaki yang tidak menutup kepalanya daripada kalangan ahli masyarakat tersebut, dikira telah melanggar Adat dan kurang adab (خوارم المروءة). Adapun jika ia tidak dianggap demikian di sisi satu masyarakat lainnya, maka ia tidak dianggap demikian. Sebahagian ‘Ulama’ menjadikannya penentu diterimanya atau tertolaknya riwayat seseorang perawi.  

4.      Sekiranya menjadi Adat sebahagian orang ahli masyarakat tertentu, bekerja di waktu malam dan berehat pada waktu siang, maka kewajipan pembahagian masa untuk isteri-isteri, atas seseorang yang berpoligami, yang masa bertugasnya demikian adalah pada waktu siang dan bukannya malam.

WalLahu a‘lam.
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts