Tuesday, August 15, 2017

Kemuliaan Umar bin al-Khattab dalam memenuhi permintaan kaum Nasrani

الحمد لله وحده و الصلاة و السلام على من لا نبي بعده و على آله و صحبه و من تبع هداه 
أما بعد

Soalan:
Apakah benar kisah Umar mengadakan perjalanan daripada Madinah ke Palestin semata-mata untuk terima kunci tempat-tempat Ibadat ataupun BaitulMaqdis?

Jawapan:
Pertama sekali, kisah tersebut adalah kisah benar. Umar bin al-Khattaab, radhiyalLaah 'anhu, benar telah bermusafir dari Madinah ke BaitulMaqdis, Palestin. Namun yang diketemukan dalam riwayat, bukan untuk terima kunci, tetapi kerana permintaan kaum Rum, Nasrani, yang menguasai Palestin yang mensyaratkan kedatangan Umar secara peribadi, untuk mereka menyerahkan Palestin secara damai kepada Umat Islam.

al-Imam al-Bukhariy dalam kitab Sahih al-Bukhariy pada Bab ke 54 daripada Kitab as-Solat ada menyebutkan Kisah Umar tiba di Palestin dan keengganan Umar untuk memasuki gereja mereka kerana masih ada gambar-gambar dan lambang-lambang syirik (Jesus disalib, Mary dan lainnya) di dalamnya:
Berikut ini nukilannya dan riwayatnya:


(Terjemahannya)
Kata al-Imam al-Bukhariy:
Bab 54 - Bab Solat di dalam Bie'ah (yakni Saumaah, Kuil Yahudi - synagogue - dan boleh juga bermakna gereja seperti dalam riwayat ini);

Kata Umar (bin al-Khattaab) radhiyalLaah 'anhu: Sungguh kami sesekali tidak akan memasuki gereja-gereja kamu kerana di dalamnya masih ada lambang-lambang (salib) yang ada gambar-gambar
dan
Ibn 'Abbaas ada melakukan solat di Bie'ah kecuali Bie'ah yang ada lambang-lambang (syirik) di dalamnya
(Kemudian beliau menyebutkan hadis no 434, hadis Ummu Salamah berkenaan larangan membina masjid di kuburan dan melukis gambar-gambar)

al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalaaniy ada membawakan penjelasan lanjut dalam syarah beliau terhadap riwayat ini dengan riwayat-riwayat lain. Antara lain kata beliau: "(Ibn 'Abbaas ada melakukan solat di Bie'ah) riwayatnya diriwayatkan dengan sanad bersambung oleh al-Baghawi dengan lafaz tambahannya:  Jika di dalamnya ada lambang-lambang syirik, beliau (yakni Ibn 'Abbaas) akan keluar daripadanya (biarpun) akan solat dalam hujan" (akhir nukilan & terjemahan)

Riwayat berkenaan bermusafirnya 'Umar untuk merasmikan pembebasan Palestin daripada kuasa orang Nasrani, sekaligus menjadi daerah di bawah kuasa umat Islam, atas permintaan kaum Nasrani yang menerima untuk menyerahkan Palestin secara damai setelah mereka dikepung oleh Panglima kaum Muslimin, Abu 'Ubaidah bin al-Jarraah radhiyalLaahu 'anhu dan pasukannya, ada disebutkan oleh Imam Ibn Katseer dalam kitab beliau al-Bidaayah wa an-Nihaayah: Jilid ke-9, berkenaan  Peristiwa-peristiwa Sejarah penting pada tahun 15 Hijriyah:
Berikut nukilannya dan riwayatnya:
Terjemahannya:
Pembukaan/Pembebasan BaitulMaqdis di tangan Umar bin al-Khattaab
Abu Ja'far bin Jareer (yakni Imam at-Tabari) telah menyebutkan peristiwa ini (Pembebasan/Pembukaan BaitilMaqdis) pada tahun ini (15 Hijriyah) daripada periwayatan Saif bin Umar, secara kesimpulannya apa yang disebutkan oleh beliau dan selain beliau, bahawa ketika Abu 'Ubaidah telah selesai dari (urusan Pembukaan) Damsyik (Damascus), beliau telah menulis kepada penduduk Ieliyaa' (nama BaitulMaqdis pada zaman dahulu) mengajak mereka beriman kepada Allaah dan memeluk Islam atau (jika tidak) mereka dikenakan jizyah (bayaran ufti) atau (kalau tidak mahu), maka diisytiharkan perang. Namun mereka enggan menyahut ajakan beliau. Maka beliau pun datang dengan pasukan tenteranya, menjadikan Sa'ied bin Zayd sebagai pengganti beliau (mentadbir) Damsyik dan kemudian beliau mengepung Baitul Maqdis dan menjadikan mereka hidup dalam kesempitan sehingga akhirnya mereka menawarkan perdamaian, (menyerahkan BaitulMaqdis kepada kaum Muslimin) dengan syarat, Amirul Mukminin, Umar bin al-Khattaab datang (untuk mengambil-alih).

Abu 'Ubaidah pun mengutus surat kepada Umar lalu Umar pun meminta pandangan yang lain. 'Utsmaan bin 'Affaan berpendapat agar 'Umar tidak pergi kepada mereka, supaya mereka lebih rasa terhina dan tidak dituruti kemahuan mereka. Manakala Aliy bin Abi Tolib pula memandang baik untuk Umar pergi kepada mereka, agar lebih ringan dan mudah bagi kaum Muslimin yang telah pun mengepung mereka (menaklukinya). lalu Umar cenderung kepada pandangan Aliy dan bukannya pendapat 'Utsmaan. Beliau pun bertolak dengan sepasukan tentera dan melantikAliy sebagai pemangku beliau di Madinah...
(Akhir terjemahan)

Semoga dengan pencerahan ini, jelas kepada kita, tujuan Umar ke Palestin adalah untuk mengelakkan pertumpahan darah dan menaklukinya secara damai atas permintaan Kaum Nasrani yang telah tercepit dengan keadaan mereka yang telah dikepung kaum Muslimin.

Di samping itu, kita dapat mengambil beberapa pengajaran:

  1. Kaum Muslimin memasukinya dengan aman, sehinggakan kisah yang disebutkan oleh Imam al-Bukhaariy, mencerminkan kemuliaan Umar dan pasukan tentera kaum Muslimin. 
  2. Meskipun kaum Muslimin telah menguasai tempat-tempat ibadat yang sebelumnya dikuasai Nasrani dan dipenuhi lambang-lambang syirik, mereka tidak menghancurkan tempat-tempat tersebut malah menegaskan selama mana lambang-lambang syirik itu ada dalam bangunan-bangunan tersebut, mereka tidak akan memasukinya, kerana lambang syirik tidak diredhai Allaah, sehinggalah dikeluarkan semuanya oleh orang-orang Nasrani sendiri. Bangunannya mereka manfaatkan dan ubah menjadi masjid setelah segala lambang syirik dilenyapkan.
  3. Tentunya, kaum Nasrani menganggap lambang-lambang itu mulia dan suci, yang jika dihancurkan oleh kaum Muslimin di hadapan mereka merupakan suatu penghinaan terhadap tuhan mereka. 
  4. Namun, Umar dan kaum Muslimin tegas tidak memasuki tempat-tempat yang dipenuhi lambang syirik dan akan menghancurkan semua lambang itu seandainya tiada orang-orang Nasrani lagi di situ bersama mereka, sebagaimana Rasulullaah sollalLaahu 'alaihi wa sallam, menghancurkan semua berhala yang ada di dalam Ka'bah dan sekitarnya dan seperti yang diberitakan dalam hadis mutawaatir bahawa Nabi Isa akan mematahkan setiap salib pada akhir zaman. 
  5. Mereka tidak membunuh kaum Nasrani yang telah mereka kuasai, apatah lagi mencerobohi hak-hak kemanusiaan mereka, malah tidak memaksa mereka memeluk agama Islam dan memilih cara aman damai berbanding pertumpahan darah seperti yang Nabi contohkan ketika Pembebasan Kota Mekkah.
Betapa mulianya kaum Muslimin yang dicontohkan Salafussolih! Mulia dengan tegas memelihara Aqidah mereka dan mencari keredhaan Allah dan pada masa yang sama memelihara hak-hak manusia!
Wallaahu a'lam.
Semoga terjawab dan bermanfaat.
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts