Tuesday, August 1, 2017

Pinjaman tanpa Riba...beruntungnya bergelar Ustaz

بسم الله ، و الحمد لله
والصلاة و السلام على رسول الله 
و على آله و صحابته و من تبعه

Sekadar suatu perkongsian yang semoga menjadi satu pengajaran.

Seringkali seseorang yang perlu berkenderaan yakni "berkereta", misalnya, dengan konteks setempat yang dikatakan:
  1. Banyak kemudahan pengangkutan awam, (meskipun sering mengalami kerosakan, kelewatan, berdesakan hingga bergeselan dengan "yang haram"  yang menjadi satu "fitnah ikhtilath", tindakan manusia yang menjadikan pemandangan berbaur maksiat sentiasa dan keburukan lain yang banyak jika disenaraikan) 
  2. Ketidakmampuan untuk menanggung keseluruhan biayanya untuk berkereta peribadi, disebabkan harga "kertas izin"nya, "petrol"nya, "parking"nya dan lain-lain lagi, melainkan "terpaksa" atau darurat mengambil pinjaman dan berurusan dengan "riba.   

Kesimpulannya, tiada jalan keluar kecuali untuk "terima keadaan" dan "mendedahkan ahli keluarga kita" kepada segalanya itu tadi, dengan memanfaatkan pengangkutan awam. Semoga Allaah kurniakan PetunjukNya, menyelamatkan dan melindungi mereka dari segala keburukan dengan RahmatNya dan PerlindunganNya serta mengampunkan kita pada perkara yang di luar kemampuan kita. Malah dikira di sisiNya dengan kesedaran dan doa  serta pengharapan kita kepadaNya sentiasa, uijan ini menjadi balasan pahala bagi kita. 

Golongan yang berada "atas angin" dengan kelebihan rezeki yang Allah kurniakan, hanya tinggal bersyukur kepada Allah yang telah memudahkan baginya dan menjadikannya berkemampuan untuk mengelakkan keburukan-keburukan itu tadi.
  
Namun, jika ada jalan keluar bagi seseorang itu untuk menyelamatkan dirinya dan ahli keluarganya, dan keadaannya "masih mampu" mungkin dengan jalan mendapatkan "pinjaman tanpa riba" dari pihak yang diketahuinya "tinggi atas angin" atau OKB kerana hartanahnya dapat dijual dengan harga melambung misalnya, maka ia usahakan menurut kadar kemampuannya itu, melalui pinjaman seperti itu dan semoga dikira bahagian dari "ketaqwaan"nya. 

Meminjam atau berhutang dan begitu juga sebaliknya memberikan pinjaman dan menjadi pemiutang, adalah dibenarkan dalam Islam dan tidak dikira satu perbuatan "tidak baik". Malah dengan dalil-dalil berikut, terutamanya si pemiutang, melakukan amalan mulia. Si penghutang atau peminjam pula, selama mana berusaha untuk melunaskan hutangnya adalah dikira "dibantu dan disokong" Allah. Namun yang dikhuatiri adalah hutang yang bila seseorang itu meninggal dunia, masih tidak terlangsai, maka amalan baik seseorang itu "tergantung" yakni manfaatnya tidak didapatkannya sehingga dihalalkan oleh pemiutang atau dilunaskan oleh seseorang bagi pihaknya.

Nabi telah bersabda:
"مَن نفَّس عن مؤمن كُربة من كُرَب الذنيا نفَّس الله عنه كربة من كرب يوم القيامة"
Ertinya: Barangsiapa yang (membantu) membebaskan seorang mukmin lainnya daripada sesuatu kesusahan di dunia ini pasti Allah akan membebaskannya daripada suatu kesusahan di Akhirat.

Begitu juga kerana padanya terdapat ganjaran pahala yang agung, yang mana Anas telah meriwayatkan sabda baginda:
" رأيت ليلة أسري بي على باب الجنة مكتوبا الصدقة بعشر أمثاله، و القرض بثمانية عشر. فقلت يا جبريل: ما بال القرض أفضل من الصدقة؟ قال: لأن السائل يسأل و عنده، و المستقرض لا يسترقض إلا من حاجة" رواه ابن ماجة
Ertinya: Aku melihat pada malam aku diisra’kan termaktub/tertulis: Sedeqah dikira 10 kali misalnya (10 kali ganda/lipat) dan al-Qard dengan 18 kali (ganda) maka aku tanyakan kepada Jibriel: Mengapa pula al-Qard lebih utama/baik daripada sedeqah? Jawab Jibriel: Sebab si peminta sedeqah meminta dan si pemberi sedeqah memberikan apa yang ada, manakala orang yang meminjam tidak meminta diberikan pinjaman kecuali ketika keperluan. – riwayat Ibn Majah.
Daripada Abu Hurairah daripada Nabi yang telah bersabda: Barangsiapa yang mengambil harta manusia dan ia bermaksud melunaskannya, Allah akan melunaskan untuknya dan barangsiapa yang mengambilnya dan ia berkeinginan untuk membinasakannya (mempersia-siakannya), Allah akan mensia-siakannya.
Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhariy.
Imam Ibn Majah, Ibn Hibban dan al-Hakim masing-masing telah meriwayatkan bahawasanya Nabi   telah bersabda:
"ما من مسلم يدَّان دينا يعلم الله أنه يريد أداءه، إلا أداه الله عنه في الدنيا و الآخرة"
Ertinya: Tiada seorang muslim pun yang berhutang dengan suatu hutang, Allah Maha Mengetahui bahawa ia mahu melunaskannya, kecuali pasti Allah akan melunaskannya untuknya di dunia dan Akhirat.
Imam Ibn Majah dan al-Hakim telah meriwayatkan dengan Isnad yang Hasan daripada ‘Abdillah bin Ja‘far   katanya: Aku telah mendengar Rasulullah  bersabda: 
"إن الله مع الدائن حتى يقضي دينه"
Ertinya: Sesungguhnya Allah bersama orang yang berhutang sehinggalah ia dapat melunaskan hutangnya.

Inilah keindahan Islam dan kesejahteraan yang dibawanya kepada umat manusia, yang susah dibantu oleh yang senang walaupun dalam bentuk pinjaman yang akan dipulangkan.
Berbeza dengan penilaian ahli ekonomi bukan Islam: Di sisi mereka;

  1. Bila anda pinjamkan harta anda, anda tidak dapat berbelanja dengannya, anda berharta dan ia harta milik anda tapi anda tidak dapat memanfaatkannya, maka anda "layak" diberi ganjaran iaitu "bunga" atau riba.
  2. Bila anda pinjamkan duit anda sekarang ini, misalnya 5 ribu matawang Singapura, yang mana kalau anda tukarkan untuk anda berbelanja di Malaysia, sekarang ini, Julai 2017, anda dapat 3 kali ganda wang Malaysia. Tapi anda berikannya sebagai pinjaman kepada orang yang berhutang dengan anda. Kemudian nanti bila penghutang bayar anda semula, kemungkinan 5 ribu Singapura anda itu nilainya hanya 2 kali ganda sahaja berbanding matawang Malaysia. Bukankah dengan itu ada kemungkinan anda kerugian dan "kurang" kemampuan berbelanja di Malaysia berbanding sekarang ini, jika anda pilih untuk pinajmkan. Maka sebagai imbalan kepada "kemungkinan atau risiko" ini, anda "berhak" terima "bayaran lebihan" atau riba.      

Selaku seorang muslim, bilamana ia ingin membantu saudara Islamnya khususnya, ia tidak mengambil penilaian seperti yang disebutkan tadi dengan mengharapkan ganjaran Allah. Bagi pihak yang berhutang pula, hendaklah ia takuti ancaman terhadap penghutang yang tidak melunaskan hutangnya dan bersifat amanah untuk mengembalikan hak saudaranya, apatah lagi yang telah membantunya.

Namun benar, bukan mudah mempecayai seseorang dalam urusan harta seperti ini. Itulah saya katakan, adakalanya ada kelebihan dengan bergelar "Ustaz", sehingga lebih mudah dipercayai. Walaubagaimanapun, amat memilukan dan memalukan bilamana golongan Asatizah pula yang tidak bersikap amanah. Mengkhianati mereka yang memberikan kepercayaan kepada Asatizah, baik urusan duniawi apatah lagi urusan Ukhrawi.

Wallahu a'lam. Semoga bermanfaat   

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts