Monday, January 15, 2018

Salahguna kata-kata Imam Tohawi kononnya bererti "Allah ada tidak bertempat"

إن الحمد لله نحمده ،  و نستعينه و نستغفره ،  و نعوذ بالله من شرور أنفسنا و سيئات أعمالنا ، من يهده الله فلا مضل له ، و من يضلل فلا هادي له ، و أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له ، و أشهد أن محمدا عبده و رسوله .

(2)   Syubhah kedua: kata mereka: “Kami mendapati al-Imam at-Tohaawiy membuat pernyataan yang menyokong pegangan kami: “Allah tidak dibatasi TEMPAT atau ARAH”, maka benarlah: “Dia ada tapi tak bertempat – الله موجود بلا مكان
Berikut ini adalah penjelasannya kepada kekeliruan mereka ini:
al-Imam at-Tohaawiy mengungkapkan demikian, bukan sebagaimana yang mereka simpulkan, bahkan semata-mata sebagai hujjah dengan cara pendekatan falsafah yang ketika itu, pada zaman beliau, begitu berleluasa digunakan. Bukankah sikap dan pendekatan yang tepat untuk memahami kata-kata seseorang, apatah lagi pegangan atau kepercayaannya, melalui kata-katanya sendiri, secara keseluruhan, bukan diambil sebahagian kata-katanya lalu diketepikan sebahagian yang lain? Mentelah lagi jika kata-katanya yang ini pada satu bahagian daripada tulisannya dapat difahami dengan tepat melalui kata-katanya yang lain pada bahagian lain daripada tulisannya sendiri.     Beliau TIDAK PERNAH MENYATAKAN: “Allah ada tapi tak bertempat”. Bahkan al-Imam at-Tohaawiy telah menyatakan bahawa Allah berada di atas segala makhlukNya.
1.      Pertama sekali, kenyataan al-Imam at-Tohaawiy rahimahulllaah yang mereka maksudkan dan mereka dakwakan sebagai menyokong pegangan aqidah mereka adalah:
وتعالى عن الحدود والغايات ، والأركان والأعضاء والأدوات ، لا تحويه الجهات الست كسائر المبتدعات
Ertinya: “38. Maha Tinggi Dia (yang Maha Suci) dari segala had-had dan batas batas, dari rukun-rukun (yakni bahagian-bahagian), anggota-anggota dan alat-alat (benda-benda keperluan yang mendatangkan manfaat atau menghindar mudarat) dan tidak pula Dia diliputi arah yang enam sepertimana halnya segala yang baru (ciptaan-ciptaanNya)
Al-Imam at-Tohaawiy rahimahulllaah (239-321H) adalah seorang Imam Ahlis Sunnah wal Jama‘ah, murid kepada “pewaris ilmu” kepada “Pembela as-Sunnah” (gelaran al-Imam asy-Syaafi‘ie rahimahulllaah wafat 204H) iaitu al-Muzaniy rahimahulllaah (pengarang kitab Syarh as-Sunnah) wafat 264H. Apa yang telah beliau katakan dalam perenggan ini (no: 38) adalah bersesuaian dengan ajaran para Imam zaman Salafussolih, berupa sanggahan terhadap golongan Musyabbih, yang menyerupakan Allah dan menyamakan Allah dengan makhlukNya. Namun beliau tidak mengatakan sebagaimana juga Salafussolih tiada yang menyatakan bahawa “Allah ada, wujud, tidak bertempat”. Beliau menyatakan "tidak diliputi arah" iaitu seperti halnya makhluk kerana makhluk semestinya berada di mana pun dengan diliputi arah yang enam; kanan, kiri, depan, belakang, atas dan bawah. Allah terpisah dari segala makhlukNya dan dengan itu tidak diliputi arah. Namun, bukan dengan itu Imam at-Tohaawiy menafikan apa yang telah Allah nyatakan bahawa Dia Yang Maha Agung berada di atas segala makhlukNya.  Maka sesiapa yang mengambil kata-kata al-Imam Al-Imam at-Tohaawiy ini, untuk membuat kesimpulan “Allah ada, wujud, tidak bertempat” telah menyalahgunakan kata-kata beliau dan telah menyelewengkan maksudnya, malah berdusta dengan mendakwa kononnya Al-Imam at-Tohaawiy yang telah mengajarkan “Allah ada, wujud, tidak bertempat”, padahal beliau tidak pernah mengajarkan demikian dan tidak pernah pula mengungkapkan demikian.


2.   Malah Al-Imam at-Tohaawiy (239-321H) telah menegaskan: selepas perenggan ini mengenai Mi‘raj, kata beliau rahimahulllaah:
والمعراج حق ، وقد أُسْرِيَ بالنبي صلى الله عليه وسلم ، وعرج بشخصه في اليقظة إلى السماء ، ثم إلى حيث شاء الله من العلا ، وأكرمه الله بما شاء ، وأوحى إليه ما أوحى...
Ertinya: “39. Mi‘raj adalah benar dan sungguh Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam telah dibawa melalui satu perjalanan malam dan dibawa naik dengan diri peribadi (tubuh badan) baginda secara sedar (bukan mimpi atau dalam tidur dan bukan roh tanpa jasad) ke langit kemudian hingga ke ketinggian yang dikehendaki Allah dan Allah memuliakan baginda dengan apa jua yang dikehendakiNya dan mewahyukan kepada baginda apa yang hendak diwahyukanNya…
Yang mana dapat difahami bahawa beliau segera mengingatkan bahawa Allah berada di atas ArasyNya, di atas tujuh petala langit, di atas segala makhlukNya. Sebagaimana yang sedia dimaklumi melalui riwayat-riwayat yang Sahih mengenai Mi‘raj Nabi ke atas tujuh petala langit. Di antara yang disebutkan di dalam hadis-hadis mengenai Mi‘raj adalah seperti berikut:
ودنا رسول الله - صلى الله عليه وسلم - للجبار رب العزة فتدلى، حتى كان منه قاب قوسين أو أدنى) وفي رواية: (ثم عرج بي حتى ظهرت لمستوى أسمع فيه صريف الأقلام) (فأوحى الله إلي ما أوحى، ففرض) (على أمتي خمسين صلاة
Ertinya: “…dan Rasulullah mendekati al-Jabbaar Tuhan Maha Agung (Allah) sehingga menjadilah jaraknya sekadar dua hujung busur panah, atau lebih dekat lagi, [1]dalam satu riwayat: (kemudian aku dibawa naik ke ketinggian yang di situ aku dapat mendengar geseran Pena-pena)[2] (lalu Allah wahyukan kepada ku apa yang telah diwahyukanNya, maka Dia telah mewajibkan) [3](ke atas umatku lima puluh kali solat). [4]
Maka di dalam riwayat-riwayat ini, Rasulullah bertemu dengan Allah (meskipun tidak dapat melihat Allah – hadis Abu Dzar: Apakah Tuan hamba dapat melihat Allah? Jawab Nabi: “Ada cahaya (yang terang menyilaukan) bagaimana mungkin aku dapat melihat Dia.” – hadis riwayat Muslim: al-Iman/261) di sisi Sidratul Muntaha, selepas langit yang ketujuh. Tidak selayaknya ditakwilkan dengan berbagai andaian kononnya “bukannya Nabi ke langit jumpa Allah, Mi’raj hanyalah sebagai menunjukkan keutamaan dan ketinggian kedudukan Solat Fardhu”. Kita hanya perlu tanya: “tidakkah sudah cukup jelas bila Nabi katakan: Ada cahaya (yang terang menyilaukan) bagaimana mungkin aku dapat melihat Dia?”  

3.      Malah lebih jelas lagi pernyataan beliau rahimahulllaah pada perenggan 49 hingga 51:
والعرش والكرسي حق ، وهو مستغن عن العرش وما دونه ، محيط بكل شيء وفوقه ، وقد أعجز عن الإحاطة خلقه
Ertinya: “al-‘Arasy dan al-Kursiy adalah benar (sebenarnya wujud secara hakiki) dan Dia (Maha Kaya Maha Kuasa) tidak memerlukan al-‘Arasy dan apa jua di bawahnya[5]/kurang (lebih kecil) daripadanya[6] meliputi segala sesuatu dan di atasnya dan Dia telah menjadikan makhlukNya tidak mampu meliputiNya
4.      Imam al-Muzaniy, guru beliau juga telah menyatakan:
"عال على عرشه، بائن عن خلقه...."
“Dia (Allaah) di atas ArasyNya, terpisah DzatNya dari segala makhlukNya…” [7]
Semestinya Aqidah Ahli Sunnah al-Imam at-Tohawiy adalah sama dengan Aqidah gurunya yang paling disanjunginya. 

5.      Pengkaji kitab Tohawiyah mengetahui dari awal kitab, ini adalah aqidah Ahlis Sunnah antaranya, Imam Abu Haniefah, sebagaimana yang beliau tegaskan pada permulaan Kitab Aqidah Tohawiyah ini.
Imam Abu Haniefah, pernah ditanya apakah pendapat beliau terhadap orang yang berkata: Saya tidak tahu samada Allah berada di atas langit atau di bumi, jawab beliau: Ia telah kufur, sebab Allah telah menegaskan dalam FirmanNya: {ar-Rahman di atas ‘Arasy Dia beristiwa’} [8], dan ArasyNya berada di atas 7 petala langit.
Lalu beliau ditanya lagi, bagaimana pula jika ia katakan: Allah di atas ArasyNya tetapi ia tidak tahu ‘Arasy itu ada di langit atau di bumi? Abu Haniefah menjawab: Ia telah kufur sebab ia telah menafikan/mendutakan bahawa Allah berada di atas langit dan sesiapa yang menafikan bahawa Dia berada di atas langit, ia telah kufur [9]

Dengan segala penjelasan ini, semoga telah jelas nyata tiada hujjah bagi mereka yang menukilkan kata-kata al-Imam at-Tohawiy dalam kitab beliau al-‘Aqidah at-Tohawiyah lalu menyimpulkan “Allah ada, tidak bertempat” kerana ia adalah kesimpulan yang menyeleweng. Malah jelas bahawa al-Imam at-Tohawiy telah menyatakan dengan tegas bahawa “Allah berada di atas segala makhlukNya”, walhamdulillaah.



[1] Riwayat al-Bukhariy: hadis no: 7079
[2] Riwayat al-Bukhariy: hadis no: 342, Muslim: hadis no: (163)-263, Ahmad: hadis no: 21326
[3] Riwayat Muslim: (162) - 259
[4] Riwayat Muslim: (162) - 259
[5] Inilah maksudnya – kerana Arasy adalah makhluk Allah di atas makhluk-makhluk yang lain. Sila lihat hadis-hadis berkenaan ‘Arasy Allah  sebagaimana dihimpunkan oleh al-Hafiz Ibn Katseer di dalam Kitab  al-Bidaayah wa an-Nihaayah – sejurus selepas Muqaddimah; Fasal Kedua: mengenai al-‘Arasy dan al-Kursiy – kesimpulan daripada hadis-hadis tersebut; Arasy Allah di atas 7 petala langit di atas Samudera dan Allah berada di atas ArasyNya, Arasy adalah seperti sebuah kubah di atas segala makhluk, Syurga tingkatan teratas dan yang berada di tengah-tengah adalah al-Firdaus dan Arasy berada di atas Syurga Firdaus seperti atapnya, ‘Arasy dijulang oleh 8 orang Malaikat yang amat besar dan ada tiang-tiangnya dan dari segi bahasa bererti Singgahsana.  
[6] Jika diertikan dengan “dan yang kurang atau lebih kecil darinya” maka Al-‘Arasy adalah makhluk Allah yang terbesar – sebagaimana kata Ibn ‘Abbaas: “….dan tiada yang mengetahui betapa besarnya Arasy kecuali Allah.” Riwayat al-Hakim (al-Mustadrak: 2/282) dan kata beliau Sahih menurut syarat al-Bukhariy dan Muslim dan dipersetujui oleh adz-Dzahabi. Diriwayatkan juga oleh Ibn Khuzaimah (at-Tauhied: no 154), Ibn Abie Syaibah (al-‘Arsy: 61), ad-Daarimiy (ar-Radd ‘ala al-Mariesie), ‘Abdullaah ibn Ahmad (as-Sunnah). Dihukumkan Sahih oleh Ahmad Syaakir (‘Umdat at-Tafseer: 2/163) dan al-Albaaniy (Mukhtasar al-‘Uluw: hlm 102).    
[7] Syarh as-Sunnah: hlm 80 – karya al-Imam Abu Ibrahim, Isma‘iel ibn Yahya al-Muzaniy, Nasir Madzhab asy-Syafi‘ie (Pewaris Ilmu al-Imam asy-Syafi‘ie) (wafat: 24 Ramadhan tahun 264H).
[8] Ayat ini dalam Surah Ta-ha: 20:5.
[9] al-Uluw oleh adz- Dzahabee, Syarh al-‘Aqeedah at-Tahawiyyah oleh Ibn Abie al-‘Izz al-Hanafee: hlm 288
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts